Adakah watak baru VALORANT, Neon akan menggantikan Jett?

Riot Games mendedahkan lagi maklumat tentang watak Filipina berperanan Duelist yang bernama Neon. Gadis ini berkuasa petir dan kilat, dan beliau pastinya laju seperti kedua-dua itu. Ini menjadikan watak paling terpantas dalam barisan Agent VALORANT Protocol.

Memandangkan beliau seorang Duelist, beliau dijangkakan untuk membuka dan mendapatkan ruang untuk ahli pasukan masuk ke tapak Spike dengan selamat. Hal ini demikian kerana kelajuan beliau serta kebolehannya yang menutup pandangan serta ruang selamat pihak lawan.

Mari kita lihat pecahan kebolehannya.

Set Kebolehan

Seperti dilihat di dalam pendedahan Neon tidak lama lalu, kebolehan beliau sememangnya antara yang terbaik untuk menegakkan barisan pertahanan atau menentang musuh secara berdepan.

Kebolehan E iaitu High Gear membolehkan Neon memecut dengan pantas dan bergelongsor untuk menamatkan lariannya. Jarak lariannya agak jauh dan ia terikat dengan jumlah kuasa yang tinggal pada ‘bateri’ Neon yang boleh dilihat dibawah skrin. Bateri ini akan diisi sebanyak 25% apabila mendapat kill.

Gelongsornya juga beroperasi dengan 2-kill cooldown seperti Tailwind Jett atau Paintshell Raze.

Fast Lane, kebolehan C Neon, adalah dua dinding lurus seakan-akan dinding api Phoenix. Fast Lane ini sangat berguna untuk membuka ruang lawan. Tetapi bezanya antara Neon dan Phoenix atau Viper adalah pada jumlah dinding yang diangkat.

Neon mengangkat dua dinding sekali gus berbanding satu. Tetapi, dindingnya lurus dan tidak boleh dilengkungkan seperti Phoenix atau diguna berulangkali seperti Viper.

Namun, disebabkan oleh jaraknya yang agak panjang serta ruang lebar yang dibuka, dinding Neon ini berguna untuk membelah bahagi ruang perlawanan atau contest space.

Kebolehan Q Neon, yang digelar Relay Bolt, berfungsi sebagai alat agar musuh berundur dari lokasi mereka. Jika tidak, mereka akan terpegun akibat kebolehan ini.

Kebolehan ini sedikit seperti Fault Line Breach di mana ia mampu menggegarkan musuh disebalik dinding. Kebolehan ini juga akan melantun dan menggegarkan lokasi lantunan serta lokasi penamat.

Akhir sekali, Overdrive adalah kebolehan ultimatenya. Kebolehan ini akan menjadikan Neon laju seperti mengaktifkan High Gear. Ia juga akan mengisi semula baterinya agar Neon boleh mengaktifkan High Gear sekali lagi. Bateri ini juga timer untuk kebolehan ini.

Ultimate Neon boleh menewaskan musuh pada jarak dekat sehingga jarak jauh dan ia memberi 22 dmg setiap detikan. Namun, terdapat damage fall off pada jarak jauh.

Ultimatenya juga tidak ada perbezaan damage jika ditembak di kepala atau kaki musuh, ia tetap akan memberi 22 dmg setiap denyaran.

Taktik Neon

Memandangkan Neon adalah seorang watak laju, watak ini sesuai untuk menggunakan taktik Hit-and-Run seperti Jett di mana watak ini akan menewaskan seorang musuh dan bergerak pantas bagi mengelakkan ditewaskan oleh musuh.

Set kebolehannya dapat membantu Neon mengasingkan Duelist pihak lawan agar dapat menjadikannya situasi 1v1. Jika terdapat lebih dari 1 musuh, kebolehan Relay Bolt dapat digunakan untuk mematahkan usaha 2v1 pihak lawan.

Ultimatenya juga berguna untuk merempuh ke dalam tapak Spike lalu memasuki ruang selamat musuh seperti CT Spawn atau Heaven pada Split, contohnya. Tetapi perlu diingat, jika musuh mahir menyasar dan membedil kepala, jadi strategi ini mungkin tidak boleh diguna pakai.

Memandangkan penulis sudah mencuba bermain Neon untuk tempoh yang tidak lama, penulis dapat lihat bahawa beliau juga berguna pada situasi Defending di mana Relay Bolt dapat menghentikan asakan pihak lawan terhadap satu tapak Spike. 

Neon Menggantikan Duelist Lain?

Jadi, persoalannya kekal, adakah Neon dapat menggantikan Duelist lain? Setakat ini, tidak.

Setiap Duelist mempunyai kelebihan masing-masing dan gaya permainan masing-masing. Jett juga menggunakan strategi Hit-and-Run tetapi gaya permainan Jett perlukan kemahiran membidik yang tinggi. Selain itu, Jett dan Raze juga mempunyai kelebihan bermain di ruang udara, manakala kemahiran Neon lebih fokus ke penguasaan darat kerana semua kelebihan Neon tidak efektif semasa melompat atau di udara.

Jett juga salah satu Duelist yang sangat sesuai dimainkan dengan senjata Operator di mana pemain akan diri setempat buat sesuatu waktu. Manakala, Neon lebih selesa dengan gaya permainan penuh momentum dan perlu pergerakan yang konsisten untuk menjadi efektif.

Reyna pula salah satu Duelist yang sangat unik kerana beliau mampu menyembuh selepas setiap pertarungan dengan syarat dapat mendapat kill atau assist. Jadi, kedudukan Reyna dalam barisan Duelist agak selamat.

Manakala, untuk Phoenix dan Yoru pula, kedua-dua Duelist ini tidak membawa impak yang begitu besar kepada pasukan. Oleh itu, mereka jarang sekali dipilih dalam ruang kompetitif. Riot juga menjanjikan bahawa perubahan besar kepada Yoru bakal datang.

Pembangunan Neon

Riot berkongsi kepada media bahawa sewaktu membangun watak Yoru, mereka mengambil pelbagai risiko dengan gaya permainan barunya. Namun, risiko itu terbukti agak besar kerana Yoru memang tidak sesuai untuk dimainkan dalam gaya kompetitif. Riot juga meneliti apa yang silap semasa membangunkan Yoru dan belajar dari kesilapan sewaktu menjadikan Neon seorang Duelist.

Ryan “rycou” Cousart, pembangun dari Riot Games yang berasal dari Filipina, menyatakan beliau sungguh terharu dan gembira apabila Riot Games meluluskan projek ini.

Apa pendapat anda tentang Neon? Mampukah Neon menggantikan Duelist yang lain, atau tidak?

RELATED NEWS

+