MPLI: Dari peringkat universiti sehinggalah ke pentas Asia Tenggara – Neo (Orange Louvre Esports)

Pasukan Orange Louvre Esports antara pasukan pilihan di Kejohanan Jemputan Liga Profesional Mobile Legends (MPLI) apabila berjaya meraih tempat ketiga di MPL Malaysia dan Singapura Musim Keenam baru-baru ini.

Pasukan yang mulanya dianggotai oleh empat pemain Malaysia dan dua pemain Indonesia ini pada mulanya mengalami ketidakserasian selain kesukaran komunikasi yang jauh. Tapi minggu demi minggu mereka berjaya atasi masalah ini.

Terbaru, OLE merekrut dua pemain baru, Neo dan Chibi serta bekas pemain Geek Fam Indonesia, Joker manakala Hyhy dan D’Ace pulang ke Ezzy Esports.

Muhammad Azam bin Ahmad atau Neo membuktikan sebagai pelajar bukanlah penghalang untuk ke pentas Asia Tenggara. Ikuti temubual penulis bersama anak muda kelahiran Muar, Johor ini.

 

Bermula dari Team Pyro, masuk XPAX Kejohanan E-Sukan Kampus (XPAXKEK)

Azam (dua dari kanan) dan Hanis (paling kanan).

Siapa sangka, bakat terpendam sebenarnya bermula daripada peringkat akar umbi, iaitu peringkat universiti. Azam yang juga pelajar jurusan Kejuruteraan Perkhidmatan Awam di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) ini bermula dengan Team Pyro yang ditubuhkan pada 2018 lalu.

Mereka mencuba nasib dalam XPAXKEK Zon Tengah dan berjaya meloloskan diri ke Grand Final, seterusnya berjaya mendapatkan tempat ketiga.

Team Pyro juga meneruskan kejayaan pada semester kedua, turut berjaya ke Grand Final XPAXKEK Semester 2.

“Hobi saya memang suka main game dan saya tahu bidang e-sukan ini boleh dijadikan satu cabang untuk saya jana duit sampingan,” kata Azam, ringkas.

Walaupun sibuk dengan tugasan dan kehidupan sebagai pelajar namun Team Pyro tetap komited bertanding dalam e-sukan.

“Bermain game tidak mengganggu pembelajaran kami. Alhamdulilah, semuanya baik sahaja. Apa yang penting ialah pembahagian masa antara latihan dan pembelajaran.”

“Ibu bapa dan pensyarah pun menyokong kami bermain secara sihat sehinggakan mereka bantu menaja kami selepas melihat pasukan kami berjaya ke Grand Final ACE (satu kejohanan kampus lain,” kata Hanis, rakan kepada Azam.

Selepas XPAXKEK, perjalanan Azam kemudiannya terus dipermudahkan dan beliau berjaya direkrut ke Team SMG untuk beberapa ketika.

Namun, pencapaiannya yang paling membanggakan setakat ini ialah menyertai Orange Louvre Esports dan bertanding di MPLI pada 27 November ini.

 

Kuja Whatsapp, ajak sertai OLE

Bermula dengan satu pesanan ringkas di Whatsapp dari pemain veteran MLBB, Kuja, rezeki Azam terus bertambah apabila dilamar untuk memasuki OLE.

“Kuja hantar pesanan di Whatsapp mengatakan beliau suka gameplay saya sebagai offlaner dan memberi tawaran menyertai OLE. Ketika itu saya bersama skuad Purge Esport.

“Alhamdulillah, selepas saya bincang dengan ahli pasukan selama seminggu, saya buat keputusan untuk sertai OLE dan mereka menghormati keputusan tersebut,” kata Azam yang bersyukur dengan peluang diberikan.

Tidak sampai tiga minggu berada di gaming house, Azam terus giat berlatih untuk menghadapi MPLI.

“Kira sehari boleh hampir 9 ke 10 jam berlatih. Kami biasa scrim dengan pasukan luar. Tapi ada rehat antara latihan-latihan dijalankan,” katanya. 

Biarpun baru saja berkenalan dengan Kuja dan Aim, Azam terus mengadaptasi tanpa masalah dan mereka kini sekepala.

“Kami banyak berkomunikasi menerusi Discord bersama rakan dari Indonesia, Joker dan Jiji.

“Tiada banyak masalah kerana bahasa digunakan boleh difahami kedua belah pihak,” kata Azam.

 

 

Kena pandai bahagi masa, dispilin kena jaga

Ketika ditanya nasihat ingin diberikan kepada penuntut institusi pengajian tinggi di luar sana yang ingin mengikut jejak langkahnya, Azam berkata, paling penting adalah disiplin.

“Ketika dalam permainan dan di luar permainan, disiplin adalah amat penting.

“Tanamkan satu impian dan jangan menyerah kalah, teruskan usaha sampai kita dapat apa yang kita inginkan,” kata Azam.

Azam juga ingin memberikan masa selama satu atau dua tahun untuk fokus kepada e-sukan sebelum membuat keputusan melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda nanti.

Bagi yang ingin mengikuti perjalanan Azam dan Orange Louvre Esports di MPLI, nantikan debarannya pada 27 November nanti.

Barisan penuh ahli skuad OLE:

  • Ajwad Mohd Yusof (Kuja) – Kapten
  • Muhammad Aiman Mohd Abas (Aim)
  • Muhammad Azam Ahmad (Neo)
  • Muhammad Nazhan Mohd Nor (Chibi)
  • Kristian Wira Pranata (Jiji)
  • Devid Ginola (Joker)

Di kesempatan ini juga, penulis dari pihak MyGameOn ingin ucapkan terima kasih kepada Celcom, KITAMEN, Team Rhythm dan penaja-penaja yang sama-sama menjayakan XPAXKEK Semester 1 dan 2 serta memberi peluang kepada pasukan-pasukan universiti mencapai peringkat lebih tinggi!

RELATED NEWS

+