Pasukan Malaysia Menarik Diri Daripada Overwatch World Cup 2019 Atas Masalah Kewangan

Perjalanan Team Malaysia Overwatch untuk mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa kini telah terhenti.

Pengurus Pasukan, Kenn Leandre mengumumkan pengunduran pasukan Overwatch Malaysia secara rasmi daripada Overwatch World Cup 2019 melalui Twitter.

Penarikan diri pasukan Overwatch untuk sertai liga antarabangsa Overwatch yang akan berlangsung semasa BlizzCon 2019 berpunca daripada masalah kewangan. 

Menurut kenyataan rasmi, Kenn menjelaskan mereka telah cuba sedaya upaya untuk mencari dana untuk menampung perbelanjaan dan pelbagai kos lain tetapi tidak berjaya mengumpul dana mencukupi dalam tempoh masa diberikan bagi membawa 7 pemain rasmi ke Pusat Konvesyen Anaheim, California, Amerika Syarikat.

“Permintaan bantuan daripada beberapa syarikat tempatan untuk mengurangkan beban perjalanan dan kewangan kami ditolak mentah-mentah. Sokongan dijanjikan oleh badan sukan negara sangat memberangsangkan pada mulanya tetapi akhirnya menghampakan apabila kami dimaklumkan dana yang diperuntukkan (separuh daripada apa yang kami minta) hanya akan diberikan sejurus selepas Overwatch World Cup 2019 berakhir,” kata Kenn.

Selain itu, pasukan Overwatch Malaysia hanya menerima tajaan RM5,000 daripada laman sesawang video game tempatan, Kakuchopurei dan menjual jersi khas direka untuk pasukan Overwatch Malaysia demi menampung kos-kos seperti membayar pereka dan pekerja bebas (hasil seni dan rekaan).

Dalam kenyataan yang sama, pengurus pasukan sempat mengucapkan ribuan terima kasih kepada sokongan ramai yang diberikan untuk pasukan Overwatch Malaysia dan berharap dana yang dijanjikan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan digunapakai untuk mempersiapkan pasukan Malaysia untuk pertandingan pada tahun hadapan serta membantu pertumbuhan komuniti Overwatch di Malaysia. 

Barisan pemain Team Malaysia Overwatch dalam bentuk manga. Sumber: FB Team Malaysia Overwatch

Ketua Komuniti, Intan Sunsan berkata dia berbangga atas usaha yang dicurahkan oleh barisan pemain, jurulatih dan ahli jawatankuasa lain serta sokongan awam tidak putus-putus untuk merealisasikan impian pasukan Overwatch tempatan ke Overwatch World Cup semasa dihubungi oleh MyGameOn.

Intan turut meluahkan rasa sedih terhadap pengunduran pasukan Overwatch Malaysia tetapi dia berharap ini bukan penyertaan terakhir pasukan Malaysia untuk ke liga antarabangsa Overwatch.

Buat pengetahuan korang, ini merupakan pertama kali pasukan tempatan Overwatch berjaya melayakkan diri ke Overwatch World Cup yang ke-4 dianjurkan oleh Blizzard.

Untuk berita lanjut mengenai gaming dan e-sukan, ikuti kami di FacebookTwitter dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+