PES 2020: Malaysia Hantar Dua Wakil, Norhaikal Dan Syah Ke Piala Presiden Esports Di Indonesia

Minggu lalu, pemain e-sukan tempatan, Norhaikal Md Noh dan Muhammad Syah Ali terpilih sebagai wakil negara ke Grand Final kejohanan PES 2020 di Jakarta, Indonesia yang dijangka bermula pada Februari ini.

Norhaikal dan Syah menang slot itu dalam pusingan kelayakan mengumpulkan 32 pemain PES negara yang juga pemegang ranking tertinggi di bawah WEPES Malaysia.

Kejohanan Piala Presiden Esports pada Februari depan mengumpulkan 10 pemain dari lima negara, Malaysia, Thailand, Myanmar, Vietnam dan Indonesia sebagai tuan rumah. Malah, ini juga kali pertama Pro Evolution Soccer dipertandingkan selain Garena Free Fire yang menjadi tarikan utama di sana nanti.

“Alhamdulillah, Malaysia dijemput untuk menghantar wakil memandangkan komuniti PES kita berkembang dengan baik di samping ada bakat-bakat hebat.

“Ini juga boleh menjadi platform kepada anak muda negara bertanding di kejohanan Asia Tenggara. Ia boleh gilap lagi bakat mereka,” kata Shaharil Shaifuddin Shaharuddin, wakil dari WEPES Malaysia.

Shaharil juga berkata, pusingan kelayakan ini dianjurkan dengan bantuan dana dari studio gaming yang mana antaranya menyumbang dari RM50 hingga RM500 bagi menanggung kos operasi dan kelancaran pertandingan.

Sebelum ini 32 pemain yang bertanding dalam kelayakan mula bermain dalam kejohanan di bawah kerjasama WEPES Malaysia sejak September hingga akhir Disember.

Pemenang bagi kejohanan Piala Presiden Esports ini akan membawa pulang AS$7,000 (RM28,605).

(Foto: JomGaming)

RELATED NEWS

+