Tahun 2018 adalah tahun yang cukup hebat bagi industri video game. Dalam senarai permainan video terbaik tahun 2018 kami, kami kagum dengan pemburuan raksasa dalam Monster Hunter: World yang dikeluarkan buat pertama kali di PC dan konsol, peluang kedua diberikan kepada God of War yang mengikut pengembaraan dewa perang Kratos ke alam mitologi Norse, dan kebangkitan dan kejatuhan cowboy dalam Red Dead Redemption 2. Game indie menyerlah pada tahun ini seperti Celeste, Dead Cells, Minit, serta pelancaran game menarik yang diciptakan oleh studio dari Malaysia.
Lebih-lebih lagi, industri ini telah menjana lebih banyak pendapatan berbanding bentuk hiburan lain seperti filem, TV, muzik, dan buku. Malah, rata-rata game developer mula membuka bicara tentang kemungkinan ‘virtual production‘ (produksi maya) yang menggabungkan pembuatan animasi, filem dan game bakal menerjah masuk dalam industri hiburan.
Di saat 2018 melabuhkan tirainya, ini adalah senarai MyGameOn untuk momen-momen yang bakal melakukan transformasi besar dalam industri video game sepanjang tahun 2018:
1. Terjunan studio besar membanjiri pasaran game mobile
Kita di dalam era gelombang besar pengeluaran game mobile yang dipacu oleh kemajuan telefon pintar dicipta khas untuk gaming seperti ASUS ROG, Xiaomi Black Shark dan banyak lagi. Pasaran mobile gaming mendominasi 51% pasaran game antarabangsa yang membawa keuntungan sebanyak USD$70.3 bilion (RM292.6 bilion) dan terus mengungguli pasaran sampai ke tahun 2020 mengikut kajian Newzoo. Berdasarkan statistik ini, kami tidak terkejut ramai game developer bertukar fokus untuk bangunkan game mobile.
Ketika Blizzard mengumumkan Diablo Immortal untuk mobile di BlizzCon 2018, ramai peminat kipas-susah-mati siri Diablo kecewa atas tindakan yang mungkin menghancurkan siri game aksi role-playing games (RPG) ini tetapi langkah untuk menukar Diablo ke game mobile adalah satu keputusan bernas dalam perspektif bisnes industri masa kini.
EA menghidupkan kembali siri Command & Conquer (C&C), sebuah francais real-time strategy (RTS) terkenal bertajuk Command & Conquer: Rivals yang telah dilancarkan di Android dan iOS. Game ini mengikut gameplay sama seperti Clash of Clans cuma mengerahkan askar-askar NOD & GDI dan terus mengendahkan permainan strategi yang menjadi elemen utama dalam siri asal. Jangan risau peminat C&C, EA akan lancarkan C&C Remastered dengan bantuan Lemon Sky, studio game dari Malaysia!
Bethesda bakal melancarkan The Elder Scrolls: Blades berdasarkan siri The Elder Scrolls (*uhuk uhuk*, Skyrim) yang disayangi oleh peminat RPG. Malah, game ini memberikan gameplay dalam perspektif kamera first-person dengan kualiti grafik bertaraf konsol bersama pelbagai gaya combat di mobile. Studio ini pernah mengeluarkan game mobile untuk siri Fallout iaitu bertajuk Fallout Shelter yang mendapat sambutan agak memberangsangkan walaupun pada tahun ini, Fallout Shelter turut dilancarkan di konsol (PS4, Xbox One dan Nintendo Switch).
2. Pengebumian studio game besar-besaran
Bekerja dalam syarikat game adalah sebuah mimpi untuk hampir semua pemain tetapi syarikat-syarikat ini tidak ubah sama seperti industri lain juga. Untuk tahun ini, kita harus mengucapkan selamat tinggal kepada studio-studio game antarabangsa yang menghasilkan game kami nikmati.
