DOTA2: MidOne Tidak Lagi Bermain Untuk Skuad Team Secret

Pemain profesional Dota 2 negara, Yeik Nai Zheng atau lebih dikenali sebagai MidOne kini tidak lagi aktif bersama organisasi Eropah, Team Secret bagi mengambil masa untuk berehat dari arena kompetitif permainan berkenaan.

Pengumuman itu dibuat di laman rasmi Team Secret yang mengatakan posisi pemain Malaysia itu bukan lagi sebagai pemain aktif. Ini adalah terjemahan dari kenyataan tersebut:

“Pertama sekali, MidOne akan beralih dari roster aktif kami untuk berehat dari arena kompetitif Dota 2. Musim DPC memerlukan dirinya untuk tinggal di Eropah bagi beberapa lama menyertai kem latihan, Majors dan merantau di serata dunia untuk bertanding dalam pertandingan di rantau lain. MidOne mengorbankan beberapa perkara demi memberikan persembahan terbaik dan menyumbangkan kejayaan pasukan ini di peringkat tertinggi Dota.

“Beliau terbukti sebagai pemain yang tidak ternilai dan seorang kawan, kami tidak ingin meminta lebih dari itu. Ketika MidOne bersama roster aktif kami, beliau berjaya menjadi pemenang Valve Major sebanyak tiga kali, juara beberapa kejohanan dan mewakili kami di The International sepanjang tiga tahun lalu – termasuk mendapat tempat keempat di The International 2019, kedudukan tertinggi yang kami kecapi. Kami sangat berterima kasih untuk apa yang dilakukan beliau dan mengucapkan selamat berehat dari arena kompetitif Dota 2,” tulis kenyataan itu.

Pada masa yang sama, jurulatih mereka, SunBhie juga tidak lagi bersama organisasi itu selepas bersama sejak 2017 lalu.

Sementara itu, mereka membuat keputusan untuk menggantikan posisi MidOne dengan Lasse Urpalainen atau MATUMBAMAN (bekas pemain Team Liquid dan CHAOS EC). MATUMBAMAN pernah membantu Liquid memenangi The International 2017 jadi kemahirannya tidak boleh disangkal lagi. Beliau akan bermain sebagai carry manakala Nisha pula akan bermain sebagai midlaner.

Team Secret juga mengumumkan Lee “Heen” Seung Gon sebagai jurulatih baru mereka. Sebelum ini Heen pernah melatih Liquid hingga menjadi juara dunia selain melatih TNC baru-baru ini.

Mereka akan menyertai DreamLeague Season 13: The Leipzig Major bagi permulaan untuk roster baru ini dan akan ke Singapura untuk ONE Esports Dota 2 World Pro Invitational, satu kejohanan yang turut disertai oleh, Virtus Pro, EG, LGD, VG, Na’vi, TNC dan Alliance.

RELATED NEWS

+