Yonny suka buat video e-sukan dan gaming di TikTok, kini raih lebih 70,000 pengikut

Ramai remaja yang memilih untuk menjadi pemain e-sukan kerana sifat kompetitif yang tersemat dalam diri mereka. Tapi tidak kurang juga ada golongan yang ingin berkongsi pengalaman menerusi penciptaan kandungan di media sosial.

Bagi pemilik nama Amirul Mukminin Abdullah Zahri atau lebih senang dikenali sebagai Yonny, beliau memilih platform TikTok untuk menyampaikan ilmu bermanfaat kepada komuniti gaming dan e-sukan.

 

Bermula dari bawah

Bermula dengan tiada sambutan hinggalah sekarang mengumpul lebih 70,000 pengikut di TikTok, jejaka berusia 25 tahun ini sememangnya bermula dari bawah.

“Dari dulu lagi saya minat main game di PC dan konsol. Keluarga saya memang main game. 

“Dengan adanya kelengkapan seperti PC dan sebagainya, saya terfikir apa saya boleh bagi balik kepada komuniti.

“Saya tak pernah terfikir pun nak jadi popular, ‘orang hebat’ atau buat sebab duit. Saya mahu teroka dunia e-sukan dan berkongsi pengalaman saya ada,” katanya ketika dihubungi MyGameOn.

Tambah Amirul, keinginan untuk dirinya ‘bertiktok’ lebih kuat kerana didorong oleh rasa ingin mengubah persepsi ahli keluarga terutama ibunya.

“Ahli keluarga yang lain memang sokong saya main game tapi ibu kurang memberi dorongan.

“Saya faham dilema ini dan saya mendapati gamers lain di TikTok banyak boleh ‘relate’ kerana mereka harungi situasi sama.

“Jadi saya terfikir untuk muat naik video berkongsi pengalaman melalui fasa ini dan nyata ia mendapat sambutan,” katanya.

Menurut Amirul, ramai yang memberikan komen positif dan berkongsi pengalaman mereka kepadanya. Sedikit sebanyak membuatkan beliau rasa berpuas hati dapat menyediakan ‘ruang’ bagi anak muda menyatakan apa yang tersirat di hati.

Setup penstriman video.

Selain itu, Amirul juga melihat trend video di TikTok yang memfokuskan pada Generasi Z. Golongan ini banyak memuat naik kandungan e-sukan dan juga gameplay.

“Melihat kepada trend ini, saya pun terfikir topik yang pelbagai contohnya macam mana buat setup untuk penstriman, kongsi tips dan memberi pendapat terhadap isu terkini contohnya mengenai Yoodo Gank tempoh hari.

“Bagi saya, adalah satu pencapaian juga apabila kita berjaya mengurangkan elemen toksik dalam kalangan komuniti. 

“Ramai yang suka buat andaian jadi saya cuba betulkan perspektif mereka supaya berfikiran positif,” katanya.

Bercerita mengenai proses penyuntingan dan sebagainya, beliau banyak belajar sendiri dari Youtube.

“Dari kecil saya suka sunting video dan audio. Sekarang pun dah banyak perisian dari komputer yang mudah digunakan.

“Saya rasa lebih baik gunakan kelebihan ini untuk memberikan sesuatu yang lebih baik kepada komuniti. Memberi teladan dan ilmu yang berguna adalah cara mudah untuk saya berbakti pada industri,” katanya.

Beliau menggunakan perisian seperti Adobe Premier Pro, Photoshop di PC dan aplikasi Capcut di peranti pintar. 

“Sekarang saya masih bereksperimentasi dengan pelbagai kandungan. 

“Setiap hari saya akan memuat naik dua hingga tiga video. Waktu PKP ini, saya mahu buat kandungan terarah kepada topik ini,” katanya.

 

Seimbangkan belajar dan jadi pencipta kandungan, pengulas

Mengulas bersama Emi Mohamad.

Kata pelajar tahun akhir jurusan Kejuruteraan Automotif di International Islamic University Malaysia (IIUM) ini, walau sibuk dengan menyiapkan kandungan, beliau masih meneruskan pengajian seperti biasa.

“Saya seimbangkan kedua-duanya, belajar dan cipta kandungan dengan berpandukan jadual. 

“Kalau ada assignment, saya akan siapkan secepat mungkin sampailah ada masa untuk main game.  

“Kebanyakan dari kita kurang fokus pada apa yang perlu disiapkan dulu. Sebab itu kena ada jadual,” katanya.

Yakin dengan rezeki yang diperolehnya kini, beliau tetap mengutamakan pelajaran kerana baginya itu adalah lebih utama.

“Punca pendapatan saya sekarang daripada tawaran mengulas. Video di TikTok hanya sesuatu yang saya ingin bagi balik kepada komuniti.

“Pesanan saya, jangan abaikan pelajaran kerana pendidikan itu sangat penting untuk jangka masa panjang. Boleh sertai e-sukan separuh masa tapi jangan lupa buktikan anda punya prestasi di tahap memuaskan barulah senang nak buka hati keluarga.

“Usahakan juga untuk dapat gred yang bagus dalam pelajaran, barulah nampak seimbang,” katanya.

Beliau pernah mengulas di tiga kejohanan besar iaitu Mobile Legends Level Up KL, Selangor XTIV Virtual Esports dan Piala Grab 2020.

RELATED NEWS

+