MPL Malaysia: “Terlalu awal untuk rasa selesa,” – Fryzo (jurulatih Red Esports)

Nik Mohd Hafizuddin Nik Mohd Kamil atau Fryzo adalah ketua jurulatih bagi Red Esports bermula semalam.

Bercakap kepada penulis, Red Esports pada mulanya tiada jurulatih untuk baki MPL lantas membuka ruang kepadanya mencuba nasib.

“Faiez Wahab (Uncle Chikanook) bagitahu yang Red perlukan jurulatih untuk baki minggu-minggu liga MPL. 

“Ketika itu, saya ambil masa nak buat keputusan sebab ada urusan kerja di Pahang tapi saya rasa ini peluang yang jarang ada jadi dua hari selepas itu saya tiba di GH Red Esports di Bangi, dan sahut cabaran ini,” katanya,

Ketika ditanya bila beliau mula berkecimpung dalam bidang e-sukan MLBB, kata Fryzo, MPL MYSG musim kelima adalah permulaan segalanya.

“Saya mula selepas dapat tawaran daripada Laphel untuk menjadi penganalisa bagi pasukan Axis Esports di MPL bersama jurulatih dari Indonesia.

“Sebelum itu, banyak buat analisis gameplay perlawanan di kejohanan dunia M1 dan juga mana-mana kejohanan amatur.

“Selepas MPL MYSG musim kelima, saya dapat tawaran jadi jurulatih bagi salah satu pasukan daripada Anbu X Gaming. Saya juga banyak buat penulisan analisis perlawanan MLBB tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Mengenai prestasi Red Esports yang membuat kejutan berada di ranking kedua kumpulan B, Fryzo berkata, mereka masih belum boleh menarik nafas lega.

“Masih terlalu awal buat mereka berasa selesa. Peningkatan prestasi dari RSG MY dan juga Team Bosskurr menunjukkan mereka sedang cuba sebaik mungkin mendapatkan slot ke play-off.

“Begitu juga dengan Red Esports, kami akan berusaha kekalkan ranking kedua ini dan cuba memberi tekanan kepada Suhaz EVOS,” katanya.

Ditanya jika ada pemain baru akan masuk, Fryzo berkata ia hanya kemungkinan dan akan menjadi kejutan untuk MPL kali ini.

Malah, katanya, pada ketika ini, beliau mahukan Red Esports terus konsisten dan cuba dapatkan keputusan yang baik dalam setiap perlawanan dan berikan tekanan kepada pasukan dihadapi kelak.

RELATED NEWS

+