IeSF: Pertama Kali Malaysia Tiada Wakil

Persekutuan E-Sukan Antarabangsa (IeSF) nampaknya tidak menerima sebarang wakil dari Malaysia untuk Kejohanan Antarabangsa E-Sukan di Seoul, Korea Selatan yang bermula semalam hingga 15 November ini.

Malaysia tidak terlepas menghantar wakil sejak 2016 lagi.

Pengguna Facebook, Shaharil Shaifuddin Shaharuddin memuat naik status di laman sosial Facebook bagi mengutarakan isu ini.

Tambah Shaharil, ini adalah kali pertama kejohanan IeSF yang menyertakan e-sukan Pro Evolution Soccer (PES) selain Dota 2 dan Tekken 7. 

“Hampir kesemua nama besar (negara lain) dari rantau Asia Tenggara seperti Indonesia, Thailand, Vietnam dan Myanmar malah Filipina (pendatang baru) mampu menghantar wakil mereka.

“Ini adalah medan pertarungan (arena) terbaik buat pemain negara didedahkan dengan suasana kompetitif,” katanya.

Peringkat kumpulan yang tidak mempunyai penyertaan dari wakil negara.

Difahamkan, Malaysia mempunyai wakil negara yang hebat dalam arena PES seperti Haikal dan Khairul yang pernah menyertai liga di Thailand. Begitu juga dengan Tekken 7 dan Dota 2.

Tahun lalu, Malaysia menghantar Muhammad Zarif Aiman (Zaba) dan pasukan FrostFire bagi kategori Tekken 7 dan CS:GO.

“Kami pernah mengadakan perbincangan. Mereka (ESM) berkata sibuk dengan persiapan atlet untuk Sukan SEA 2019 yang mana negara lain terlibat juga buat perkara sama.

“Pihak kami (WEPES Malaysia) juga pernah memberitahu awal-awal kejohanan ini akan tiba tapi mereka baru sedar tentang perkara itu,” katanya.

Negara-negara seperti Indonesia dan Thailand (yang terlibat dalam Sukan SEA 2019) juga ada menghantar wakil.

Penulis difahamkan, nama-nama atlet perlu dihantar sebulan sebelum kejohanan dan penganjuran peringkat kelayakan Malaysia juga tidak diadakan.

Shaharil berharap badan berkaitan iaitu Persatuan Esports Malaysia (ESM) dapat memainkan peranan untuk menghantar wakil negara ke kejohanan ini pada masa akan datang.

Kejohanan Antarabangsa IeSF mula dianjurkan pada 2008 dan mereka bekerjasama dengan banyak organisasi dan penganjur bagi menyatukan komuniti e-sukan di bawah satu bidang kuasa, seterusnya menjadikan ia seperti satu landasan sukan sebenar. 

Bagi edisi ke-11 ini, eFootball PES 2020, Tekken 7 dan Dota 2 adalah acara rasmi yang dipertandingkan.

Sementara itu, penulis masih cuba mendapatkan kenyataan dari ESM untuk mengulas lanjut isu ini.

TAGS

RELATED NEWS

+