Luqman Haziq muncul juara kelayakan Asia Timur bagi FIFA Global Series

Kuala Lumpur: Satu lagi sejarah tercipta apabila Luqman Haziq atau lebih dikenali sebagai GBX.LuqmanHzq muncul menjadi pemain pertama di Asia Timur yang menjuarai ‘FIFA Global Series East Asia Qualifier 3’ tanpa mencatatkan sebarang kekalahan.

Lebih manis lagi, kejuaraan ini melonjakkan beliau menjadi pemain nombor 1 Malaysia bagi carta FIFA Global Series seterusnya melayakkan beliau bermain di FIFA Global Series East Asia Playoff yang dijangka akan berlangsung pada bulan Jun tahun ini.

Laluan GBX.LuqmanHzq sememangnya sukar kerana beliau diundi bertemu pemain terbaik Asia Timur dari Indonesia iaitu Eggsy dari pasukan RRQ di peringkat saringan disamping pemain dari Jepun.

Selepas berjaya mengharungi sesi saringan, GBX.LuqmanHzq meneruskan perjalanan bertemu pemain dari Singapura dan 2 pemain dari Jepun.

Pada perlawanan akhir, GBX.LuqmanHzq berjaya menumpaskan lawannya dari Singapura iaitu Buzzinho dengan jumlah jaringan 3 – 2 seterusnya ditabalkan sebagai juara keseluruhan.

“Sasaran saya pada awalnya adalah sekurang-kurangnya mendapatkan tempat ke-3 kerana ini memperbaiki kedudukan saya di carta FIFA Global Series.

“Alhamdulillah, berkat kesungguhan dan sokongan dari pasukan saya, saya mampu menjadi juara keseluruhan di kejohanan ini dan menjadi pemain tunggal yang tidak pernah dikalahkan di dalam satu kejohanan”, kata Luqman Haziq.

Pada Oktober 2020, Gamesbond dan pasukan sukan elektronik nombor 1 di Malaysia, Team Bosskurr mencapai persefahaman untuk membentuk satu pasukan sukan elektronik khusus bagi kategori FIFA.

Umum mengetahui bahawa sebelum ini Team Bosskurr lebih sinonim dengan pasukan sukan elektronik kategori “mobile” seperti Mobile Legend Bang Bang dan PUBG Mobile.

Pasukan sukan elektronik GBX mendapat sokongan dan tajaan dari unifi, BenQ dan Occasin.

Dengan penajaan ini, ianya dapat membantu pasukan GBX untuk terus fokus bersaing di dalam kejohanan-kejohanan yang berlangsung samada di dalam negara mahupun kejohanan antarabangsa.

RELATED NEWS

+