‘Rasa Bagaikan Mimpi Dapat Jadi Wakil Negara Bagi PES 2018,’ – Atlet Esports Malaysia Ke Sukan Asia 2018

Di saat Sukan Asia 2018 diumumkan, ramai tidak menyangka Sukan Asia kali ini akan membuka lembaran baharu bagi satu sektor sukan yang sering diambil enteng oleh masyarakat kita. Buat pertama kali dalam sejarah, sukan esports akan ditonjolkan seiring dengan sukan fizikal di Sukan Asia tahun ini.

Kehadiran esports dalam acara sukan kedua terbesar turut diraikan oleh gamers serantau Asia dan lebih bermakna lagi apabila Malaysia berjaya menghantar wakil bagi salah satu daripada enam game yang dipertandingkan di Sukan Asia 2018.

Baca lanjut: Segala Yang Korang Perlu Tahu Tentang Sukan Asia 2018 – Senarai Game, Jadual Dan Mana Untuk Tonton Demonstrasi Esports

Layak ke Sukan Asia 2018: Khairul (dua dari kiri) bersama Norhaikal

Walaupun Malaysia telah menghantar wakil untuk setiap game iaitu Arena of Valor, Clash Royale, Hearthstone, StarCraft II, League of Legends, hampir kesemua kecundang di peringkat kelayakan kecuali bagi satu game, Pro Evolution Soccer 2018 (PES 2018).

Dua atlet esports Malaysia Muhamad Khairul Abdul Aziz “Keron” bersama Mohamad Norhaikal Mohamad Noh “Haikal” akan berdepan dengan pemain profesional dari negara lain seperti Hong Kong, Iran dan Kazakhstan di demonstrasi esports Sukan Asia ke-18 pada 1 September nanti.

Pasangan duo ini bertemu di Alpha Gaming, Johor dan berkongsi minat yang sama iaitu bermain game sukan bola sepak, PES. Setelah mereka berdua berjaya melayakkan diri ke Sukan Asia Indonesia, mereka selalu berkongsi kekuatan dan kelemahan permainan mereka untuk beradu tenaga dengan pihak lawan dalam pertandingan bentuk format co-op.

“Dari segi persediaan Sukan Asia, kami bekerja lebih keras lagi dengan tambah masa training 4-5 jam hampir setiap hari. Faktor ini berpunca kerana pilihan pasukan bola tidak ditetapkan oleh kami. Pihak pertandingan hanya terhadkan kepada enam pasukan sahaja. Jadi, kami memilih untuk terus berlatih dengan pasukan seperti Arsenal dan Barcelona,” kata Haikal.

Khairul merangkul tempat keempat untuk PES SEA Finals setelah kalah kepada pemain dari Vietnam, Le Tam yang dinobatkan sebagai juara sejurus dari itu. Kredit gambar: PES Malaysia

Khairul berkata pengalamannya bertanding dalam PES SEA Finals yang dijayakan pada minggu lepas juga sedikit sebanyak menambah persediaan dan latihan untuk dia berhadapan dengan pemain utama dari negara Asia lain.

Untuk melatih diri untuk jadi pemain lebih bagus, Khairul memberitahu kepada penulis, “Saya sering jemput kawan-kawan saya datang ke rumah untuk berlatih dengan saya. Dari situ, saya bertanyakan pendapat mereka tentang corak permainan saya dari segi serangan atau pertahanan dan apa yang saya boleh baiki untuk lebih kuat nanti.”

Apabila ditanyakan tentang harapan dan aspirasi bagi kejohanan ini, Khairul menjawab, “Saya dan Haikal akan buat sebaik mungkin untuk membuktikan negara Malaysia setanding dengan negara Asia lain dari segi esports.

Saya juga berharap untuk membuka pandangan orang tentang esports terutamanya PES sebab selalunya orang Malaysia lebih tertumpu kepada game FIFA yang gah dikenali oleh komuniti esports seluruh dunia dan penglibatan PES 2018 dalam Sukan Asia ini boleh mengukuhkan lagi arena kompetitif PES di Malaysia dan serata Asia.”

Tersenyum lebar: Haikal dan Keron bertemu Alif Satar bagi rancangan NTV7 ‘It’s Alif’

Walaupun duo ini masih lagi baru dalam pentas kompetitif PES, Haikal mensasarkan negara Malaysia untuk menduduki senarai tiga pasukan teratas semasa berada di Sukan Asia Indonesia. “Kami tak pentingkan pingat emas tapi kami tetap berharap untuk membawa pulang pingat dari Sukan Asia, tak kisahlah warna apa pun,” menambah Haikal.

Meskipun hanya digelar sebagai satu acara demonstrasi esports, kewujudan esports dalam temasya sukan kedua terbesar di dunia dijadikan sebagai platform persediaan untuk Sukan Olimpik dan juga Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China.

Mendukung sokongan penuh kedua-dua ibu bapa mereka dan harapan peminat esports Malaysia, pencapaian dua anak Malaysia yang akan terbang ke Jakarta pada 28 Ogos ini, membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa seharusnya dibanggakan. Kami dari MyGameOn ingin merakamkan ucapan tahniah dan semoga berjaya dalam usaha untuk mencipta satu sejarah membanggakan di Indonesia nanti!

RELATED NEWS

+