Dari Atari hingga ke PlayStation, cerita di sebalik hobi pengumpul barangan permainan video

Hobi permainan video bukan sesautu yang baharu. Teknologi di sebalik hobi ini mempunyai sejarah yang panjang dan menarik. Oleh itu, terdapat ramai individu yang berminat mengumpul barangan permainan video termasuklah di Malaysia.

Salah seorang individu yang mempunyai koleksi barangan permainan video retro dan moden yang hebat di Malaysia ialah Hafiz Nawawi. Koleksi besar beliau mengandungi berpuluh-puluh konsol dari Nintendo, Sony, Microsoft, dan macam-macam lagi.

Kami di MyGameOn telah menemu ramah Hafiz untuk mengetahui lebih lanjut mengenai hobinya sebagai seorang pengumpul. Jom kita baca tentang asal usul hobi ini dan bagaimana beliau memastikan koleksi dijaga dengan baik!

Bagaimana boleh mula hobi sebagai seorang pengumpul?

Saya mula bermain permainan video ketika berusia 7 tahun. Pada waktu itu, saya bermain Game & Watch Mickey kepunyaan abang saya. Konsol pertama dibeli pada tahun 1991, iaitu Famiclone (produk tiruan Famicom di China).

Mula terdetik untuk mengumpul konsol pada tahun 2008. Konsol pertama yang saya beli di forum Lowyat ialah Nintendo GameCube (set US) dan di Ebay ialah Neo Geo Pocket Color pada tahun 2010.

 

Jumlah penuh barangan permainan video yang telah dikumpul?

70 konsol termasuk add-on dan variasi. 30 permainan tangan/mudah alih.

Apa cabaran menjadi seorang pengumpul barangan permainan video di Malaysia?

Cabaran antaranya untuk mendapatkan set lengkap, termasuk kotak dan manual. Sesetengah pengumpul tidak kisah jika ada kotak atau tidak, tetapi bagi saya, kotak adalah wajib. Untuk mendapatkan kondisi kotak yang terbaik juga agak susah kerana kebanyakan konsol lama berusia lebih daripada 20 tahun.

Ada kalanya, konsol tersebut mempunyai kotak, masalahnya nombor siri pula tidak sepadan. Alat ganti juga menjadi cabaran jika konsol menghadapi masalah. Jadi, jalan yang mudah ialah membeli konsol yang lain.

Satu lagi cabaran ialah kadar mata wang yang banyak berbeza berbanding ketika saya aktif membeli dari luar negara pada tahun 2003 – 2010. Oleh itu, sekarang saya sudah berhenti dari mendapatkan barangan dari Ebay atau Play-Asia.

 

Bagaimana menjaga kualiti barangan retro agar tidak rosak?

Sentiasa power on konsol tersebut. Sekurang-kurangnya sebulan sekali. Selain itu, kotak disimpan dalam bilik yang tiada kemasukan cahaya untuk mengelakkan warna kotak menjadi luntur.

Bagaimana hobi ini mengeratkan hubungan antara ahli-ahli keluarga?

Saya selalu bermain bersama dua anak saya, terutamanya ketika bermain Nintendo Switch. Permainan video yang kerap dimainkan bersama mereka adalah Super Smash Bros. dan Mario Kart. Saya juga bersyukur kerana isteri amat memahami hobi-hobi saya.

 

Barang yang paling bernilai atau susah untuk diperoleh?

Paling bernilai ialah Panasonic GameCube Q. Paling susah didapati pula ialah Sega Master System (set US).

 

Permainan video kegemaran?

Siri Mario. Paling digemari ialah Super Mario Galaxy 2 di Nintendo Wii.

Hobi-hobi lain selain menjadi pengumpul?

Hobi saya memang mengumpul. Selain permainan video, saya juga mengumpul cakera blu-ray dan filem resolusi 4K, jam tangan G-Shock, buku komik (manga), kaset, dan figura Transformers. Tetapi koleksi lain tidak sama seriusnya dengan koleksi permainan video. Selain dari itu, saya juga minat membina LEGO.

 

Nasihat untuk mereka yang juga ingin menjadi pengumpul atau mencari permainan video retro?

Banyakkan membaca dan rajinkan bertanya, terutamanya cara penjagaan dan pengendalian konsol-konsol lama. Di Facebook, terdapat beberapa kumpulan khas untuk konsol retro seperti Retro Console Malaysia (RCM) dan Malaysia Retro Gaming Mania (MRGM).

RELATED NEWS

+