DC Gan Bercakap Tentang Masa Depan Re:Legend, Amalan Crunch, Kerjasama Bersama MDEC & 505 Games

Beberapa tahun lalu, dua adik-beradik, Welson dan DC Gan menubuhkan Magnus Games Studio untuk membangunkan game pertama mereka, Re:Legend. Game simulasi role-playing game (RPG) ini mengembalikan nostalgia pemain tentang menjalani kehidupan indah dan tenang seperti Rune Factory dan Stardew Valley serta keupayaan untuk menjinakkan haiwan dipanggil sebagai Magnus seakan Pokemon.

Pada tahun 2017, Re:Legend mendapat sambutan hangat di Square Enix Collective iaitu sebuah platform untuk membantu pembangun game baru. Seterusnya, mereka membuat keputusan berani untuk mengumpul dana orang ramai melalui Kickstarter dan apa yang berlaku seterusnya memecah jangkaan mereka.

Angka itu terus meningkat sehingga berjaya mencecah hampir RM2.6 juta (USD$630,700) lebih daripada sasaran dana mereka mahukan dan mencatat rekod sebagai projek Kickstarter mendapat kutipan dana tertinggi di Asia Tenggara.

Pada Ogos tahun ini, Re:Legend akhirnya dilancarkan untuk semua pemain dalam bentuk akses awalan (Early Access) di Steam. Sekilas pandang di halaman Steam Re:Legend, rata-rata pemain memberikan respons yang bercampur-baur dengan keterujaan dan kekecewaan. Namun, apakah langkah seterusnya untuk Re:Legend? 

Kami sempat menemuramah pengasas bersama Magnus Games Studio, DC Gan untuk berkongsi penerimaan akses awalan buat masa sekarang, amalan negatif crunch, kerjasama bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan 505 Games serta membincangkan masa depan Re:Legend. Temuramah ini disunting dan diringkaskan untuk mudah difahami.

Bagaimana penerimaan akses awalan untuk Re:Legend setakat ini?

Ramai orang memberi tindak balas bagus dan mereka lihat ada potensi besar terhadap Re:Legend. Namun, sesetengah daripada mereka masih lagi menunggu untuk kami memperbaiki game ini. Kami rasa sangat gembira kerana Re:Legend pernah menjadi game paling popular di Steam, melangkaui PUBG dan beberapa game lain.

Jika anda lihat halaman Steam, kami rajin mengemaskini kandungan game ini. Kami juga rasa geli hati melihat beberapa komen menyatakan mereka buat cetak rompak game kami tetapi kami sentiasa kemaskini selalu sehinggakan mereka terpaksa membeli game penuh terus di Steam. 

Di sebalik itu, bukan semua orang suka Re:Legend. Namun, apa-apa maklumbalas yang pemain berikan sebenarnya sangat bermanfaat kepada kami. Ia memberikan ruang untuk kami terus memperbaiki game ini.

Macam mana anda menguruskan pasukan pembangunan Re:Legend supaya mereka tidak bekerja untuk jangka masa yang lama atau lebih dikenali sebagai ‘crunch‘? 

Kandungan terbaru Re:Legend, Rise of the Shadow Isle iaitu pulau dipenuhi dengan Magnus seram sempena Halloween.

Bagi pendapat saya, ini bergantung kepada jabatan yang ditugaskan. Beberapa jabatan kena bekerja terlebih dahulu supaya game bersedia untuk pelancaran dan juga untuk sesetengah acara khas dalam Re:Legend seperti acara Halloween dan Krismas.

Ada juga beberapa ketua jabatan terpaksa bekerja sehingga lewat hari tetapi kami semua cuba untuk melengkapi apa yang mereka mahukan seperti makanan atau mesin mengurut (gelak). Kami cuba sedaya upaya untuk mengurangkan bekerja terlampau kuat kerana ia tidak sihat tetapi industri ini berbeza dengan industri yang lain.

