10 Permainan Video Buatan Malaysia Yang Korang Mungkin Tak Tahu

Percaya atau tidak, industri permainan video merupakan industri paling berkembang pesat sejak mula diwujudkan sekitar tahun 1970an. Malah, ia lebih popular berbanding filem, buku, muzik dan pelbagai bentuk hiburan di peringkat antarabangsa!

Industri permainan video di Malaysia juga mengalami perubahan mendadak. Buat pengetahuan korang, studio Malaysia pernah bantu menghasilkan permainan video terkenal seperti Days Gone, Gears 5, Uncharted 4: A Thief’s End dan banyak lagi.

Kini, terdapat banyak juga permainan video dihasilkan di sini yang setaraf antarabangsa. Berikut adalah 10 permainan video yang korang tidak sedar sebenarnya adalah buatan Malaysia:

1. No Straight Roads

No Straight Roads merupakan sebuah permainan video aksi ritma dihasilkan oleh Metronomik iaitu ditubuhkan oleh Wan Hazmer (bekas pereka Final Fantasy XV) bersama-sama sepupunya, Daim Dziauddin (bekas pelukis konsep Street Fighter V).

Dalam permainan ini, korang akan mengikuti pengembaraan dua pemuzik, Mayday dan Zeke untuk menentang syarikat gergasi NSR yang telah mengharamkan segala jenis muzik kecuali rentak electronic dance music (EDM) di Vinyl City. No Straight Roads mempamerkan cara permainan dengan bertempur mengikut rentak muzik seperti gabungan Dark Souls dan Jet Set Radio.

No Straight Roads bakal dilancarkan di PC (Epic Games Store) dan PS4 pada 2020.

2. Re:Legend

Dibangunkan oleh Magnus Games Studio, terjun ke dunia permainan simulasi role-playing game (RPG) Re:Legend yang mana korang boleh membina, menanam pokok, memancing dan memburu serta menjinakkan haiwan/raksasa dipanggil sebagai Magnus.

Re:Legend mencatat sejarah sebagai projek Kickstarter yang mendapat kutipan dana tertinggi di Asia Tenggara dan menjadi permainan video Malaysia pertama diterbitkan oleh 505 Games, syarikat yang sama menerbitkan Control dan Death Stranding (di PC).

Re:Legend kini boleh dimainkan sekarang dalam akses awalan (Early Access) di PC (Steam) dan akan dilancarkan di PS4, Xbox One dan Nintendo Switch pada 2020.

3. Bake ‘n Switch

Minat Overcooked? Bake ‘n Switch menguji kebolehan membakar pelbagai jenis roti bersama rakan-rakan korang. Dibangunkan oleh Streamline Games, ini adalah permainan video couch co-op seramai 4 orang.

Korang boleh bermain bersama rakan taulan dan keluarga untuk kumpul seberapa banyak doh korang boleh uli dan bakar ke dalam ketuhar sambil mempertahankan daripada musuh Spores, Stickies, and Mouldies. Terdapat juga mod PVP untuk sabotaj doh kawan lain.

Bake ‘n Switch dijangka akan dikeluarkan pada tahun ini di PC (Steam).

4. King’s League II

Kurechii yang terkenal dengan permainan video mudah alih seperti Postknight dan Tiny Guardians kembali menghasilkan sekuel untuk siri King’s League, King’s League II iaitu permainan video Malaysia pertama hadir ke Apple Arcade, servis langganan khas untuk peranti Apple.

King’s League II adalah permainan simulasi strategi tentang pengurusan pasukan pejuang zaman pertengahan sama seperti Football Manager tetapi dengan pedang dan kuasa magis. Korang merekrut, melatih dan mengurus pejuang dari pelbagai kelas sebelum menghantar mereka ke simulasi medan perang.

King’s League II boleh dimainkan melalui Apple Arcade sekarang dan bakal dilancarkan di PC (Steam) pada 7 November 2019.

5. Ejen Ali Emergency

Daripada siri animasi tempatan terkenal Ejen Ali, kini tibalah masa untuk korang jadi ejen MATA berjaya. Dalam permainan aksi dengan pandangan atas bawah (isometric) dibangunkan oleh Common Extract, korang akan bermain sebagai Ejen Ali dengan menggunakan kaca mata berteknologi tinggi IRIS dan yoyo untuk menyelinap masuk kawasan fasiliti MATA.

Setiap tahap korang lalui akan berbeza mengikut kesusahan musuh dan keteguhan sistem keselamatan MATA. Bukan sahaja Ejen Ali, korang boleh bermain sebagai ejen lain dalam rancangan animasi perisikan ini seperti Ejen Rizwan, Ejen Bakar, Ejen Alicia, Ejen Comot dan ramai lagi.

