Sukan SEA: [RASMI] Hearthstone Akan Menjadi E-Sukan Keenam Dipertandingkan

Sebelum ini, Esports Malaysia (ESM) menjalankan pusingan kelayakan untuk Dota 2, Arena of Valor, Mobile Legends, Tekken 7 dan Starcraft 2 untuk Sukan SEA 2019 yang pertama kali akan mempertandingkan e-sukan sebagai acara berpingat. Acara itu sudah pun berakhir tak lama dulu.

Pada asalnya, Sukan SEA menyertakan 6 permainan tapi judul yang terakhir ini masih belum dirasmikan kerana Filipina selaku penganjur belum membuat keputusan. Namun, dalam laporan dikeluarkan BERNAMA hari ini, nampaknya Jawatankuasa Olimpik Filipina (POC) sudah pun membuat keputusan untuk menggantikan NBA 2k19 (judul asal yang diusulkan) dengan Hearthstone.

Selain daripada e-sukan, surat yang diutuskan POC kepada Majlis Olimpik Malaysia (OCM) mengatakan beberapa sukan tradisional juga turut mengalami beberapa perubahan dan digantikan dengan acara lain.

Buat masa ini, masih belum pasti bagaimana pusingan kelayakan akan dijalankan untuk Hearthstone dalam masa begitu singkat ini. Kita perlu tunggu pengumuman rasmi daripada ESM mengenai perkara ini. 

Untuk kategori Heartstone, terdapat sebilangan pemain Malaysia yang berbakat dan boleh berpeluang memenangi emas antaranya Zi Song ataupun dikenali sebagai Lalasong yang juga wakil Malaysia untuk WESG 2019 diadakan sebelum ini. 

Sukan SEA 2019 akan diadakan di Filipina pada 30 November hingga 10 Disember ini.

RELATED NEWS

+