COVID-19: “Saya Redha, Akan Sayang Isteri Sampai Bila-Bila,” – Amirul Syahmi

Ramai yang tidak tahu sebenarnya wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyembunyikan seribu satu hikmah.

Bagi pasangan mempelai yang berkenalan menerusi PUBG Mobile, Siti Aisyah Zaid, 22 dan suami, Amirul Syahmi Mohd Yazid, 25, kehidupan bersama di bawah satu bumbung bukan saja mengajar erti kesabaran berumah tangga tapi juga memupuk sifat memahami satu sama lain.

“Sejak lumpuh kedua-dua belah kaki dan berkerusi roda, saya banyak luang masa di rumah. Suami pula bekerja dalam sektor perkapalan dan hanya akan balik seminggu sekali.

“Tapi ketika PKP, dia pun sudah bertukar kerja dan banyak menjaga saya di rumah,” katanya yang kemalangan motosikal di Parit Raja, Batu Pahat, Johor tiga tahun lalu.

 

Suami belajar selami kehidupan isteri

Mula berkahwin sejak Ogos tahun lalu

Jelas Aisyah, antara perubahan jelas pada suaminya ketika PKP ini adalah rasa ingin tahu bagaimana dia melakukan kerja rumah.

“Memang selama ini, saya berdikari membasuh pinggan dan melakukan banyak kerja rumah dengan berkerusi roda.

“Suami ada menyatakan hasrat untuk cuba berada di tempat saya yang terhad pergerakan,” katanya yang memuji keputusan suaminya itu.

Syahmi pula berkata, antara cabarannya ialah menyelami cabaran tugasan harian isterinya.

“Sekarang saya faham macam mana kesukaran isteri melakukan kerja rumah lagi-lagi apabila dia perlu capai barang di tempat tinggi. Memang susah.

“Sudah beberapa hari saya cuba pengalaman berkerusi roda. Alhamdulillah, ada hikmah rupanya. Allah membuka mata saya untuk lebih bertolak ansur dan sabar dalam mengharungi kehidupan berumah tangga ini. Lagi bertambah sayang pada isteri,” katanya yang kini bekerja dalam sektor peruncitan.

Tambah Syahmi, disebabkan PKP, dia turut belajar memasak bersama isterinya dan membantu mana yang patut.

“Kami bukan saja mengeratkan hubungan dengan bermain PUBG Mobile dan Mobile Legends bersama tapi juga cuba aktiviti baru dengan memasak bersama.

“Bukan itu saja, kami juga belajar berjimat dan hanya beli barang yang perlu saja. Sebelum berkahwin memang ikut hati nak beli apa-apa tapi selepas menjadi suami isteri, kami mula beli apa yang patut seperti televisyen, mesin basuh, peti ais dan sebagainya,” katanya.

 

Aisyah teringin menjadi streamer

Selain menjadi suri rumah, Aisyah juga pada masa sama menceburi bidang penstriman langsung. Menerusi Facebook Page AngahxViolet, Aisyah biasanya akan strim permainan PUBG Mobile dan Marvel Super Wars.

“Saya memang dari dulu lagi suka main PUBG Mobile. Jadi kadang-kadang saya akan strim di rumah,” kata Aisyah yang mula strim sejak tahun lepas.

Katanya lagi, apabila keluar bersama suami untuk membeli barang di pasaraya, ramai yang menegur dan memberi semangat.

“Ada saja kadang-kadang terserempak dengan kawan-kawan. Tapi yang paling terharu bila orang luar bagi semangat dan dorongan kepada kami.

“Pernah, kawan-kawan gaming terutamanya clan Geng Pisau turun padang dari Sabah dan Sarawak semata untuk berjumpa dengan kami,” katanya.

Syahmi dan Aisyah lepak bersama Geng Pisau.

Aisyah berkata, sebelum kemalangan, dia seorang yang aktif bersukan namun terpaksa akur dengan ujian Tuhan ini.

“Saya gemarkan sukan ekstrim tapi sejak lumpuh kedua belah kaki, macam hilang minat buat macam-macam tapi saya sentiasa mendapat dorongan untuk cuba perkara baru.

“Mungkin lepas ini saya akan sahut cabaran untuk cebur diri dalam bisnes dalam talian pula,” katanya.

Kata Syahmi pula, dia bersyukur dipertemukan dengan Aisyah dan menerima isterinya seadanya.

“Ramai orang kata saya kena sentiasa sabar dan banyak bertolak ansur.

“Insya-Allah kami dapat mengharungi kehidupan berumah tangga ini bersama-sama,” katanya mengakhiri perbualan.

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+