Sambil menunggu tayangan Ejen Ali The Movie: Misi Neo yang akan keluar tidak lama lagi, Ejen Ali Emergency kini boleh dimainkan di Android dan iOS. Bertindak segera!

6. Mak Cun’s Adventure

Semangat Mak Cun membara daripada rancangan TV ke permainan video mudah alih! Daripada pembangun Ejen Ali: Emergency, Mak Cun’s Adventure adalah sebuah permainan video strategi dan pengurusan masa seakan Diner Dash.

Korang mengambil alih tampuk Mak Cun dan menguruskan pelbagai jenis perniagaan seperti restoren, gerai makanan, butik pakaian dan banyak lagi. Sempena Deepavali baru-baru ini, Mak Cun membuka gerai menghidangkan sajian India seperti tosai, capati dan lain-lain.

Mak Cun’s Adventure boleh dimainkan sekarang di Android dan iOS.

7. A Dance of Fire and Ice

Kalau korang rasa Cytus atau Deemo susah, A Dance of Fire and Ice akan mencabar keupayaan koordinasi mata dan tangan dengan menggunakan satu jari. Dibangunkan oleh 7th Beat Games, A Dance of Fire and Ice adalah permainan muzikal yang mana korang perlu selarikan dua bola berwarna biru dan merah dalam satu garisan yang sama mengikut tempo muzik. Ingat, dua bola itu akan bergerak lebih laju sepanjang sesebuah lagu dimainkan.

Setiap tahap mempunyai beberapa lagu lain daripada yang lain dengan latar belakang dunia berbeza. Korang juga boleh hasilkan dunia tersendiri dengan gubahan lagu masing-masing menggunakan Level Editor.

A Dance of Fire and Ice boleh dimainkan sekarang di Android, iOS dan PC (Steam).

8. Eximius: Seize The Frontline

Sukakan Call of Duty dan Command & Conquer? Eximius: Seize The Frontline adalah permainan atas talian (multiplayer) gabungan first-person shooter (FPS) dan real-time strategy (RTS) dibangunkan oleh studio tempatan, Ammobox Studios.

Dalam satu pasukan dengan 5 ahli, korang perlu mengambil alih dua tugasan berbeza iaitu komander dalam perspektif RTS untuk membina bangunan ibu pejabat, melatih tentera dan memberi tugasan kepada ahli pasukan lain yang mengetuai unit kecerdasan buatan (AI) membantu pemain mengumpul sumber dan mengalahkan musuh dalam perspektif FPS.

Eximius: Seize The Frontline kini dilancarkan dalam akses awalan di PC (Steam).

9. Simulacra 2

Misteri dan saspens diteruskan lagi ke dalam Simulacra 2 dibangunkan oleh Kaigan Games. Kali ini, Simulacra 2 menampilkan kisah kematian misteri pengaruh sosial media (influencer) bernama Maya Crane dan korang perlu mencari punca sebenar kematiannya melalui maklumat tertanam dalam telefon pintar milik Maya.

Simulacra 2 bakal hadir di iOS (App Store), Android (Google Play Store) dan PC (Steam) pada 12 Disember 2019. Sambil menunggu Simulacra 2 dilancarkan, korang boleh layan cerita mendebarkan lain daripada yang lain dalam Simulacra 1 (PC, Android & iOS) dan Simulacra: Pipe Dreams (PC, Android & iOS)

10. GigaBash

Studio tempatan terkenal dalam pembikinan permainan bertaraf AAA, Passion Republic Games mengumumkan permainan IP tersendiri dipanggil sebagai GigaBash. Kalau korang teringin nak bermain permainan pertarungan raksasa-raksasa kaiju seperti Godzilla dan Ultraman, inilah permainan yang korang cari!

Dalam GigaBash, korang boleh bertarung dengan pelbagai jenis raksasa yang ganas dan boleh berlawan sehingga 3 pemain dalam mod couch co-op. Raksasa-raksasa ini mempunyai kebolehan tersendiri yang beradu tenaga di kawasan bandar. Apa yang menarik adalah korang boleh baling bangunan di sekeliling raksasa ke raksasa pemain lain. Raksasa gergasi itu juga boleh membesar dengan mengumpul Giga Points dan bertukar jadi S-Class Monster.

GigaBash masih lagi dalam pembangunan dan dijangka akan dikeluarkan di PC dan PS4.


Kempen #HealthyGaming adalah initiatif yang dilaksanakan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi menggalakkan gaya hidup sihat dan produktif bagi menjana pembangunan e-sukan dan industri permainan digital negara.

Untuk berita lanjut mengenai gaming dan e-sukan, ikuti kami di FacebookTwitter dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+