[RASMI] E3 2020 Dibatalkan

Seperti banyak sektor lain, industri permainan video juga terkesan dengan penyebaran COVID-19. Nampaknya acara tahunan terbesar dalam industri permainan video tidak akan berlangsung untuk tahun ini.

Entertainment Software Association (ESA), pihak penganjur Electronic Entertainment Expo (E3), telah mengumumkan bahawa E3 2020 dibatalkan kerana penyebaran wabak COVID-19.

Acara tersebut sepatutnya berlangsung dari 9 Jun sehingga 11 Jun 2020 di Los Angeles, California. Pihak ESA kini sedang berusaha untuk membayar balik semua pempamer dan penghadir yang terkesan dengan perubahan ini.

Walaubagaimanapun, ini tidak bermakna E3 2020 langsung tidak akan berlaku.

Pihak ESA sedang cuba merancang sebuah pengalaman dalam talian untuk kongsi pengumuman-pengumuman besar daripada industri permainan video.

Beberapa syarikat pembangunan dan penerbitan permainan video telah pun mengeluarkan pengumuman sebagai respon kepada pembatalan E3 2020.

Phil Spencer, ketua bahagian Xbox di Microsoft, menyatakan bahawa pasukannya akan mengadakan sebuah acara dalam talian dan butiran-butiran mengenai acara tersebut akan diumumkan tidak lama lagi.

Sama seperti kenyataan ESA, pihak Ubisoft juga menyatakan bahawa mereka sedang mencari jalan untuk mengadakan sebuah acara dalam talian.

Ini merupakan berita yang sangat menyedihkan bagi penggemar permainan video seluruh dunia kerana E3 merupakan acara tahunan yang sering dijadikan tempat dan waktu untuk mengumumkan berita-berita terbesar dalam industri permainan video.

Nyawa dan kesihatan tetap kepentingan utama dan pihak ESA patut dipuji kerana mengambil langkah berjaga-jaga terhadap COVID-19 yang telah menjangkiti lebih daripada 1,200 warganegara Amerika Syarikat.

Sumber: ESA

Foto: E3 Expo

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+