5 permainan eksklusif PS5 yang paling dinanti-nantikan

Sony masih berdiam diri mengenai butiran-butiran penting konsol terbaru mereka iaitu PlayStation 5 (PS5). Tapi tak perlu bimbang, mereka juga ada mengumumkan beberapa permainan eksklusif yang akan dilancarkan untuk konsol tersebut.

Walaupun Microsoft telah mendedahkan Xbox Series S yang akan dijual pada harga sekitar RM1,300, masih ramai penggemar permainan video lebih teruja untuk mendapatkan PS5.

Hal ini demikian kerana banyak siri permainan hebat seperti Uncharted, God of War, The Last of Us, dan banyak lagi hanya dilancarkan untuk konsol PlayStation termasuk konsol generasi kini iaitu PlayStation 4 (PS4).

Untuk generasi baharu ini, nampaknya Sony akan mengekalkan kekuatan mereka dari segi katalog permainan eksklusif yang menarik. Jom kita tengok antara permainan eksklusif PS5 yang paling dinanti-nantikan!

 

Demon’s Souls

Apabila bercakap tentang permainan video yang susah, memang ramai pemain akan menyebut tentang siri Dark Souls. Demon’s Souls pula merupakan permainan pertama yang menjadi “bapa” kepada siri Dark Souls.

Permainan ini pada asalnya dilancarkan di PlayStation 3 (PS3) pada tahun 2009. Versi baharu ini merupakan sebuah remake yang bukan sahaja memperkenalkan enjin grafik baharu tetapi juga kawasan-kawasan baharu.

Walaupun Demon’s Souls yang asal tidak begitu popular seperti Dark Souls, ia tetap menjadi sebuah permainan yang diminati ramai. Banyak unsur-unsur hebat dalam Dark Souls datang dari permainan tersebut.

 

Horizon Forbidden West

Ramai pemain PS4 sering menyatakan Horizon Zero Dawn ialah antara permainan PS4 paling cantik yang pernah mereka main. Dunia terbuka dalam permainan tersebut nampak realistik dan juga berwarna-warni.

Kemungkinan besar sekuel kepada permainan tersebut iaitu Horizon Forbidden West bakal membuatkan pemain rasa kagum sekali lagi apabila ia dimainkan di PS5.

Horizon Forbidden West akan menyambung jalan cerita Horizon Zero Dawn dan memperkenalkan lebih banyak musuh dinosaur robot yang menakutkan.

 

Gran Turismo 7

Hampir tiada siri permainan simulasi perlumbaan lain di dunia yang popular seperti Gran Turismo, lagi-lagi dalam kalangan pemain konsol.

Gran Turismo 7 merupakan judul terbaru dalam siri tersebut dan penulis yakin ia akan menjadi permainan simulasi perlumbaan yang paling realistik untuk generasi baharu ini.

Pelaksaan teknologi pencahayaan ray-tracing dan kebolehan PS5 untuk main judul ini pada resolusi 4K dengan kadar bingkai 60FPS akan menjadikannya satu pengalaman yang sukar dilupakan.

 

Marvel’s Spider-Man: Miles Morales

Spider-Man sememangnya seorang adiwira yang mempunyai sejarah bersama PlayStation. Sejak konsol PlayStation pertama sehingga PS4, banyak permainan Spider-Man telah dikeluarkan.

Pada tahun 2018, Insomniac Games melancarkan Marvel’s Spider-Man secara eksklusif di PS4 dan ia menjadi salah satu permainan yang memenangi banyak anugerah dan lebih daripada 13 juta unit terjual setakat Ogos 2019.

Marvel’s Spider-Man: Miles Morales bukan sebuah sekuel penuh kepada Marvel’s Spider-Man tetapi ia ibarat sebuah spin-off yang berlaku dalam dunia yang sama.

Penulis tidak sabar untuk melihat bagaimana kuasa-kuasa Miles yang berbeza dengan Peter Parker akan digunakan dalam permainan ini.

 

Ratchet & Clank: Rift Apart

Selain daripada siri permainan Spyro dan Marvel’s Spider-Man yang disenaraikan sebelum ini, Insomniac Games juga terkenal dengan satu lagi siri permainan yang dibangunkan oleh mereka iaitu Ratchet & Clank.

Judul terbaru dalam siri ini, Ratchet & Clank: Rift Apart, akan membawa kembali kedua-dua watak tersebut dalam sebuah pengembaraan baharu yang memerlukan mereka untuk merantau ke pelbagai dimensi berbeza.

Permainan ini bukan sekuel kepada Ratchet & Clank yang dilancarkan di PS4 pada tahun 2016. Rift Apart merupakan permulaan siri baharu tetapi ia masih mempunyai kaitan dengan Ratchet & Clank: Into the Nexus.

Solid state drive (SSD) dalam PS5 akan menjadikan perjalanan dari satu dimensi ke dimensi lain lebih pantas. Pihak pembangun juga sudah mengesahkan permainan ini boleh dimain pada tetapan 4K/60FPS.

Selain daripada lima permainan di atas, masih terdapat banyak lagi permainan video (eksklusif dan tidak eksklusif) menarik yang akan dilancarkan untuk PS5 seperti Hitman 3,  Returnal, Kena: Bridge of Spirits, Resident Evil: Village dan banyak lagi.

Sekarang kita hanya perlu tunggu Sony umumkan secara rasmi tarikh pelancaran dan tanda harga PS5 versi biasa dan versi digital-sahaja. Penulis harap pengumuman tersebut akan dibuat pada bulan ini.

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+