Sekilas pandang, siaran perlawanan e-sukan saling tak tumpah seperti menonton perlawanan sukan. Malah, populariti kejohanan e-sukan semakin besar sehingga mampu menandingi kadar tontonan kejohanan sukan tradisional. Pada tahun 2018, Newzoo melaporkan acara e-sukan antarabangsa banyak menarik perhatian orang yang tidak minat gaming iaitu kira-kira 215 juta penonton berbanding 165 juta peminat. Pentas e-sukan Malaysia juga tak kurang hebatnya dengan kewujudan kejohanan besar seperti KL Major dan WESG."> Sekilas pandang, siaran perlawanan e-sukan saling tak tumpah seperti menonton perlawanan sukan. Malah, populariti kejohanan e-sukan semakin besar sehingga mampu menandingi kadar tontonan kejohanan sukan tradisional. Pada tahun 2018, Newzoo melaporkan acara e-sukan antarabangsa banyak menarik perhatian orang yang tidak minat gaming iaitu kira-kira 215 juta penonton berbanding 165 juta peminat. Pentas e-sukan Malaysia juga tak kurang hebatnya dengan kewujudan kejohanan besar seperti KL Major dan WESG." /> Sekilas pandang, siaran perlawanan e-sukan saling tak tumpah seperti menonton perlawanan sukan. Malah, populariti kejohanan e-sukan semakin besar sehingga mampu menandingi kadar tontonan kejohanan sukan tradisional. Pada tahun 2018, Newzoo melaporkan acara e-sukan antarabangsa banyak menarik perhatian orang yang tidak minat gaming iaitu kira-kira 215 juta penonton berbanding 165 juta peminat. Pentas e-sukan Malaysia juga tak kurang hebatnya dengan kewujudan kejohanan besar seperti KL Major dan WESG." />

‘Beri Peluang Untuk Bahasa Melayu Bersinar Dalam Ulasan E-Sukan’, Kata Pengulas Ikuto & Lin LP

Sekilas pandang, siaran perlawanan e-sukan saling tak tumpah seperti menonton perlawanan sukan. Malah, populariti kejohanan e-sukan semakin besar sehingga mampu menandingi kadar tontonan kejohanan sukan tradisional. Pada tahun 2018, Newzoo melaporkan acara e-sukan antarabangsa banyak menarik perhatian orang yang tidak minat gaming iaitu kira-kira 215 juta penonton berbanding 165 juta peminat. Pentas e-sukan Malaysia juga tak kurang hebatnya dengan kewujudan kejohanan besar seperti KL Major dan WESG.

Apabila bercakap tentang kejohanan e-sukan, ia tidak lengkap tanpa pengulas yang rancak memberikan komentar selari ketika sesuatu perlawanan sedang berlangsung. Namun, kebanyakkan kejohanan e-sukan di sini diulas sepenuhnya dalam bahasa Inggeris tetapi kita jarang dengar ulasan e-sukan dalam bahasa Melayu meskipun bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara.

MyGameOn berbual bersama dua pengulas e-sukan, Ikuto dan Lin LP untuk menjawab persoalan kekurangan ulasan bahasa Melayu, cabaran persepsi masyarakat terhadap bahasa kebangsaan dan cara memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam perlawanan e-sukan.

Jadi penghibur

Muhamad Ilham bin Kamarudin ataupun lebih mesra dengan panggilan “Lin LP” berhasrat menjadi pengulas setelah berpindah ke ibu negara setelah melihat kemeriahan e-sukan League of Legends (LOL) sekitar tahun 2012-2013. Lebih-lebih lagi, dia teringin untuk melakukan sesuatu selari dengan minatnya. Lin sering melatih diri untuk mengulas dan rakam pelbagai jenis game melalui saluran YouTube.  

Bekas pemain profesional, Radzi Rahman bin Ibrahim “Ikuto” sudah bersedia untuk meninggalkan dunia e-sukan selepas pasukannya telah berpecah. Semua itu berubah apabila Garena mencari bakat pengulas tempatan untuk satu kejohanan LOL antarabangsa, Mid-Season Invitational (MSI) 2016. Ikuto sertai barisan pengulas lain: Zieqry “AddMaths”, Wan Dimashqi “Mushky” dan juga Lin untuk mengulas kejohanan ini buat kali pertama dalam bahasa Melayu.

Kehadiran ulasan bahasa Melayu buat julung kali dalam pertandingan LOL membangkitkan semangat dua pengulas ini untuk menaikkan status kelayakkan bahasa Melayu dalam pentas e-sukan.

Pandangan negatif bahasa Melayu dalam ulasan e-sukan

Pada awalnya, penggunaan bahasa Melayu dalam ulasan siaran langsung e-sukan tidak diterima baik dalam kalangan peminat di Malaysia.  Lin berkata, “Orang langsung tidak terima dengan cara kami ulas kerana ia (ulasan) cenderung kepada hiburan daripada informatif dan seperti seakan tidak kena dengan mereka sehingga mengejek-ejek kami.”

Keadaan ini turut terkesan oleh Ikuto kerana ramai daripada mereka menganggap ulasan bahasa Melayu adalah tidak profesional dan tidak boleh ‘dijual’ ke pasaran luar. “Oleh kerana ini adalah kali pertama kami ulas dalam bahasa Melayu, mereka rasa susah untuk terima kerana ia rasa pelik dan lawak,” kata Ikuto tentang bidasan orang ramai terhadap bahasa Melayu dalam ulasan e-sukan.