Boss Key Productions yang dikelola oleh Cliff Bleszinski yang pernah terlibat dalam pembangunan Gears of War dan Unreal gulung tikar pada awal tahun ini. Bleszinski menyifatkan penutupan studio ini atas sebab dalaman serius setelah Lawbreakers, sebuah game aksi tembak seperti Overwatch gagal menarik perhatian pemain walaupun menerima maklumbalas baik. Kemudian, Boss Key cuba bangkit kembali dengan game battle royale berunsurkan rancangan game show pada tahun 1980an dipanggil sebagai Radical Heights. Namun, pertumbuhan nombor pemain dalam game dalam kadar atas pagar itu tidak cukup untuk menyelamatkan studio ini dan ini menyebabkan Radical Heights tidak boleh dimainkan menurut Steam.
Telltale Games turut menerima nasib sama apabila studio yang menghasilkan game aksi berepisodik seperti The Walking Dead, The Wolf Among Us, dan Batman mengumumkan penutupan studio berskala besar. Hampir 90% pekerja terpaksa diberhentikan kerana pihak atasan syarikat tidak berjaya untuk mendapatkan pelaburan penting dari Lionsgate. Projek game seperti The Wolf Among Us 2 dan Stranger Things terpaksa diberhentikan serta menggantungkan kerja-kerja pembangunan The Walking Dead: The Final Season tetapi buat sementara waktu. Kini, musim terakhir The Walking Dead kini diambil alih oleh Skybound Entertainment dan dua episod terakhir bakal dilancarkan secara eksklusif di Epic Games Store.
Antara studio lain yang tiada lagi beroperasi tahun ini adalah Capcom Vancouver (Dead Rising), Gazillion Entertainment (Marvel Heroes), Wargaming Seattle (Supreme Commander), The Barlet Jones Supernatural Detective Agency (Drawn to Death), Runic (Torchlight), Carbine (Wildstar) dan Motiga (Gigantic)
3. Kerajaan Malaysia menyumbang bajet RM10 juta untuk industri esports & game development
Persidangan Belanjawan 2019 lebih berseri kepada pemain di Malaysia ketika kerajaan umum peruntukan RM10 juta untuk pembangunan industri esports dan game development.
Dana RM10 juta dirancang untuk menggerakkan dua sektor besar ini ke tahap optimum yang mampu memberikan pekerjaan seperti atlet esports, pengurus, pencipta kandungan dan sebagainya dalam industri esports. Negara Malaysia juga kaya dengan individu-individu berbakat dalam kandungan digital dan teknologi kreatif sekaligus meletakkan keyakinan kepada syarikat game besar seperti Bandai Namco dan Pole To Win untuk membuka studio berpengkalan di sini.
Pembentukan studio game tanahair seperti Lemon Sky, Passion Republic dan banyak lagi memberi harapan dan peluang kepada mereka untuk masuk ke dalam karier game development. Penciptaan game triple A dan indie di negara ini turut diperkayakan lagi dengan dorongan Adobe, Unity, Google dan Unreal dalam industri ini.
Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) merancang untuk bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membangun dan menggalakkan esports, sebagai sebuah aktiviti dan industri yang diminati oleh generasi muda yang melibatkan jurutera perisian dan pemaju permainan digital.
4. Level Up KL 2018 buka pintu baru untuk media interaktif
Level Up KL 2018 merupakan acara terulung yang menghimpunkan game developer dari rantau Asia Tenggara yang bertempat di CCEC pada bulan Oktober lepas. Dengan tema ‘Beyond Entertainment’ yang bertujuan untuk memacu industri hiburan selari bersama interaktiviti game, persidangan ini menjemput orang penting dalam industri video game dari luar dan dalam negara serta mengadakan pameran game yang dibangunkan oleh game developer Asia Tenggara seperti No Straight Roads, Re: Legend dan banyak lagi yang turut memenangi pelbagai anugerah seperti SEA Game Awards.
Yang paling menarik adalah ucapan utama yang disampaikan oleh pengarah seni visual PlayStation, Michael Mumbauer yang menyentuh tentang produksi maya yang menggabungkan teknik pembikinan game dan filem untuk menghasilkan game bernaratif. Menurut beliau, teknologi produksi maya telah diperlihatkan sejak dari 10 tahun lalu bagi filem berdasarkan game, Final Fantasy Spirits Within dan Beowulf.
