Liga E-Sukan Kebangsaan Pada Tahun 2020 – Syed Saddiq

Industri e-sukan pada tahun depan akan menyaksikan lebih ramai bakat-bakat baharu sesuai dengan hasrat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang akan menganjurkan Liga Sukan Elektronik Kebangsaan 2020 pada tahun depan.

Objektif liga itu adalah mewujudkan sistem ranking pemain selain boleh dijadikan kriteria pemilihan atlet untuk mewakili negara ke pertandingan peringkat kebangsaan. Ia diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq dalam satu sesi Dewan Rakyat semalam.

Liga ini akan membabitkan penyertaan dari semua negeri bagi merancakkan lagi pembangunan e-sukan di seluruh negeri.

Selain itu, pelan pembangunan e-sukan di seluruh negeri akan dijalankan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dan Jabatan Belia Sukan Negara malah akan ada pusat latihan di setiap negeri dapat ditubuhkan bagi memastikan perlaksanaan program ini dapat diseragamkan hingga ke peringkat akar umbi.

KBS juga berharap agensi seperti pihak berkuasa tempatan, badan bukan kerajaan (NGO) dan badan korporat dapat bekerjasama untuk sama-sama menjayakan perancangan ini.

Pengumuman liga e-sukan kebangsaan ini bagaimanapun tidak lagi mempunyai tarikh khusus ataupun senarai permainan video akan dipertandingkan. Sesuai dengan status kebangsaan, pastinya diharapkan permainan di semua platform (PC, konsol dan mobile) dapat dijalankan serentak bagi memberi peluang kepada semua atlet bertanding tanpa mengira platform.

Dalam perkembangan sama, peruntukan dana kerajaan dalam industri e-sukan adalah sebanyak RM5 juta diluluskan untuk KBS bagi Belanjawan 2019.

RM5 juta lagi pula akan diagihkan kepada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC). Bagaimanapun, tiada lagi perincian lanjut bagaimana dana itu akan digunakan dalam pembangunan industri berkaitan.

Foto: The Star 

RELATED NEWS

+