[Review] Hades – sekali main, takkan berhenti!

Kod ulasan disediakan oleh Supergiant Games. Ulasan dilakukan di PC.

Antara aspek yang membuatkan sebuah permainan hebat ialah kebolehannya untuk menimbulkan perasaan “satu kali lagi” dalam hati pemain selepas ditewaskan. Antara permainan yang berjaya mewujudkan perasaan begitu adalah permainan-permainan buatan FromSoftware seperti siri Dark Souls dan Sekiro: Shadows Die Twice.

Hades ialah sebuah permainan yang layak menyertai senarai tersebut. Permainan buatan dan terbitan Supergiant Games ini menonjolkan konsep permainan yang amat mudah untuk difahami tetapi ia juga mempunyai banyak lapisan yang boleh diterokai oleh pemain.

Studio yang sama juga pernah mengeluarkan permainan-permainan hebat lain seperti Bastion, Transistor, dan Pyre. Mereka memang terkenal dengan karya mereka yang mempunyai gaya seni tersendiri yang berwarni-warni dan rekaan permainan yang mengasyikkan.

Perkara yang unik mengenai Hades ialah ia merupakan permainan roguelike pertama daripada studio tersebut. Dalam sebuah permainan roguelike, setiap kali pemain memulakan semula perjalanan dalam dungeon permainan ini, susunan dan rekaan setiap bilik disusun secara rawak.

Adakah formula ini membuatkan Hades sebuah permainan yang menyeronokkan? Jom baca ulasan ini untuk mengetahui mengapa penulis berikan Hades skor yang tinggi!

 

Hadiah manis untuk peminat Mitologi Yunani

Seperti yang dinyatakan dalam tajuk permainan ini, jalan ceritanya berkait rapat dengan dewa kematian dalam Mitologi Yunani iaitu Hades. Dalam permainan ini, pemain akan mengawal watak Zagreus iaitu anak kepada Hades dan misi utama ialah untuk melarikan diri dari dunia bawah (underworld).

Dunia bawah dipecahkan kepada beberapa peringkat seperti Tartarus, Asphodel, dan Elysium. Rekaan yang cantik serta unik untuk setiap peringkat menunjukkan persekitaran permainan ini direka dengan sangat teliti dan kreatif. Contohnya, kehijauan di Elysium berkontra dengan kejinggaan lava di Asphodel.

Dalam perjalanan tersebut, kita akan bersemuka dengan banyak dewa-dewa dan makhluk lain daripada Mitologi Yunani seperti Zeus, Athena, Cerberus, Theseus, dan ramai lagi. Ada yang muncul sebagai kawan dan ada juga yang muncul sebagai lawan.

Dionysus, dewa wain, akan membantu pemain dengan memberikan Boons yang menjadikan pemain lebih kuat. Thanatos (personifikasi kematian) pula akan mencabar pemain pada waktu-waktu tertentu dengan bertanding siapa boleh menewaskan bilangan musuh tertinggi.

Persahabatan dan hubungan Zagreus bersama dewa-dewa lain dieratkan dengan berdialog bersama mereka apabila pemain dibawakan semula ke titik permulaan iaitu House of Hades.

Satu lagi cara untuk mengeratkan lagi hubungan ialah dengan memberikan hadiah kepada watak-watak tertentu. Tindakan ini akan membuka dialog baharu dan pemain juga akan menerima item yang memberikan kelebihan seperti serangan lebih kuat atau nyawa lebihan kepada Zagreus.

Penulis sangat menghargai skrip yang ditulis dengan begitu baik. Perwatakan setiap dewa direka mengikut versi sebenar yang muncul dalam Mitologi Yunani dan kakonan suara yang mantap juga membantu individu menjadi lebih menarik.

 

Nak main sekejap, satu petang dihabiskan

Kekuatan utama Hades (permainan, bukan dewa) ialah ia mempunyai kitaran permainan yang sungguh menyeronokkan sehingga membuatkan pemain sukar untuk berhenti bermain. Penulis sendiri telah (secara tidak sedar) menghabiskan lebih kurang 20 jam dalam permainan ini dalam masa dua hari sahaja.

Sistem pertarungan yang pantas digandingkan bersama kawalan tepat untuk setiap tindakan Zagreus adalah dua perkara yang membuatkan permainan ini begitu mengasyikkan. Untuk pengetahuan pembaca, permainan ini boleh dimainkan dengan alat kawalan dan juga papan kekunci dan tetikus. Kedua-duanya selesa.

Terdapat enam jenis senjata berbeza dan setiap senjata menggunakan dua kawalan asas yang sama. Satu butang digunakan untuk serangan biasa dan satu lagi untuk serangan istimewa. Selain itu, pemain juga perlu dash untuk elak serangan musuh dan boleh melakukan dua jenis serangan khas yang memerlukan tenaga atau sumber.

