[Review] OPPO Enco W31 – Fon telinga nirwayar bawah RM300 yang sesuai untuk pengguna biasa

Unit review disediakan oleh OPPO Malaysia.

Pada awal bulan Mei, OPPO telah melancarkan fon telinga nirwayar terbaru mereka iaitu OPPO Enco W31. Ia merupakan produk yang lebih murah berbanding fon telinga nirwayar OPPO yang dilancarkan sebelum ini iaitu OPPO Enco Free (berharga RM499).

OPPO Enco W31 dilancarkan dengan harga RM259. Anda boleh mendapatkannya secara dalam talian melalui gedung rasmi OPPO di Shopee.

Penulis berpeluang mencuba fon telinga nirwayar OPPO Enco W31 bermula dari penghujung bulan April dan kini penulis ingin mengongsikan pendapat mengenai produk ini.

Kualiti audio yang memuaskan

Perkara yang paling penting bagi sepasang fon telinga ialah kualiti audionya. Dari segi aspek ini, OPPO Enco W31 mempunyai prestasi yang agak memuaskan.

Kualitinya tidak sehebat fon telinga nirwayar yang lebih mahal seperti Samsung Galaxy Buds dan Apple AirPods tetapi ia masih sedap didengar untuk kegunaan harian seperti mendengar lagu dan menonton video atau siri Netflix.

Terdapat dua mod pendengaran yang boleh diakses melalui menyentuh fon telinga kiri dua kali iaitu Balanced Mode dan Bass Mode. Pada pendapat penulis, perbezaan antara kedua-dua mod tersebut tidak begitu ketara dan Bass Mode kadangkala membuatkan kesan bass menjadi terlebih lalu menjadikan lagu kedengaran kabur.

Dalam keadaan Balanced Mode, penulis agak kagum dengan kebolehan OPPO Enco W31 untuk mengekalkan kualiti audio yang baik apabila tetapan suara ditinggikan pada tahap tinggi. Ia masih mengeluarkan bunyi yang kuat sambil mengekalkan kualiti audio yang jelas.

Tahan lama dan selesa dipakai

Menurut iklan yang dikeluarkan oleh OPPO Malaysia sendiri, OPPO Enco W31 mempunyai kehidupan bateri selama 15 jam. Pada mulanya, penulis tidak percaya kenyataan tersebut tetapi setelah menggunakannya, baru penulis faham apa yang dimaksudkan.

Apabila dicaj sehingga penuh, fon telinga tersebut dapat digunakan selama tiga jam dan bekasnya boleh digunakan untuk caj semula sehingga penuh sebanyak empat hingga lima kali.

Untuk menguji perkara ini, penulis memakai fon telinga ini selama tiga jam dalam tempoh lima hari tanpa mengecas bekasnya yang berbentuk bulat. Pendek kata, fon telinga nirwayar ini memang dapat digunakan selama lebih kurang 15 jam dengan penggunaan sebegini.

Jelas sekali OPPO Enco W31 mempunyai kehidupan bateri yang sangat bagus. Bentuk dan keringanan juga memainkan peranan dan penulis tetap rasa selesa walaupun memakai fon telinga ini selama tiga jam.

Selain daripada wayar pengecasan USB type-C, pembeli juga akan mendapat dua pasang earbuds lebihan untuk lubang telinga berlainan saiz dalam kotak produk ini. Ini memastikan anda boleh menggunakan saiz yang sesuai dengan saiz lubang telinga anda.

Tidak sesuai untuk gaming

OPPO Enco W31 tidak diiklankan sebagai fon telinga nirwayar yang sesuai untuk permainan video mudah alih dan seperti yang dijangka, ia mengalami kelewatan (latency) yang agak teruk apabila digunakan semasa bermain permainan seperti PUBG Mobile dan Call of Duty: Mobile.

Apabila penulis menembak dalam permainan video, kelewatan bunyi tembakan boleh dikatakan mencapai hampir satu saat. Tidak seperti Realme Buds Air, ia tidak mempunyai mod Super Low Latency yang memang dicipta khas untuk tujuan gaming.

Selain itu, kawalan sentuhan OPPO Enco W31 juga tidak begitu memuaskan. Selain daripada mengubah antara Balanced Mode dan Bass Mode, pengguna boleh memainkan lagu yang seterusnya dengan menyentuh fon telinga kanan dua kali.

Satu lagi fungsi sentuhan yang ada pada fon telinga ini ialah anda boleh mengangkat dan meletakkan panggilan dengan menyetuh dua kali mana-mana fon telinga yang sedang dipakai.

Penulis berpendapat ia lebih memuaskan jika kawalan sentuhan juga boleh digunakan untuk menghentikan muzik atau sekurang-kurangnya memperlahankan audio.

Salah satu fungsi yang dihargai oleh penulis ialah lagu akan diberhentikan apabila salah satu fon telinga dikeluarkan dari telinga.

Berbaloi dengan harga RM259

Pada pendapat penulis, fon telingar berwayar tetap menjadi pilihan terbaik untuk penggemar permainan video. Jika anda tidak mementingkan kemudahan nirwayar, fon telinga berwayar masih patut dijadikan pilihan utama kerana anda boleh mendapatkan produk yang lebih murah dengan kualiti audio yang lebih baik.

Jika anda banyak bergerak ketika memakai fon telinga dan wayar fon telinga sering menjadi gangguan, OPPO Enco W31 merupakan produk bawah RM300 yang disyorkan.

Gabungan bateri tahan lama serta kualiti audio yang memuaskan membuatkan fon telinga ini sesuai untuk kebanyakan pengguna biasa yang hanya mahu mendengar muzik dan podcast serta menonton video atau siri televisyen.

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+