Mobile Legends: Hangus Tidak Lagi Bersama Todak, Mendapat Sumbangan RM10,000

Jurulatih Todak, Muhammad Rifhan Mohd Rizal (Hangus) tidak lagi bersama pasukan Mobile Legends itu, tulis Todak dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Pengurus, Mohd Syazlan Mohd Rosdi atau Ashi mengatakan mereka telah berbincang sebelum keputusan ini dibuat.

“Kami ada berbincang dan dia sendiri menyatakan hasratnya untuk menarik diri dari pasukan.

“Pihak pengurusan bersetuju walaupun saya sendiri berat hati. Dengan ini kami semua ingin ucap selamat maju jaya kepada beliau atas jasanya selama ini,” kata Ashi.

Todak bagaimanapun tak mendedahkan sebab sebenar Hangus memilih untuk keluar.

Sebagai penghargaan dan jasanya melatih ahli kumpulan Todak yang meraih naib juara di MPL MY/SG Musim Keempat dan tempat ketiga di Kejohanan Dunia, M1 baru-baru ini, Hangus menerima hadiah penghargaan sebanyak RM10,000.

Ashi juga berharap peminat terus memberi sokongan kepada mereka untuk menghadapi musim baru MPL MY/SG Musim Kelima yang mana mereka turut menerima slot jemputan terus ke musim liga.

Pasukan Malaysia ini juga berharap untuk mendapat slot ke Kejohanan Dunia, M2 yang akan berlangsung di Jakarta, Indonesia tahun ini.

RELATED NEWS

+