COVID-19: Streamer Filipina, Rose Gaming Bantu Golongan Memerlukan Di Johor

“Ibu pernah cakap, walau sekecil mana pun usaha kita, ia boleh membawa seribu manfaat kepada orang lain,” itu kata penghibur penstriman langsung, Rose Gaming yang mengambil inisiatif menyiapkan bekalan bantuan keperluan asas kepada golongan memerlukan.

Rose yang juga berasal dari Filipina berkata, dia terpanggil untuk memberi bantuan disebabkan penularan wabak COVID-19.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipanjangkan, saya fikir apa salahnya meringankan beban orang lain. Mungkin hari ini hari mereka, esok mungkin hari kita pula,” katanya ketika dihubungi MyGameOn.

Inisiatif yang bermula dari jumlah kecil ini seharapnya dapat membantu golongan memerlukan dan anak yatim apabila mereka kekurangan bekalan makanan.

“Setakat ini saya berjaya buat sebanyak 20 bungkusan yang mengandungi keperluan asas seperti beras, gula, garam, biskut, sardin dan kacang. 

“Kawan saya bantu menghantar bekalan ini kepada 448 Food Bank di Johor yang akan mengagihkan bekalan tersebut,” katanya yang berdarah kacukan Filipina dan Singapura.

448 Food Bank adalah badan bukan kerajaan yang terdiri daripada sukarelawan yang membantu golongan memerlukan terutamanya ibu tunggal, warga emas dan isi rumah berpendapatan kurang RM1,500 sebulan.

Kata gadis yang sudah lama menetap di Malaysia sejak kecil ini, ibunya dan sahabatnya Gigi turut bantu untuk membungkus barang-barang keperluan tersebut.

Tambahnya lagi pada masa akan datang, dia ingin melakukan lebih banyak projek sumbangan kepada golongan memerlukan.

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+