Isu Vokey: “Jangan keterlaluan sampai melibatkan keluarga,” – Aiman Wafiy

Main game jangan sampai taksub, berpada-padalah sebelum nak beri komen.

Apa yang berlaku semalam adalah pemain RSG MY, Imran Rosli atau Vokey yang memuat naik satu tangkap layar mengatakan ada netizen yang mencipta akaun palsu hanya untuk mengecam dirinya.

Akaun palsu tersebut meletakkan nama profil yang sangat menjengkelkan. Tangkap layar ini masih boleh dilihat di Instatory @imran_rosli

Difahamkan, ia berkenaan Vokey menjatuhkan pasukan pilihan di minggu akhir liga PMPL MYSG musim ketiga tersebut dengan membaling bom.

Selain itu, Churchill Ensir sebagai jurulatih juga tidak senang hati dengan perkara tersebut dan menasihatkan jangan keterlaluan apabila memberi komen ataupun membuat cubaan untuk memberi kesan negatif kepada keadaan mental pemain.

Sementara itu, Ketua Operasi RSG MY, Aiman Wafiy Roslan berkata, Vokey sudah melakukan yang terbaik di liga tersebut.

“Vokey mempamerkan prestasi menarik sepanjang Super Weekend. Walaupun RSG macam sedikit goyah tapi sepanjang pertandingan, dia antara yang paling menyerlah.

“Benda toksik begitu, mental dia masih kuat kerana sebelum ini ada yang selalu toksik di stream dan memberikan kecaman tidak patut.

“Dengan membabitkan keluarga, dan ibu bapa, ini sememangnya tak patut tapi sebagai seorang pemain, dia terpaksa hadap,” katanya.

Aiman turut menyifatkan kecaman tersebut bersifat melampau dan tidak patut.

“Kita jangan terlalu taksub, nak benci seseorang jangan melebih-lebih. Sebagai seorang pemain, ia akan memberi kesan kepada prestasinya,” katanya. 

RELATED NEWS

+