Mobile Legends: Xorn dalam fasa pinjaman kepada organisasi e-sukan luar Malaysia

Selepas berakhirnya MPL MYSG Musim Keenam, pemain multi-role, Mohamad Zul Hisham Mohd Noor atau Xorn kini menandatangani perjanjian baru bersama Geek Fam dengan mempersetujui untuk dipinjamkan kepada organisasi e-sukan serantau (Indonesia terutamanya) bagi mendapat pendedahan peringkat antarabangsa.

“Saya rasa teruja dengan perancangan ini kerana saya sangat menyayangi Geek Fam dan ingin mainkan peranan lebih besar pada masa depan.

“Tapi saya juga rasa ada banyak ruang untuk berkembang sebagai pemain dan ingin merasai pengalaman menjadi pemain di luar negara.

“Indonesia sentiasa menjadi destinasi yang saya inginkan kerana arena kompetitif francais MPL mereka dan ia adalah tempat ideal saya ingin pergi.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada Geek Fam kerana banyak membantu saya menjadi lebih baik sebagai pemain selama dua tahun setengah ini. Saya percaya dengan pihak pengurusan dan tak sabar menanti keputusan tingkap perpindahan bagi musim ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Ini bermakna Xorn masih bersama Geek Fam tapi bersedia dipinjamkan untuk organisasi lain dan beliau boleh kembali pada suatu hari nanti sebagai pemain yang lebih baik atau sebagai ketua pasukan.

Geek Fam juga menyatakan organisasi di Indonesia dan Filipina sudah mengintai Xorn dan berminat memasukkan beliau ke dalam skuad mereka. Tapi Geek Fam tidak melulu dan masih memikirkan sebarang kemungkinan.

Selain itu, Geek Fam juga sudah mula melakukan perbincangan terbuka bersama organisasi e-sukan terkenal di rantau ini untuk peminjaman pemain pada masa akan datang.

Kini, mereka umum pembukaan bagi pemain baru untuk cuba bermain di bawah nama Geek Fam. Ini selari dengan misi Geek Fam untuk menjadi pasukan yang mengandungi pemain baru dan lama bagi mencipta satu dinamik baru dalam sebuah pasukan.

Pemain-pemain sedia ada untuk roster Geek Fam kini mempunyai peranan lebih besar bagi pasukan mereka.

RELATED NEWS

+