EVOS Esports lancarkan pelbagai inisiatif amal COVID-19 di Asia Tenggara

EVOS Esports merupakan antara organisasi e-sukan yang paling popular di Asia Tenggara. Mereka mempunyai pasukan e-sukan di Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia, dan Vietnam untuk Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), Call of Duty: Mobile (CODM), dan banyak lagi.

Wabak COVID-19 masih melanda negara-negara Asia Tenggara dan EVOS Esports tidak melepaskan peluang untuk melakukan kerja amal membantu rakyat di rantau ini.

Inisiatif amal “Give with Ikhlas” diadakan oleh EVOS Esports di Malaysia dan ia berjaya mengumpul lebih daripada RM1 juta setakat ini. Acara amal ini dilakukan oleh pasukan PUBG Mobile EVOS Esports dan pemainnya Muhammad ‘Yakuza’ Afiq.

Acara tersebut diadakan dengan kerjasama Ikhlas.com dan Yayasan Amanah Assofwah Almalikiyyah. Wang yang telah dikumpul melalui acara tersebut disumbang kepada golongan miskin dan barisan hadapan serta badan bukan kerajaan.

Di Indonesia, EVOS Esports menganjurkan perlawanan amal antara pasukan MLBB Indonesia dan Singapura mereka. Perlawanan tersebut berjaya mengumpul hampir 100 juta rupiah. Wang tersebut telah disumbang kepada beberapa perbadanan amal yang berusaha melawan COVID-19.

Pasukan Realm of Valor (ROV) EVOS Esports di Thailand dan salah seorang atlet e-sukan mereka iaitu Sandee telah memasak dan menghantar 3,000 bungkusan makanan kepada golongan miskin.

Para penyokong EVOS Esports juga digalakkan untuk menderma kepada hospital-hospital di Thailand dan mereka menerima jersi percuma EVOS Esports selepas membuat pendermaan. Lebih daripada 50,000 topeng muka dan sarung tangan telah disumbang kepada hospital-hospital di Indonesia dan Thailand.

Pasukan MLBB EVOS Esports di Singapura bekerjasama dengan kempen Play Apart Together SG untuk mengadakan showmatch bersama perbadanan e-sukan lain serta streamers dan pempengaruh. Acara tersebut berjaya mengumpul SGD6,340 dan ia akan disumbangkan kepada Home Nursing Foundation, Humanitarian Organization for Migration Economics, dan Community Chest.

Di Vietnam pula, pasukan League of Legends EVOS Esports bersama pemainnya Zeros telah bekerjasama dengan sekumpulan streamer dari Box Gaming untuk mengadakan kempen “Little Angles” untuk mengumpul dana.

Inisiatif-inisiatif di atas menunjukkan organisasi e-sukan prihatin terhadap komuniti-komuniti di Asia Tenggara. Mari kita bersama-sama melawan COVID-19!

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+