Ketika kita sedang melelapkan mata, orang masih bermain game ini dari seberang dunia. Ini bermakna kerja kami tidak pernah putus kerana pemain akan sentiasa bermain sepanjang 24 jam. Oleh itu, kami bersiap sedia apa-apa perkara atau masalah dalam game sebelum kami tidur. Kami faham kerja lebih daripada masa yang ditetapkan adalah perkara serius dan ia sangat penting kepada kami untuk menyampaikan mesej yang jelas. 

Ya, kadangkala kami terpaksa bekerja sehingga lewat malam untuk meningkatkan game supaya boleh dinikmati semua pemain dari seluruh dunia. Pada bulan pertama pelancaran akses awalan kami, saya boleh katakan pasukan kami agak penat kerana banyak sangat benda berlaku dalam sesuatu masa. Walaubagaimanpun, saya amat berbangga dengan prestasi pasukan.

Dari segi crunch, saya mengaku terdapat situasi ini pernah berlaku. Kami hanyalah syarikat baru yang kini sedang beralih daripada studio indie ke studio game yang kukuh. Kami sedang membangunkan game tempatan untuk pasaran antarabangsa iaitu satu cabaran besar untuk kami kerana kami masih kurang pengalaman dan pengurusan cekap.

Saya sering mengingatkan kepada pasukan saya bahawa ramai orang memberikan penilaian (review) yang teruk terhadap game kami tetapi kita perlu berfikir dalam perspektif yang seimbang. Kalau kita hanya fokus kepada perkara-perkara bagus, kami tentu tidak akan tahu apa kelemahan sebenar game ini. Kita cuba tukarkan perkara negatif menjadi suatu motivasi kerana penilaian buruk ini cuma adalah perasaan kekecewaan daripada pemain.

Pemain perlu tahu bahawa game ini dibangunkan selama 2 tahun sebelum dilancarkan ke dalam akses awalan dan ada beberapa kod telah ketinggalan zaman yang perlu diambil tindakan. Fokus utama kami ialah kami sedang cuba sedaya upaya untuk memperbaiki game ini supaya ia memberikan pengalaman lebih bagus kepada pemain.

Kami tahu mekanik dan nilai utama Re:Legend ini adalah bagus. Cuma isu-isu teknikal perlu dibaiki terutamanya bahagian multiplayer. Kami sangat bertuah kerana dibantu dan dibimbing oleh 505 Games. Kami percaya Re:Legend berada dalam keadaan baik sepanjang tempoh pembangunan ini.

Apakah elemen penting yang anda sertakan dalam Re:Legend yang sesuai dan dinikmati untuk semua pemain dari seluruh pelusuk dunia?

Tanpa disangkal lagi, Malaysia merupakan negara indah dengan pelbagai bangsa dan budaya tinggal bersama-sama secara harmoni. Namun, kami tidak cuba letakkan perkara yang tidak ada kena mengena dengan Re:Legend. Walaubagaimanapun, banyak perkara menarik yang boleh ditonjolkan tentang Malaysia yang mana kami terapkan ke dalam game dari segi runut bunyi dan rekaan seni.

Baca lagi: Re:Legend Bakal Mengetengahkan Rumah Panjang, Bunga Rafflesia & Pelbagai Budaya Malaysia

Dalam Re:Legend, ia adalah campuran budaya dan kesenian. Game ini terdiri daripada rekaan seni tersendiri yang seakan rekaan seni game daripada Jepun (chibi). Pada masa yang sama, kami turut menambah identiti budaya Malaysia seperti wau, bunga raya iaitu bunga kebangsaan kita sebagai barang utama dalam misi dan hutan simpan dengan bunga pakma (rafflesia). Selain pemain dikelilingi dengan hutan hujan Malaysia, pemain juga berjumpa dengan suku kaum Iban bersama-sama alat muzik dan seni bina rumah panjang.

Bagaimana kerajaan seperti MDEC menolong Magnus Games Studio untuk berkembang maju?

