Temu Bual Bersama Ian Tan, Pengarah Gaming Lenovo Asia Pasifik

Antara jenama yang paling terkenal dalam industri komputer bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di rantau Asia Pasifik ialah Lenovo. Dalam kalangan penggemar permainan video, jenama Lenovo Legion sering dikaitkan dengan produk-produk komputer dan komputer riba berprestasi tinggi.

Baru-baru ini, kami di MyGameOn berpeluang untuk menemu bual Ian Tan, Pengarah Gaming Asia Pasifik di Lenovo. Dalam temu bual ini, kami memberikan fokus terhadap isu-isu yang berkaitan dengan e-sukan dan juga inisiatif-inisiatif yang dilakukan semasa dunia sedang dilanda krisis COVID-19.

Berikut adalah temu bual penuh MyGameOn dan Ian Tan:

 

1. Kebanyakan pekerja sedang bekerja dari rumah (work from home), adakah inisiatif-inisiatif sebegini akan menjadi gangguan, atau ia akan meningkatkan produktiviti semasa bekerja?

Setiap orang perlu berehat selepas bekerja untuk tempoh yang lama. Permainan video dan jugak aktiviti-aktiviti masa lapang lain merupakan cara yang bagus untuk menghilangkan tekanan dan rasa penat.

Perkara ini tidak menjadi masalah asalkan anda mengimbangi masa bermain dan masa melakukan kerja.

 

2. Bagaimana permainan video dalam talian boleh digunakan untuk menghilangkan tekanan?

Permainan video dalam talian memberikan peluang untuk kita berhubung dengan rakan-rakan dan rakan sekerja semasa kita bekerja dari rumah.

Selain daripada membenarkan kita untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan, ia juga merupakan aktiviti yang mengeratkan hubungan antara rakan sekerja.

Aktiviti-aktiviti lain seperti menonton filem atau mendengar lagu bersama-sama tidak mempunyai kelebihan yang sama.

 

3. Aktiviti permainan video dalam talian menjadi lebih popular sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dikuatkuasa. Ini bermaksud lebih ramai orang meluangkan masa bermain permainan video pada waktu ini. Adakah Lenovo Legion melakukan sesuatu yang menarik dalam situasi ini?

Pasukan-pasukan Lenovo di Korea Selatan, Malaysia, dan Indonesia menganjurkan kejohanan dalam talian untuk pemain amatur melalui platform komuniti Rise of Legion.

Kejohanan-kejohanan ini terbuka kepada semua orang dan memberikan peluang kepada para pemain untuk bekerjasama bersama rakan-rakan dalam permainan video kegemaran mereka.

Di Jepun pula, pasukan Lenovo telah memulakan inisiatif VTuber yang dikenali sebagai Legion Dojou Cup. Permainan video PUBG dan jugak avatar digital digunakan untuk menarik minat pemain dan mempromosikan aktiviti permainan video yang seronok.

Di media sosial, kami sedang merancang untuk memberikan pemain peluang untuk memenangi permainan video percuma melalui acara giveaway.

 

4. Terdapat banyak perbincangan tentang kekurangan-kekurangan dalam industri permainan video dalam talian. Apakah yang telah dilakukan oleh Lenovo Legion dalam menyokong industri e-sukan dan juga memupuk bakat baharu dalam industri tersebut?

Pihak Lenovo menyokong komuniti e-sukan di beberapa kawasan melalui dua inisiatif besar iaitu Rise of Legion dan Legion of Champions.

Rise of Legion merupakan laman komuniti yang digunakan untuk mengumpul pemain dari pelbagai latar belakang dan menganjurkan kejohanan kecil (untuk judul-judul seperti Counter-Strike: Global Offensive dan DOTA 2) di setiap kawasan di Asia Pasifik.

Legion of Champions pula merupakan kejohanan berskala besar yang dianjurkan secara tahunan pada musim cuti (Oktober sehingga Disember) untuk peminat tegar e-sukan yang mahu mempertingkatkan kemahiran mereka dan bertanding dengan pemain handal lain dari pelbagai kawasan.

Pada tahun lepas, lebih daripada 1,000 pasukan dari Asia Pasifik telah menyertai kejohanan Legion of Champions.

Kedua-dua inisiatif tersebut memberikan platform kepada pemain e-sukan yang bercita-cita tinggi untuk menyerlahkan kebolehan mereka. Ia juga memberikan peluang kepada para penggemar permainan video untuk menjadi sebahagian komuniti e-sukan.

Pemain amatur kini boleh mengambil bahagian dalam acara-acara kejohanan yang mudah disertai dan mereka tidak perlu risau bertanding dengan pemain profesional (yang bertanding di pentas antarabangsa).

Ini adalah komitmen kami dalam menyokong komuniti permainan video dan juga memupuk bakat pemain generasi akan datang di Asia Pasifik.

 

5. Bagaimana pula dengan perancangan Lenovo Legion dalam menjadikan permainan video dalam talian sebagai sumber hiburan yang lebih diminati golongan muda?

Gaming kini telah menjadi sebuah hobi yang mainstream dan ia merupakan aktiviti hiburan yang dilakukan secara harian bagi ramai orang. Oleh itu, jenama Legion sentiasa menitikberatkan keseimbangan antara pekerjaan dan permainan sambil melibatkan diri dengan pemain secara positif.

Dalam berita yang dilaporkan baru-baru ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyokong usaha syarikat-syarikat permainan video dalam mempromosikan penjarakan sosial melalui pemain dalam inisiatif #PlayApartTogether. Kami menyokong inisiatif ini dan sentiasa cuba memberi cadangan untuk menguatkan lagi usaha ini.

 

6. Pada waktu ini, acara-acara permainan video fizikal dan e-sukan tidak dapat berlangsung. Apakah inisiatif yang dilakukan oleh Lenovo Legion untuk membawa keseronokan acara-acara sebegini secara dalam talian?

Kejohanan Rise of Legion memang dianjurkan secara dalam talian sahaja dan kami akan memastikan kejohanan Legion of Champions juga akan dibawa ke alam online.

 

7.  Bilangan penonton livestream telah mendadak naik ketika PKP ini. Adakah Lenovo akan mengambil peluang ini untuk mengadakan livestream untuk aktiviti dan kandungan lain selain e-sukan?

Ya, kami sedang merancang untuk livestream acara-acara menarik bersama pempengaruh (influencer) di setiap kawasan dan kami akan berkongsi lebih lanjut tentang perkara ini pada masa depan.

 

8. Banyak syarikat dan jenama yang sedang melakukan kempen amal untuk membantu golongan frontliners dan juga mereka yang kehilangan sumber pendapatan. Bagaimana pula dengan Lenovo Legion?

Lenovo mempunyai pelbagai inisiatif global corporate citizenship dan pasukan Lenovo Legion sememangnya akan memainkan peranan dalam memastikan usaha-usaha sebegini dapat dilaksanakan dengan baik.

RELATED NEWS

+