[Review] OPPO Find X2 Pro – Pengecasan Pantas Paling Hebat!

Unit review disediakan oleh OPPO Malaysia.

Telefon pintar bertaraf flagship yang dilancarkan pada waktu ini jarang sekali dijual pada harga bawah RM3,000. Perkara ini tidak mengejutkan kerena peranti sebegitu selalunya mempunyai ciri-ciri yang sangat hebat. Persoalannya, adakah ia berbaloi?

Pada awal bulan Mac, OPPO telah melancarkan fon flagship terbaru mereka iaitu OPPO Find X2. MyGameOn telah diberi peluang untuk mengulaskan versi yang lebih premium iaitu OPPO Find X2 Pro. Ia mempunyai beberapa ciri yang lebih hebat berbanding model biasa yang akan diceritakan dengan lebih lanjut sebentar lagi.

Sebelum bermula dengan pengulasan ini, mari kita lihat senarai spesifikasi OPPO Find X2 Pro:

  • OS: ColorOS 7.1, berdasarkan Android 10
  • CPU: Qualcomm Snapdragon™ 865, octa-core 64-bit, kelajuan sehingga 2.84GHz
  • GPU: Adreno 650
  • RAM: 12GB
  • Storan dalaman: 512GB
  • Bateri: 4,260mAh dengan pengecasan pantas SuperVOOC 2.0 Flash Charge (65W)

 

Skrin Mantap Tetapi Ada Satu Kelemahan

Antara ciri OPPO Find X2 Pro yang paling ditonjolkan ialah kebolehannya untuk menggunakan resolusi QHD+ (3168 x 1440) bersama kadar segar semula 120Hz. Walaupun penggunaan sebegini menghabiskan bateri pada kadar yang lebih tinggi, ia dibantu oleh fungsi pengecasan pantas yang sangat berkesan.

Ia tetap harus dinyatakan bahawa kadar segar semula 120Hz ini bukan sesuatu ciri mustahak. Kebanyakan permainan video mudah alih mengehadkan kadar segar semula pada 60Hz. Aplikasi media sosial pula memang nampak lebih lancar tetapi tidak berbaloi mengorbankan bateri demi kelancaran yang sedikit ini.

Pengguna masih boleh pilih untuk menggunakan resolusi FHD+ (2376 x 1080) dan kadar segar semula 60Hz untuk menjimatkan bateri. Apabila berada di rumah, penulis menggunakan tetapan QHD+ 120Hz kerana boleh mengecas dengan pantas dan bertukar ke QHD+ 60Hz apabila berada di luar untuk menjimatkan bateri.

Dari segi pengalaman menonton video dan bermain permainan video mudah alih, penulis hanya mampu memberi pujian. Skrin OLED bersaiz 6.7 inci ini memaparkan kualiti gambar dan warna yang jelas dan cerah. Fon ini juga boleh digunakan untuk tonton Netflix pada resolusi HD penuh dan juga mempunyai fungsi HDR.

Jika anda tidak gemar skrin berlengkung, anda akan dapati itulah satu-satunya kelemahan skrin ini. Penghujung kiri dan kanan skrin ini mempunyai lengkung yang agak ketara dan penulis seringkali tersalah tekan atau sentuh lengkung tersebut apabila menggunakan aplikasi seperti YouTube di mana pemilihan kualiti video terletak di penghujung skrin.

 

Kuasa Pemprosesan Dan Kualiti Grafik Yang Mantap

Dengan harga setanding PC dan komputer riba gaming, OPPO Find X2 Pro harus mempunyai kepantasan dan kecekapan yang sangat tinggi. Dalam penggunaan seharian, fon ini tidak menunjukkan sebarang masalah atau keperlahanan walaupun apabila lebih daripada 10 aplikasi dibuka sekaligus.

Satu fungsi yang berguna ialah pengguna boleh kunci apa-apa aplikasi yang dibuka agar ia tidak dapadamkan apabila menekan butang “clear” untuk padam semua aplikasi lain yang sedang berjalan.

Apabila bercakap tentang kebolehan fon ini untuk main permainan video mudah alih, tidak ada apa-apa kritikan yang boleh dibangkitkan. Ia boleh main semua permainan dengan sangat lancar pada tetapan grafik tertinggi termasuklah Black Desert Mobile. Kalau nak main dua atau tiga permainan berlainan sekaligus pun boleh!

 

Teknologi Pengecasan Pantas Yang Menakjubkan

Kehidupan bateri fon ini ialah sesuatu yang tidak perlu dirisaukan oleh pengguna. Dengan pengecasan penuh pada permulaan hari, penulis dapat menggunakannya sehingga waktu malam dan ia masih mempunyai sekitar 15% bateri. Penulis banyak menggunakan fon ini untuk semak media sosial dan menghabiskan sekurang-kurangnya satu jam bermain permainan seperti Mobile Legends: Bang Bang dan Call of Duty: Mobile.