Kesantunan bahasa Melayu

Lin aktif sebagai pengulas MPL

Tohmahan ini tidak menghalang dua pengulas ini terus memberi komentar dalam bahasa Melayu bahkan mereka berdua setuju bahawa bahasa ini kaya dengan keunikan khas berbeza dengan bahasa Inggeris. Pengulas yang berasal dari Johor ini selesa untuk mengulas pelbagai jenis permainan seperti Dota 2, Mobile Legends dan Contra: Return.

Lin berpendapat mengulas dalam bahasa Melayu memberikan ruang untuk dia fokus kepada permainan semasa berlangsungnya kejohanan berbanding mengulas dalam bahasa Inggeris. “Saya tidak perlu susah-susah untuk menterjemah perkataan seperti flanking atau proxy ke bahasa Melayu. Sebaliknya, saya hanya perlu menerangkan aliran dan rentak permainan kepada penonton seperti ‘pemain A belok ke belakang menara’ dan sebagainya,” jelas Lin.

Dia juga mengambil contoh kejohanan e-sukan di luar negara seperti Korea Selatan yang tidak memerlukan ulasan pelbagai bahasa kerana semangat juang dan cara permainan mereka cukup untuk memukau penonton.

Ikuto antara pengulas tetap untuk MPL

Ikuto menyangkal persepsi negatif status bahasa Melayu, “Bagi pendapat saya, bahasa Melayu adalah sangat profesional melalui penyampaian yang betul. Kalau dibandingkan dengan bahasa Inggeris, bahasa Melayu juga lebih bersopan santun dan mempunyai intonasi yang enak. Lebih-lebih lagi, bahasa Melayu adalah satu bahasa kebangsaan yang difahami oleh semua rakyat Malaysia.”

Pemegang ijazah sarjana sains dari Universiti Putra Malaysia (UPM) mengamalkan dua gaya penyampaian ulasan bahasa Melayu yang berbeza mengikut situasi perlawanan e-sukan. “Untuk Mobile Legends Professional League (MPL), saya akan mengulas lebih serius dan profesional. Kalau untuk Mobile Star League (MSL), saya ulas dengan lebih santai,” kata Ikuto.

Memartabatkan bahasa Melayu dalam perlawanan e-sukan

Lin menyeru untuk beri peluang kepada bahasa Melayu “berkembang mekar” dalam arena e-sukan tempatan. Dia mahu industri e-sukan untuk cari keseimbangan antara dua bahasa dari segi penggunaan dan masa siaran di kaca skrin serta menyusul cadangan untuk melakukan penyelidikan penggunaan bahasa yang sesuai mengikut permainan e-sukan popular di Malaysia. Dalam usaha untuk menyerlahkan penggunaan bahasa Melayu, Ikuto mahu melihat ulasan kejohanan e-sukan ini disiarkan di televisyen nasional seperti di saluran TV terkenal RTM, TV3 dan lain-lain. 

Semasa kejohanan WESG yang mendapat penyertaan dari 10 negara serantau Asia Tenggara, Lin yang bekerja di sebalik tabir produksi mendedahkan semakin ramai orang lebih gemar menonton e-sukan dengan ulasan bahasa Melayu. “Siaran langsung peringkat akhir Dota 2 dalam bahasa Melayu menarik kadar tontonan tinggi iaitu seramai 290 penonton serentak berbanding siaran dalam bahasa Inggeris iaitu seramai 100 ke 150 penonton di halaman Facebook WESG rasmi,” ujar Lin.

Usaha konsisten oleh pengulas-pengulas e-sukan profesional seperti Parthiban “OnTheGo” bagi menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam kejohanan e-sukan membuahkan hasil yang akan sentiasa dinikmati oleh seluruh komuniti e-sukan Malaysia dan antarabangsa. Apabila ditanyakan nasihat kepada pengulas baru, Ikuto menjawab, “Fokus apa yang anda boleh buat dan teruskan berlatih dalam apa yang kita lakukan. Anda harus belajar banyak tatabahasa dan memahami permainan yang anda sedang mengulas tetapi perkara paling penting adalah hati kena cekal untuk terima tohmahan hebat dengan hati yang terbuka.”

+++

Untuk pengetahuan anda, bahasa Melayu akan menjadi bahasa rasmi dalam aspek pembelajaran pada tahun 2020, dan bakal digunakan secara rasmi di Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).

Antara inisiatif pelaksanaan Dekad Bahasa Kebangsaan (2020-2030) ialah:

1- Memperkasakan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang mencakupi pelbagai bidang dan sektor di Malaysia.

2- Memperkasakan perancangan dan pemupukan bahasa Melayu tinggi bagi membentuk tamadun bangsa Malaysia yang berbudaya dan berakhlak mulia.

3- Merealisasikan bahasa Melayu sebagai wadah pembangunan negara

4- Mengantarabangsakan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa utama di ASEAN dan menjadikan Malaysia sebagai pusat persuratan Melayu terulung di dunia!

Semoga bahasa Melayu dapat dimartabatkan kembali menjadi lingua franca yang akan wujud semula untuk pelbagai bidang termasuk pembangunan permainan video dan e-sukan!

RELATED NEWS

+