Penghasilan dunia dan karekter realistik sudah menjadi satu tahap sebati dalam pembangunan game eksklusif PlayStation seperti The Last of Us, God of War, Marvel’s Spider-Man dan banyak lagi. Melalui penggunaan produksi virtual, ini membuka peluang pekerjaan lebih ramai kepada pakar teknologi visual seperti tukang animasi, jurutera seni visual yang selalu bekerja dalam bidang animasi kini boleh melebarkan sayap ke game development juga.
5. Konsol retro dan game remastered/remake kegemaran ramai
Walaupun industri permainan video melalui pertukaran teknologi selama 4 generasi, rata-rata pemain masih lagi memegang erat kepada memori pertama mereka bermain game di konsol-konsol terdahulu. Pada tahun ini, kita melihat kebangkitan semula game klasik yang dipertingkatkan grafik dan gameplay mengikut standard sistem konsol generasi terkini. Antara game remastered atau remake yang dilancarkan pada tahun ini adalah itu adalah Spyro Reignited Trilogy, Dark Souls Remastered dan Burnout Paradise Remastered.
Pengumpul konsol retro juga bergembira dengan pelancaran kembali NES Classic Edition (Nintendo Entertainment System) dan SNES Classic Edition yang mana menjadi rumah kepada game terkenal sepanjang zaman seperti The Legend of Zelda, Ninja Gaiden, Metroid, Star Fox dan banyak lagi. Sony juga melancarkan PlayStation Classic sempena ulangtahun ke-24 konsol PlayStation 1 yang jauh lebih ringan dan kompak bersama koleksi 20 game sahaja seperti Metal Gear Solid, Grand Theft Auto, Resident Evil dan lain-lain.
6. Epic dan Discord beri saingan sengit kepada Steam
Posisi Steam untuk menjadi gedung game digital PC utama tergugat apabila Epic Games dan Discord melancarkan servis penjualan game mereka tersendiri. Epic Games Store dilancarkan beberapa hari selepas Steam merombak kembali polisi pembahagian untung sebanyak 70% diberikan kepada game developer manakala Epic memberi kadar lebih tinggi iaitu sebanyak 88% keuntungan. Epic Games Store turut menempat game eksklusif seperti Ashen dan Hades serta memberikan game percuma setiap 2 minggu seperti Subnautica (dapatkan segera sebelum 28 Disember 2018!).
Selain beroperasi sebagai aplikasi komunikasi, Discord turut melancarkan Discord Store yang menawarkan pelbagai jenis game dan ada antaranya game yang boleh dimainkan terlebih dahulu di Store seperti Sinner: Sacrifice for Redemption dan Last Year: The Nightmare. Discord juga baru mengumumkan mereka akan memberikan 90% keuntungan kepada game developer bermula dari tahun 2019.
7. Lebih banyak penyertaan pemain kelainan upaya
Video game memang ternyata seronok tetapi ia lagi gempak jika kita main ramai-ramai bersama kawan-kawan. Namun, bukan semua dapat merasai keseronokan bermain game kerana sebab-sebab tertentu seperti visual game yang mengganggu orang kelainan upaya dan kekangan controller yang susah dikawal oleh pengguna istimewa ini.
Microsoft melancarkan Xbox Adaptive Controller, sebuah controller yang diadaptasi mengikut keselesaan pemain kelainan upaya tersendiri. Penghasilan Xbox Adaptive Controller ini dijayakan dengan kerjasama banyak organisasi penting seperti AbleGamers, SpecialEffect, Warfighter Engaged, Craig Hospital dan The Cerebral Palsy Foundation bagi memastikan rekaan dan fungsi dua butang besar dan lain-lain beroperasi dengan lancar.
Ini merupakan satu loncatan besar kepada golongan orang kelainan upaya yang minat bermain game dan memberikan peluang untuk mereka menikmati game. Game developer juga bersedia untuk menerima nasihat dan maklumbalas dari golongan ini untuk menjadi game-game mereka mudah dimainkan. Contoh game yang mudah pengguna adalah Celeste (Assist Mode), Uncharted 4: A Thief’s End (kawalan butang mudah), Overwatch (opsyen buta warna), dan Fortnite (penukaran audio kepada visual mesra orang pekak).
Inilah 7 detik-detik yang menjana ombak perubahan baru ke dalam industri permainan video. Jika kami ada terlepas pandang momen-momen game yang menarik, kongsikan momen itu bersama kami di laman Facebook!