Satu lagi perkara yang menakjubkan tentang fon ini ialah fungsi pengecasan pantas SuperVOOC 2.0. Hanya dalam masa 45 minit, fon ini boleh dicas dari 2% sehingga 100%. Penulis pernah meninggalkan fon ini untuk dicas sementara pergi ke tandas selama 10 minit dan ia mampu mengecas sebanyak 15% bateri. Sangat hebat!

Malangnya, fon ini tidak mempunyai sebuah headphone jack tetapi ia datang bersama sepasang earphones yang menggunakan penyambung USB type-C. Seperti yang dijangka, earphones yang datang bersama fon ini kualitinya tidak begitu hebat.

Bagi anda yang tidak mempunyai sepasang earphones nirwayar atau penyambung USB type-C ke headphone jack, ini bermaksud anda perlu mengeluarkan duit untuk mendapatkan pengalaman audio yang lebih memuaskan.

 

Kamera Berkualiti Profesional

Sebuah telefon pintar tidak layak bertanding dalam kategori flagship jika ia tidak mempunyai kamera berkualiti tinggi setanding kamera DSLR. Kamera yang terdapat di Oppo Find X2 Pro menampilkan prestasi yang sangat memuaskan.

Kamera utama 48MP di belakang menggunakan sensor Sony IMX689 dan kamera ultra-wide pula menggunakan sensor Sony IMX586. Kedua-duanya mampu mengambil gambar yang mempunyai butiran yang jelas serta warna yang menyerlah.

Kamera ketiga di belakang ialah kamera 13MP periscope telefoto. Ia mempunyai kebolehan untuk zoom 60x tetapi kualiti gambar pada jarak ini tidak begitu bagus. Walaubagaimanapun, zoom pada tahap 10x menunjukkan kualiti yang baik.

Kamera hadapan juga sangat memuaskan. Jika anda seorang penggemar mengambil selfie, fon ini tidak akan mengecewakan anda. Ia sangat sesuai untuk golongan pempengaruh dan vlogger.

Apa yang membuatkan penulis betul-betul kagum dengan kamera fon ini ialah kualiti rakaman video. Video yang dirakam pada tetapan 4K 60fps bersama fungsi ultra-steady mampu menghasilkan video yang nampak seperti ia dirakam menggunakan kamera yang digunakan jurugambar profesional.

 

Kepuasan Bernilai RM4,599?

Kepuasan mengguna OPPO Find X2 Pro tidak dapat dinafikan. Ia sememangnya sebuah telefon pintar kategori flagship yang layak bertanding dengan fon flagship lain.

Apabila berfikir secara rasional, ramai orang lebih selesa menghabiskan sekitar RM2,000 sehingga RM3,000 untuk sebuah telefon pintar baharu. Oleh itu, adakah berbaloi untuk membeli OPPO Find X2 Pro pada harga RM4,599?

Untuk pengetahuan pembaca, ia lebih mahal berbanding Samsung Galaxy S20+ (RM3,999) dan iPhone 11 256GB (RM4,099). Penulis tidak dapat elak membuat perbandingan kerana kedua-dua model tersebut juga merupakan fon flagship.

Jika anda tidak gemar fon yang mempunyai skrin berlengkung dan kekurangan headphone jack, mungkin fon ini tidak sesuai untuk anda. Selain daripada dua kelemahan tersebut, ciri-ciri fon ini kesemuanya sangat bagus.

Kepada anda yang tidak yakin pada ColorOS atau pernah mengalami kesusahan dalam menggunakan OS tersebut, penulis berani mengesyorkan ColorOS versi terbaru yang terdapat di OPPO Find X2 Pro jauh lebih baik dan layak diberi peluang kedua.

Sebagai seorang yang tidak kisah tentang populariti jenama, penulis rasa amat puas hati dengan fon ini. Kualiti bateri dan rakaman video fon ini boleh dikatakan setanding atau lebih baik daripada kebanyakan fon flagship yang lebih mahal daripadanya.

 

Kelebihan

  • Pengecasan pantas yang tidak dapat ditandingi fon lain.
  • Sangat berkuasa, boleh main semua permainan mudah alih pada tetapan tertinggi.
  • Kualiti rakaman video setanding kamera yang digunakan jurugambar profesional.

Kelemahan

  • Skrin lengkung yang sedikit menyusahkan.
  • Tiada headphone jack.
  • Harga yang agak mahal.

RELATED NEWS

+