Sony Interactive Entertainment Bakal Buka Studio Khas PlayStation Di Malaysia

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM) mengumumkan hari ini Sony Interactive Entertainment Worldwide Studios (SIE WWS) akan menubuhkan studio pertama Sony PlayStation di Malaysia pada 2020.

Pengumuman ini disampaikan oleh Menteri KKM YB Gobind Singh Deo semasa majlis penutupan Level Up KL Biz 2019 sebentar tadi. Gobind berkata, “Kami berbesar hati dan teruja untuk mengumumkan kerjasama rasmi bersama SIE WWS atas penubuhan studio mereka di Malaysia yang bakal mewujudkan banyak peluang untuk industri permainan video tempatan dan rantau Asia Tenggara.”

Beliau menambah, “Malaysia akan bekerja rapat bersama Sony bagi mempertingkatkan martabat penggiat kreatif di Malaysia dan mewujudkan rangkaian bersama-sama pusat pengajian tempatan.”

SIE WWS Malaysia bakal memberikan khidmat dari segi reka bentuk visual dan animasi sebagai sebahagian daripada aktiviti SIE WWS dalam membangunkan permainan eksklusif di platform PlayStation.

Malaysia akan menyertai 15 studio lain yang dipegang oleh SIE WWS termasuk Naughty Dog (siri Uncharted & The Last of Us), Insomniac Games (Marvel’s Spider-Man) dan Guerrila Games (Horizon Zero Dawn). 

Dari kiri: Presiden permainan indie Sony Interactive Entertainment Worldwide Studios, Shuhei Yoshida; Menteri Kementerian Komunikasi dan Multimedia, YB Tuan Gobind Singh Deo; CEO Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Surina Shukri; Sei Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan), Yang Bhg Hairil Yahri Yaakob; Pengarah Eksekutif Utama MIDA, Encik Ahmad Khairuddin Abdul Rahim; Naib Presiden Kandungan Digital Kreatif MDEC, Hasnul Hadi Samsudin.

Dalam kenyataan rasmi, Presiden dan Ketua Pegawai Sony Interactive Entertainment, Jim Ryan berkata, “Malaysia mempunyai ekosistem permainan video aktif dengan pembangun-pembangun permainan yang berbakat besar dan sokongan kuat daripada kerajaan mendorong kami untuk mengadakan kerjasama bersama Malaysia.”

Menteri Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, YB Datuk Darrel Leiking turut tumpang gembira dengan pengumuman ini, “Penubuhan bersama SIE WWS ini adalah kejayaan besar terhadap Malaysia. Negara ini memenuhi kriteria-kriteria sekaligus menjadikan ia sebagai suatu kawasan pelaburan terbaik untuk pembangun permainan video antarabangsa. 

“Ekosistem permainan video Malaysia semakin berkembang dengan bakat-bakat bertaraf antarabangsa telah menarik minat lebih daripada 60 studio permainan video dari seluruh dunia.”

Perjalanan kira-kira 20 tahun untuk industri kandungan digital kreatif Malaysia telah menghasilkan sebanyak 149 produk tempatan, menjana keuntungan RM7.6 bilion dan jualan eksport sebanyak 1.3 bilion yang mencapai lebih daripada 120 negara.

Berita ini menandakan industri permainan video di Malaysia semakin maju dengan studio permainan video antarabangsa membuka cawangan di tanahair kita seperti Bandai Namco Studios dan baru-baru ini, Larian Studios.

Adakah korang teruja untuk melihat studio Sony pertama bertapak di Malaysia? Kongsikan bersama kami di FacebookTwitter dan Instagram serta saksikan kami di YouTube.

 

 

RELATED NEWS

+