5 Cameo Terbaik Stan Lee Dalam Video Game

Awal pagi ini, kita dikejutkan dengan pemergian pencipta legenda komik, Stan Lee yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 95 tahun.

Lee atau nama sebenar Stanley Martin Lieber adalah seorang penulis dan penyunting buku komik Marvel yang mencetuskan fenomena besar dalam dunia adiwira Marvel kita kenali hari ini. Beliau bersama artis-artis komik seperti Jack Kirby dan Steve Ditko berkolaborasi untuk mencipta watak adiwira popular seperti Spider-Man, Hulk, Doctor Strange, Daredevil, Iron Man, Black Panther dan ramai lagi.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai penerbit eksekutif terkaya di dunia yang mempunyai campur tangan khas memperkenalkan karakter-karakter komik Marvel dalam pelbagai media sama ada filem atau TV untuk Marvel Studios, Fox dan Sony.

Impak Lee amat meluas dalam budaya pop merentasi komik, TV, filem dan juga video game dan beliau sering tampil dalam pelbagai projek Marvel sehingga diberi gelaran sebagai raja ‘cameo’. Berikut adalah senarai cameo terbaik Stan Lee dalam video game:

1. Marvel’s Spider-Man

Ikon Marvel ini pernah membuat penampilan khas dalam game eksklusif PS4 berjudul Marvel’s Spider-Man yang dibangunkan oleh Insomniac Games pada tahun ini. Beliau muncul sepintas lalu ketika Peter Parker dan Mary Jane berbual dalam sebuah kafe.

Lee memainkan watak sebagai tukang masak itu tumpang rasa gembira melihat pasangan serasi bertemu kembali setelah sekian lama. Korang boleh saksikan babak manis melalui video di atas.

2. The Amazing Spider-Man

Buat pertama kali dalam sejarah, korang boleh main Stan Lee yang mempunyai kuasa Spider-Man untuk mengumpul manuskrip komik baru tercicir di seluruh bandar Manhattan. Korang boleh lihat gerakan lincah dan ayunan Stan Lee di video atas.

Dalam bahagian Story Mode game sama juga, Lee menyumbang suara sebagai individu yang menelefon Spider-Man tentang aktiviti kad kredit mencurigakan ketika adiwira lelabah sedang menuju ke makmal bawah tanah Dr. Connor.

3. Lego Marvel’s Avengers

Walaupun Stan Lee bertindak sebagai orang penting dalam Marvel Cinematic Universe (MCU), Lee lebih terserlah dalam Lego Marvel’s Avengers yang menggabungkan pelbagai filem MCU seperti The Avengers, Captain America: The Winter Soldier, Thor dan banyak lagi dalam satu game.

Beliau memainkan sebagai diri sendiri sepanjang cerita utama dan juruterbang S.H.I.E.L.D serta paling gempak, beliau boleh bertukar sebagai Iron Stan, Stanbuster dan Stan-Hulk!

4. Marvel Ultimate Alliance 2

Kami tentunya tak dapat melupakan penampilan terulung pertama Stan Lee dalam video game pada tahun 2009! Lee muncul sebagai seorang senator bertemu dengan adiwira Luke Cage, Daredevil dan Deadpool.

Beliau memainkan watak senator yang menolak Registration Act dan meluahkan sokongan penuh terhadap adiwira atas pengorbanan mereka. Lee juga melaungkan kata trademark beliau, Excelsior dalam cameo ini! Saksikan Deadpool pura-pura tak kenal Stan Lee di atas.

5. Lego Marvel’s Super Heroes 1 & 2

Stan Lee dalam game LEGO sememangnya hebat-hebat belaka. Dalam Lego Marvel’s Super Heroes 1, Lee membanteras jenayah sebagai diri sendiri atau boleh bertukar menjadi Stan-Hulk gergasi.

Untuk Lego Marvel’s Super Heroes 2 pula, Lee adalah adiwira paling berkuasa yang mempunyai gabungan kuasa Thor, Galactus, Spider-Man dan juga membawa perisai bermotifkan Marvel seperti Captain America dalam misi sampingan Gwenpool.

Legenda Komik Mengiringi Pemain

Selaku peminat tegar Spider-Man, Lee pernah menjadi suara latar belakang untuk Spider-Man (2000) dan juga sekuelnya, Spider-Man 2: Enter Electro (2001) dan Spider-Man: Shattered Dimensions (2010).

Bakat suara mampu menyentuh setiap semua usia apabila beliau juga membacakan cerita interaktif pengenalan adiwira The Avengers dalam aplikasi mudah alih iOS, The Avengers Origins: Hulk and Avengers Origins: Assemble! pada tahun 2012.

Apakah penampilan cameo Stan Lee kegemaran korang tak kiralah filem, TV atau video game? Kongsikan pendapat bersama kami dan beritahu kami jika kami ada terlepas pandang cameo ikon budaya pop ini dalam video game!

RELATED NEWS

+