EA Kata Kotak Tikam & Microtransactions Adalah Kejutan, Bukan Judi

EA pernah dipalit dengan kontroversi kerana syarikat ini meletakkan terlalu banyak lootbox (kotak tikam) terlalu banyak ke dalam Star Wars: Battlefront 2 dan FIFA Ultimate Team beberapa tahun lepas.

Kontroversi yang membangkitkan kemarahan ramai pemain menyebabkan EA merombak semula sistem kedua-dua game ini, malah mendapat perhatian badan-badan kerajaan dan organisasi antarabangsa. Namun, EA mempunyai definisi lain untuk model bisnes kotak tikam ini.

PCGamesN melaporkan naib presiden hal ehwal undang-undang dan presiden EA, Kerry Hopkins berpendapat pembelian secara rambang ini bukanlah kotak tikam tetapi ia adalah “mekanik kejutan”.

Hopkins juga membandingkan mekanik ini sudah lama wujud dan sama seperti kejutan permainan dalam makanan seperti “Kinder Eggs, Hatchimals atau LOL Surprise”. 

Hopkins membalas persoalan yang ditanyakan oleh ahli Parti Kebangsaan Scotland semasa sesi persidangan parlimen UK bagi Jawatankuasa Digital, Budaya, Media dan Sukan, “Kami rasa cara kami meletakkan mekanik ini ke dalam FIFA iaitu implementasi paling terbesar, FIFA Ultimate Team dan pek-pek kami sebenarnya sah di sisi undang-undang, menyeronokkan dan ramai orang sukakan.

“Kami bersetuju dengan suruhanjaya perjudian UK, suruhanjaya perjudian Australia dan banyak lagi suruhanjaya perjudian lain berpendapat ini bukanlah satu bentuk perjudian dan kami juga tidak setuju terdapat bukti yang menunjukkan kotak tikam ini boleh menggalakkan gejala berjudi. Kami rasa ini adalah produk yang mana semua orang boleh nikmati secara sihat dan sukakan elemen kejutan.”

Senang cerita, EA menyamakan kotak tikam ini sama macam mainan Kinder Joy, Dendang dan Tora di Malaysia. Ini juga bermaksud EA menolak semua pendirian yang telah diambil oleh negara-negara lain seperti Belanda dan Belgium. Kedua-dua negara ini mengharamkan kotak tikam atas sebab perjudian dan ketagihan pada awal tahun lepas.

Korang boleh saksikan keseluruhan sesi ini dalam siaran penuh parlimen melalui pautan ini bermula pada minit ke 15:43:15.

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+