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo cuba bermain Re:Legend bersama DC Gan (di sebelah kanan) semasa pelancaran konvensyen Level Up KL 2019. Ehsan gambar: The Star

Sebelum ini, saya bersama 5 orang dalam satu pasukan membangunkan game kami sendiri tanpa apa-apa bantuan. Apabila kami mengenali MDEC, mereka membuka pintu peluang luas ke dalam pasaran game dengan membawa kami ke pelbagai pameran game di dalam dan di luar negara.

Melalui cara ini, kami dapat berjumpa dengan 505 Games semasa konvesyen game pertama kami hadir iaitu pameran Casual Connect di Singapura. Dengan bantuan MDEC, kami memeterai kerjasama dengan 505 Games untuk menerbitkan Re:Legend ke pasaran antarabangsa. Re:Legend merupakan game buatan Malaysia pertama yang diterbitkan oleh syarikat tersenarai awam.

Baca lagi: Malaysian Indie Games Studio Signs Worldwide Publishing Deal For ‘Re:Legend’

Dari kiri ke kanan: Naib Presiden Kandungan Digital Kreatif MDEC, Hasnul Hadi Samsudin; Pengasas Bersama Magnus Games Studio, Welson Gan, Pengasas Bersama, DC Gan; Ketua Pegawai Operasi MDEC, Dato’ Ng Wan Peng; Ketua Pegawai Eksekutif Digital Bros Group, Raffaele Galante; Pengurus Besar Digital Bros Group China, Thomas Rosenthal; Pengurus Pembangunan dan Pemasaran Perniagaan, Iju Shih dan Ketua Media Interaktif MDEC, Mohan Low semasa majlis menandatangi perjanjian antara Magnus Games Studio dan Digital Bros. ‎

Sebagai studio game kecil di Malaysia, kami sangat teruja tetapi timbul rasa ragu-ragu atas kerjasama ini. Ia bagaikan sebuah mimpi jadi kenyataan untuk bekerjasama dengan 505 Games yang mana menerbitkan game indie terkenal seperti No Man’s Sky, Control dan juga Death Stranding di PC. 

Kami belajar pelbagai perkara yang mana meningkatkan produktiviti studio kami dan ini mematangkan kami sebagai studio game yang baru meningkat. Selain itu, MDEC juga menyediakan peluang dana dan tubuhkan fasiliti untuk pembangun game tempatan seperti Level Up Inc serta menganjurkan konvensyen Level Up KL.

Apa yang dilakukan oleh MDEC dalam membantu industri game tempatan ini jarang berlaku di negara lain. Apabila saya berbincang dengan pembangun game dari negara lain, mereka cemburu akan bantuan yang diberikan oleh kerajaan Malaysia. Kami rasa sangat bertuah dengan penglibatan kerajaan yang amat membantu kami dalam melancarkan proses pembangunan game dari segi dana dalam urus niaga dan penembusan pasaran.

Bila kami boleh lihat Re:Legend secara rasmi di konsol (PS4, Xbox One dan Nintendo Switch)?

Secara jujurnya, kami ada banyak perkara menarik untuk diumumkan tetapi kami masih menunggu masa yang sesuai. Saya juga baru mengadakan pertemuan dengan 505 Games di Milan, Itali untuk membawakan Re:Legend di konsol.

Kami berharap pemain boleh memberikan sedikit masa untuk menggilapkan game ini kerana salah satu syarat akses awalan di Steam adalah tidak boleh lebih daripada setahun. Oleh itu, kami jangkakan versi penuh Re:Legend akan dilancarkan pada 2020. 

DC Gan semasa sidang media Level Up KL 2019

Terima kasih DC Gan kerana sudi meluangkan masa bersama kami. Bagi mereka yang teringin untuk main game simulasi RPG buatan Malaysia secara percuma, anda boleh berkunjung di Level Up KL Play berlangsung pada 9 hingga 10 November di Pusat Konvesyen KLCC.

Buat masa sekarang, Re:Legend boleh dimainkan dalam akses awalan di Steam. Untuk ketahui lebih tentang Re:Legend, anda boleh layari laman sesawang, Facebook dan Twitter rasmi mereka.

RELATED NEWS

+