MESF umum kerjasama RM140 juta bersama Dynasty Esports, wujudkan platform e-sukan nasional

Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) semalam mengumumkan kolaborasi bersama Dynasty Esports (M) Sdn. Bhd bernilai RM140 juta dalam langkah mewujudkan platform rasmi e-sukan nasional rasmi negara.

MESF dahulunya dikenali sebagai Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) sebelum mendapat kelulusan Pesuruhjaya Sukan (PJS) untuk ditukar nama baru.

Menerusi lima tahun kolaborasi strategik ini, Dynasty Esports (M) Sdn Bhd akan menyediakan platform untuk pengurusan dan kawalan ekosistem e-sukan yang efektik termasuk dalam aspek pendaftaran kejohanan, kelab e-sukan, berita e-sukan tempatan, pendaftaran atlet negara dan banyak lagi di bawah satu platform bersepadu tunggal.

Ia juga akan menampilkan leaderboard pertama untuk e-sukan dan sistem ranking bagi setiap permainan e-sukan dalam negara. Lebih menarik, ia juga akan mempunyai kalendar untuk aktiviti berkaitan e-sukan dalam negara dan juga kejohanan kebangsaan memaparkan atlet negara. 

Tambahan, MESF akan menyambung pelan liga e-sukan kebangsaan yang akan memasukkan permainan e-sukan di PC, konsol, platform mudah alih, simulasi perlumbaan, dan realiti maya (VR) di Malaysia.

Langkah ini seiring dengan Pelan Strategik untuk Pembangunan E-Sukan yang dilancarkan tahun lalu oleh bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Kami percaya pembangunan e-sukan dapat dirancakkan lagi dengan bekerjasama rapat bersama penganjur kejohanan, pembangun permainan video, penerbit, komuniti, bakat tempatan dan pihak berkepentingan,” kata Presiden MESF, Dato’ Ananth S.Nathan.

RELATED NEWS

+