M1: “Saya Paling Suka Nasi Lemak,” – Rafflesia

Pemain Mobile Legends dari Filipina, Christian Fajura atau lebih dikenali sebagai Rafflesia sangat gemarkan nasi lemak sejak berkunjung ke Malaysia untuk menghadapi Kejohanan Dunia Mobile Legends, M1 yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil bermula hari ini.

Dia yang bermain sebagai pemain pembantu/pertahanan untuk skuad Sunsparks mengatakan makanan kebangsaan itu menepati seleranya yang suka makan pedas.

“Saya sangat sukakan nasi lemak terutamanya kerana keunikan rasa sambal selain rendang ayam yang enak.

“Pengalaman saya berada di Malaysia setakat ini dipenuhi memori indah-indah belaka, termasuk lah makanan yang sedap,” katanya sambil ketawa.

Menceritakan sasaran untuk pasukannya di lower bracket esok, mereka ingin lakukan yang terbaik dan tidak ingin rasa terlalu tertekan.

“Kalau ikutkan, saya suka untuk have fun dan enjoy the moment kerana itu cara untuk elak tekanan. 

“Mungkin ramai sedia tahu saya seorang yang ceria dan suka buat muka kelakar sebab itu personaliti saya. Itu cara saya nak redakan tekanan ketika berada di pentas kompetitif ini.

“Apa yang saya boleh nampak, semua pemain di sini (M1) memberikan yang terbaik dan sangat kompetitif,” katanya.

Rafflesia juga ingin pasukannya layak ke Grand Final dengan menewaskan baki pasukan yang ada.

“Kami sasar untuk jadi pasukan yang terbaik dengan menewaskan apa saja halangan esok,” katanya.

Selain Rafflesia, Sunsparks terdiri daripada Cedrie “Fuzaken” Pasusani, Kiel VJ “KielVJ” Cruzem, Renz Errol “Renzio” Cadua, Jaypee “Jaypee” Dela Cruz, dan Francisco “Eskii Flexx”

Kejohanan Dunia M1 mengumpulkan 16 pasukan terbaik Mobile Legends di serata dunia berentap merebut hadiah wang tunai terkumpul RM1 juta. Ia berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil bermula hari ini hingga Ahad.

Sunsparks akan bertembung dengan pasukan Myanmar, Burmese Ghouls esok dalam pusingan kalah mati.

Pasukan negara, Todak pula akan mempertaruhkan nasib mereka berdepan skuad Jepun, 10Second Gaming yang menewaskan pasukan senegara, Axis Esports.

RELATED NEWS

+