Review: Lenovo Legion Y540 – Laptop Paling Berpatutan Untuk Gamers

Lenovo Legion Y540 merupakan laptop gaming terbaru yang dilancarkan oleh Lenovo baru-baru ini. Ia mempunyai spesifikasi dalaman yang sama seperti ditawarkan oleh Legion Y545 tetapi ada sedikit kelainan untuk Legion Y540.

Jika korang mencari laptop gaming yang berpatutan dengan pemprosesan 6-core Intel Core i7-9750H, inilah laptop gaming paling mantap dalam pasaran semasa.

Sebelum kita berbincang lebih lanjut, jom kita lihat spesifikasi penuh Legion Y540:

Spesifikasi:

  • 9th Generation Intel Core i7-9750H
  • NVIDIA GeForce RTX 2060
  • 8 GB DDR4 2666MHz
  • Paparan skrin 15.6” FHD IPS (1920 x 1080, 144 Hz)
  • 1TB 7200RPM SATA HDD
  • 256GB PCI-e SSD
  • Windows Home 10

Kebaikan:

  • Sesuai untuk gaming dan kerja
  • Harga berpatutan
  • Papan kekunci luas

Keburukan:

  • Jangka hayat bateri pendek
  • Posisi kamera web di bahagian bawah skrin
  • Berat

Rekaan keseluruhan

Jika dilihat sekilas pandang, rekaan Legion Y540 seakan sama dengan Legion Y530 tetapi kali ini, Y540 mempunyai bentuk kerangka aluminium lebih besar iaitu 25.2mm berbanding 24.9mm dan logo diletakkan di bahagian hadapan laptop serta siap ada lampu menyinari huruf O di logo Legion.

Dari segi port laptop, kebanyakkan port terletak di bahagian belakang laptop dan senang untuk mengurus kabel. Di bahagian belakang, terdapat USB Type-C, Mini Display Port 1.4, USB Gen-1 Type-A HDMI 2.0, Ethernet RJ45, Kensington Lock dan port pengecas. Namun, Legion Y540 tiada port pembaca kad (card reader).

Laptop ini juga didatangkan dengan power adapter gergasi berkuasa 230W. Di samping itu, terdapat juga satu USB 3.1 Gen 1 Type-A di bahagian kanan dan USB yang sama bersama audio jack di bahagian kiri laptop.

Peletakkan port di kedua-dua belah bahagian laptop memudahkan pengguna untuk menggunakan periferal (contohnya: headphone/earphone dan controller game) kerana hampir sebahagian port penting terletak di belakang laptop.

Legion Y540 juga mempunyai berat yang sama dengan Y530 iaitu sebanyak 2.3 kg. Laptop ini berat tetapi ini adalah purata berat standard untuk laptop gaming sekarang.

 

Papan kekunci dan pad sentuh

Papan kekunci Legion Y540 merupakan papan kekunci terbesar saya pernah lihat. Menaip menggunakan Legion Y540 sangat memuaskan kerana ia responsif dan ada cahaya putih (tiada RGB ya) di belakang menerangi papan kekunci yang mana korang boleh ubah sendiri dengan menekan butang FN dan Space.

Lebih-lebih lagi, papan kekunci ini tidak mengeluarkan banyak bunyi ‘klak-klak’ dan kekunci anak panah besar sesuai untuk game racing.

Pad sentuh (touchpad) terletak di bahagian bawah papan kekunci dan mengiring ke arah kiri sedikit untuk memudahkan pengguna meletakkan tangan. Pad sentuh ini sesuai dengan paparan skrin 144hz iaitu laju dan responsif.

Paparan skrin dan audio

Laptop ini juga mudah dibuka dengan satu tangan sahaja yang mana korang boleh tolak sehingga ke bawah seperti di gambar atas.

Kemudian, korang lihat skrin 15.6 inci (39.64cm) dengan panel IPS bersama kadar penyegaran 144hz dan juga anti silau serta cerah yang sememangnya mantap untuk bermain game.

Dari segi audio pula, dua pembesar suara Harman terletak di bahagian bawah laptop dan tetapan Dolby Atmos ini memang disesuaikan untuk bermain game tetapi lazimnya pengguna PC suka menggunakan headphone semasa bermain. Selain itu, pembesar suara ini menghasilkan bunyi yang jelas tanpa bunyi nyaring yang wujud dalam sesetengah pembesar suara.

Sayangnya, Legion Y540 masih lagi meletakkan kamera di bahagian bawah paparan laptop dan ini agak menjengkelkan bagi mereka yang selalu menggunakan kamera web dan mereka yang mahu gunakan untuk streaming game.

Prestasi gaming dan lain-lain

Dengan spesifikasi Intel Core i7-9750H CPU, Nvidia GeForce RTX 2060 GPU, memori 8GB DDR4 2666MHz dan 256GB SSD, laptop ini boleh main The Witcher 3: Wild Hunt dengan tetapan Ultra tanpa sebarang masalah. Kadar penyegaran (refresh rate) 144hz juga berikan pengalaman gaming lancar untuk game online kompetitif seperti Apex Legends dan Overwatch.

Kerja-kerja penyuntingan video juga boleh dilakukan dengan mudah melalui Legion Y540. Namun, terdapat kekurangan pembaca kad dan ini boleh diatasi dengan membeli pembaca kad USB. Korang boleh sunting video 1080p 60fps dengan mudah dan video 4K boleh disunting juga tetapi agak lembap sedikitlah.

Laptop ini akan jadi sedikit panas semasa bermain game atau kerja sunting berat dan korang boleh rasa di bahagian papan kekunci.  Haba itu dikeluarkan melalui dua bolong (vent) dan diedarkan oleh dua kipas di kedua-dua bahagian belakang kiri dan kanan laptop. Bunyi perederan haba mengeluarkan bunyi agak kuat ketika bermain. Bunyi itu akan beransur hilang selepas seminit menutup aplikasi game atau perisian penyuntingan berkenaan.

Dari segi bateri pula, ia agak terhad kerana bateri Legion Y540 boleh bertahan beberapa jam sahaja ketika bermain game atau lakukan kerja-kerja penyuntingan. Untuk penggunaan biasa seperti melayari Internet, laptop ini boleh bertahan selama 3 jam.

Kesimpulan

Bersama power adapter besar

Lenovo Legion Y540 benar-benar memberikan pengalaman gaming yang padu dan berbaloi dengan harga bermula dari RM4,188.

Meskipun laptop ini sesuai untuk bermain game, sunting video dan lain-lain, terdapat juga kekurangan seperti peletakkan kamera web pelik di bahagian bawah skrin, jangka hayat bateri yang singkat dan tiada port pembaca kad.

Jika korang tengah mencari laptop dengan prestasi yang sama dan bukan untuk bermain game, saya mencadangkan korang untuk mendapatkan Dell XPS 15 ataupun Lenovo ThinkPad X1 Extreme.

Terima kasih Lenovo Malaysia kerana memberikan Legion Y540 untuk review ini!

Untuk berita lanjut mengenai gaming dan e-sukan, ikuti kami di FacebookTwitter dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+