Senjata pertama yang diberikan kepada pemain ialah sebuah pedang yang sangat mudah dipelajari. Selepas itu, kita boleh memperoleh senjata-senjata lain seperti Shield of Chaos yang boleh menampan serangan dan Twin Fists of Malphon yang sangat pantas tetapi tiada serangan jarak jauh.

Apa yang bagus tentang permainan ini ialah setiap senjata seronok untuk digunakan dan pemain diberi ganjaran apabila menerokai cara permainan setiap senjata. Terdapat beberapa ganjaran yang hanya boleh diperoleh apabila menewaskan bos dengan senjata tertentu.

Ini hanyalah peringkat awal permainan Hades. Apabila pemain sudah maju ke peringkat yang jauh dan menewaskan beberapa bos, setiap senjata boleh diubah suai dan dipertingkatkan kekuatannya. Ini memberikan lebih banyak pilihan untuk pemain menentukan cara permainan tersendiri.

Formula permainan Hades sangat ringkas. Ia bermula dengan membuat persediaan di House of Hades, lalu bertarung sehingga (hampir) mengeluarkan diri dari dunia bawah, tewas, dan ulang semula sehingga anda berjaya.

Setiap kali ditewaskan, pemain hanya akan kehilangan Charon’s obol iaitu wang yang digunakan untuk membeli barang dan Boons. Mata wang lain seperti Darkness yang digunakan untuk membeli kemahiran pasif, Gemstones untuk kerja kontrak seperti membina bilik rehat antara bilik-bilik pertarungan, dan beberapa mata wang lain akan kekal.

Ini mengurangkan keperitan kekalahan dan memastikan pemain sentiasa diberikan motivasi untuk “cuba sekali lagi”.

Tempoh masa yang diperlukan untuk menghabiskan satu run (perjalanan dari awal hingga akhir permainan) tidak begitu panjang sebenarnya. Setelah memperoleh semua senjata dan beberapa penambahbaikkan, anda memang boleh menghabiskan satu run dalam masa lebih kurang setengah jam atau lebih pendek. Ini antara sebab mengapa permainan ini sangat popular dalam kalangan komuniti speedrunning.

Satu lagi perkara yang membuatkan formula ini berjaya ialah terdapat banyak perubahan yang akan muncul tanpa disangka pemain. Contohnya, musuh-musuh dan kadangkala bos jenis baharu akan muncul apabila pemain menjadi lebih handal dan memperoleh lebih banyak kemahiran dan senjata.

Ramai orang menyatakan Hades telah menyempurnakan formula permainan roguelike dan penulis bersetuju sepenuh hati.

 

Berpenampilan cantik seperti dewi Yunani

Hades menggunakan perspektif kamera isometrik dan gaya seni lukisan tangan bersama cel shading. Ini menghasilkan kualiti grafik yang sangat menawan. Setiap persekitaran, watak, dan kesan visual serangan ditonjolkan dalam rekaan visual yang berwarni-warni dan jelas.

Kulit cerah Zagreus dan baju merahnya sentiasa mudah diasingkan dari warna-warna persekitaran yang berbeza. Kesan visual yang muncul hasil daripada Boons berbeza seperti serangan kilat daripada Zeus, ombak daripada Poseidon, dan banyak lagi nampak sangat berkuasa.

Supergiant Games juga layak dipuji kerana berjaya menghasilkan lagu-lagu latar belakang yang bagus untuk setiap keadaan dalam Hades. Penulis sendiri sangat menyukai lagu-lagu yang dimainkan ketika pertarungan dengan semua bos dalam permainan ini.

Satu aspek hebat yang tidak disangka ialah lakonan suara yang begitu bagus. Walaupun dialog dalam Hades menggunakan lukisan 2D watak-watak, lakonan suara yang realistik dan menarik menjadikan setiap dialog seronok untuk didengar.

 

Layak diberi skor penuh!

Hades merupakan permainan pertama yang penulis memberi skor penuh 100/100 kerana ia adalah satu permainan berkualiti tingga tetapi ditawarkan pada harga yang begitu murah.

Setiap aspek permainan ini dari jalan cerita ke formula permainan ke kualiti grafik kesemuanya direka dengan begitu baik sehingga membuatkan pemain tidak mahu berhenti bermain.

Untuk pemain PC, Hades boleh dibeli melalui Steam pada harga RM44 sahaja. Ia juga boleh dibeli untuk Nintendo Switch pada harga AS$24.99 (RM105) di Nintendo eShop.

Penulis mengesyorkan anda semua untuk mencuba permainan ini. Memang tidak rugi!

 

SKOR AKHIR: 100/100

RELATED NEWS

+