Perkembangan The Sims 4 seterusnya bertemakan budaya Jepun dan permainan salji

Pek Perkembangan (Expansion Pack) seterusnya untuk The Sims 4 kini telah diumumkan. Ia bertajuk The Sims 4: Snowy Escape dan ia bertemakan budaya Jepun dan juga permainan salji di kawasan pergunugan.

Musim salji telah diperkenalkan dalam The Sims 4 sebelum ini melalui pek perkembangan The Sims 4: Seasons. Walaubagaimanapun, ia tidak memperkenalkan aktiviti-aktiviti baharu yang hadir bersama Snowy Escape seperti ski salji, memanjat batu, dan papan luncur salji.

Semua aktiviti tersebut boleh dilakukan di Mt. Komorebi, lokasi baharu yang diperkenalkan dalam Snowy Escape. Ia juga mengandungi aktiviti menarik lain seperti kolam mata air panas atau onsen dan pengemberaan ke tempat-tempat menarik seperti hutan buluh dan kuil gunung.

Sebuah pek perkembangan The Sims 4 tidak lengkap tanpa perabot dan peralatan pembinaan rumah baharu. Dalam Snowy Escape, kebanyakan perabot dan peralatan baharu adalah bertemakan budaya Jepun. Contohnya, pemain boleh meletakkan tikar tatami sebagai penghias lantai.

Penambahan baharu dari segi watak-watak Sims pula (selain daripada pakaian baharu) ialah Lifestyles dan Sentiments. Lifestyles ialah hasil daripada tindak-tanduk dan tabiat Sim. Faktor-faktor tersebut akan mempengaruhi kelakuan Sim.

Sentiments pula muncul daripada pengalaman yang dikongsi antara Sims dan ia akan mempengaruhi interaksi mereka. Perkara sebegini juga memberi kesan tempoh panjang terhadap hubungan antara Sims yang terlibat.

The Sims 4: Snowy Escape akan dilancarkan pada 13 November untuk PC (Steam & Origin), PlayStation 4 (PS4), dan Xbox One. Untuk maklumat lanjut, anda boleh rujuk laman web rasmi The Sims 4.

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+