5 permainan hangat yang akan dilancarkan pada Februari 2021

Terdapat banyak permainan menarik yang akan dilancarkan pada bulan Februari tahun ini. Stok grafik kad serta konsol baharu juga akan diisi semula secara berperingkat. Oleh itu, ini adalah masa yang sesuai untuk merancang pembelian anda.

Mari kita lihat lima permainan menarik yang akan tiba pada bulan depan:

 

Werewolf: The Apocalypse – Earthblood

Ramai pemain PC tahu tentang Vampire: The Masquerade – Bloodlines. Werewolf: The Apocalypse – Earthblood berlangsung dalam dunia fiksyen yang sama iaitu World of Darkness.

Dalam permainan ini, anda akan bermain sebagai seorang serigala jadian yang mahu menumpaskan sebuah syarikat besar. Syarikat tersebut terlibat dalam pelbagai aktiviti pencemaran yang merosakkan alam sekitar.

Werewolf: The Apocalypse – Earthblood akan dilancarkan pada 4 Februari ini untuk PC, PlayStation 5 (PS5), PlayStation 4 (PS4), Xbox Series, dan Xbox One.

 

Nioh 2 – The Complete Edition

Nioh 2 telah dilancarkan pada tahun lepas secara eksklusif untuk PS4. Pada tahun ini, versi PS5 dan PC pula akan dilancarkan.

Permainan ini terkenal dengan tahap kesusahannya yang sangat mencabar. Para pemain diberi pelbagai senjata dan kemahiran berdasarkan samurai dan ninja untuk menewaskan pelbagai jenis raksasa.

Nioh 2 – The Complete Edition akan dilancarkan pada 5 Februari untuk PC dan PS4. Versi PS5 akan dilancarkan pada hari yang sama dan diberi tajuk Nioh 2 Remastered – The Complete Edition.

 

Persona 5 Strikers

Persona 5 Strikers merupakan spin-off kepada permainan Persona 5 yang dilancarkan pada tahun 2016. Persona 5 ialah sebuah Japanese role-playing game (JRPG), manakala Persona 5 Strikers ialah permainan musou.

Jika anda pernah main permainan siri Dynasty Warriors, cara permainan utama Persona 5 Strikers sama dengan permainan-permainan siri tersebut. Anda akan mengawal watak-watak yang berkuasa untuk bertarung dengan ribuan musuh lemah.

Persona 5 Strikers akan dilancarkan 23 Februari ini untuk PC, PS4, dan Nintendo Switch.

 

Bravely Default II

Para pemilik Nintendo Switch semestinya tidak sabar untuk main Bravely Default II. Ia adalah judul ketiga dalam siri Bravely. Dua judul pertama siri ini hanya dilancarkan untuk Nintendo 3DS.

Sama seperti permainan-permainan Bravely yang lain, Bravely Default II ialah sebuah JRPG. Aspek-aspek istimewanya ialah sistem Brave Point dan pengumpulan “asterisk” untuk menukar kelas watak-watak.

Bravely Default II akan dilancarkan secara eksklusif untuk Nintendo Switch pada 26 Februari ini.

 

Destruction AllStars

Tidak sama dengan permainan-permainan lain dalam artikel ini, Destruction AllStars akan dilancarkan secara percuma tetapi hanya untuk tempoh dua bulan.

Destruction AllStars ialah sebuah permainan pertempuran kenderaan. Para pemain diletakkan dalam sebuah arena yang besar dan akan bertarung menggunakan kenderaan dan senjata-senjata yang terdapat dalam arena tersebut.

Permainan ini akan dilancarkan secara percuma untuk pelanggan PlayStation Plus pada bulan Februari 2021. Ia boleh ditebus dalam tempoh dua bulan pertama sahaja.

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+