PUBG Global Invitational.S akan berlangsung di Korea Selatan bermula dari Februari 2021

Pandemik COVID-19 memaksa PUBG Corporation untuk membatalkan kejohanan PUBG Global Series pada tahun ini. Syarikat tersebut kini mengumumkan kejohanan besar baharu untuk tahun 2021 yang diberi nama PUBG Global Invitational.S (PGI.S).

PGI.S akan diadakan selama 8 minggu bermula dari 1 Februari hingga 28 Mac 2021. Ia merupakan kejohanan e-sukan PUBG paling panjang setakat ini. 32 pasukan dari seluruh dunia akan bertanding di Korea Selatan untuk memenangi sebahagian daripada hadiah terkumpul yang berjumlah AS$3.5 juta (RM14.3 juta).

Berikut adalah pecahan penyertaan 32 pasukan dalam kejohanan ini mengikut wilayah:

  • Eropah: 7 pasukan
  • China: 6 pasukan
  • Asia Tenggara: 5 pasukan
  • Amerika Utara: 4 pasukan
  • Korea Selatan: 4 pasukan
  • Amerika Latin: 2 pasukan
  • Jepun: 2 pasukan
  • Taiwan: 2 pasukan

Anda mesti tertanya-tanya apakah maksud huruf “S” yang diletakkan dalam PGI.S. Menurut PUBG Corporation, ia mempunyai beberapa maksud dan salah satunya ialah Safety. Pihak penganjur menjanjikan mereka akan memastikan kesihatan dan keselamatan semua individu yang terlibat dijamin terjaga.. Jadual kejohanan diolah untuk menyesuaikan tempoh kuarantin dua minggu setiap pasukan.

Kejohanan ini akan disiarkan secara langsung melalui laman Twitch dan YouTube PUBG Esports.

Sumber rujukan: PUBG Corporation

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+