Alice tidak gentar, sahut cabaran sebagai pengurus Orange Esports

Pasukan Orange Esports ketika ini sedang mendahului kumpulan A dan mereka akan bertanding di peringkat playoff pada hari ini. Sebuah pasukan yang sangat kuat ketika di peringkat kumpulan, mereka tidak gentar dengan pasukan-pasukan veteran yang lain meskipun mempunyai banyak pemain baru.

Peranan seorang pengurus di dalam organisasi juga sangat penting untuk pasukan Orange Esports mencapai prestasi yang cemerlang di dalam permainan. Ini kerana jadual mereka dan disiplin mereka diuruskan dengan begitu cekap oleh Raz Ellyssa Razali atau lebih dikenali sebagai Alice.

Ditanya tentang cabaran Alice di dalam menjadi seorang pengurus untuk pasukan Orange Esports “Saya perlu menjadi ibu, kakak dan rakan mereka dalam satu masa. Saya perlu menjaga tingkah laku, disiplin, perasaan dan emosi setiap pemain yang berada di dalam pasukan.

“Sebagai contoh, sekiranya terdapat perselisihan faham antara pemain, saya perlu memikirkan cara yang paling baik agar memastikan tidak ada di antara mereka merasa terguris dan terluka. Bagi menjaga perasaan seseorang pemain itu tidak mudah, inikan 8 orang pemain saya harus jaga.

“Akan tetapi, cabaran ini yang membuat saya lebih mempunyai empati dan mendalami kisah hidup sebenar seorang pemain yang orang lain tidak tahu,” ujarnya.

Alice menambah, sebagai seorang wanita, tidak ada halangan buatnya dalam industri e-sukan lagi-lagi dalam bidang pengurusan.

“Sebagai seorang wanita, saya tidak menjangkakan sebarang kekangan di dalam bidang yang didominasi oleh lelaki. Saya faham yang kita tidak boleh elak dari stigma masyarakat yang sering memandang rendah terhadap kebolehan kaum hawa yang secara hakikatnya mampu cemerlang di dalam menguruskan pasukan di arena e-sukan.

“Mereka tidak tahu bahawa saya perlu berkerja dan usaha dengan lebih keras kerana berada di dalam dunia permainan video di mana ia dipelopori oleh lelaki.

“Sebagai pengurus wanita, cara saya mengurus tidak seperti lelaki. Pendekatan saya berbeza, saya mengurus mereka umpama seperti satu keluarga. Menjadi seperti seorang ibu agar lebih memahami dan bersifat lebih terbuka,” tambahnya.

Alice tidak duduk bersama para pemain di gaming house. Urusan di gaming house kebanyakan diuruskan oleh jurulatih mereka iaitu Sora yang mengikuti pemain dan duduk bersama mereka.

“Saya tidak tinggal bersama mereka di gaming house, pengurusan di gaming house ini sangat tegas. Setiap penghuni perlu berdaftar untuk memasuki kawasan kediaman.”

Dato Wayne, pemilik pasukan Lunatix (Orange esports) pada hari ini menjadi sifu dan idola buat Alice.

Dato banyak mengajar beliau dan memberi ilmu tentang pengurusan pasukan di dalam arena e-sukan. Ketika ditanya tentang rutin harian sebagai pengurus, beliau berkata “Setiap hari soalan pertama dalam group whatsapp kami adalah siapa yang sudah bangun. Maka orang itulah yang akan saya suruh untuk kejutkan setiap pemain yang lain dan bersedia untuk scrim.

“Saya akan pilih pemain secara rawak dan bertanyakan situasi di gaming house. Kadangkala saya akan video call mereka dan menanyakan ke mana pemain keluar. Selain itu, saya akan membuka room tournament, menyusun jadual pemain, memenuhkan jadual scrim dan menguruskan claim pasukan. Di samping itu, memberikan peringatan dan nasihat kepada para pemain,” katanya.

Akhir kata, Alice memberitahu bahawa wanita dalam bidang pengurusan memiliki sifat yang sangat teliti dari kerja paperwork mahupun pengurusan hidup. “Saya sangat yakin, pemain Orange adalah pemain yang paling berdisiplin jika dibandingkan dengan pasukan lain. Selain itu, sebagai seorang pengurus wanita, saya berasa lebih mudah untuk saya menjalinkan hubungan di antara pasukan dari luar negara untuk Orange Esports,” akhiri beliau.

Ternyata Alice mempunyai ciri-ciri seorang pengurus yang mementingkan disiplin setiap pemain dan akan berusaha dengan lebih keras untuk membuktikan bahawa seorang wanita itu tidak ada masalah dan mampu berjaya di dalam bidang yang didominasi oleh para lelaki.

Selain itu, beliau juga akan memastikan jadual dan apa juga bentuk kebajikan yang dimiliki pemain akan terjaga. Bukan mudah bagi seorang wanita untuk menyesuaikan diri di dalam organisasi yang dikuasai oleh orang lelaki namun Alice berjaya menjadi wanita yang mampu untuk melakukannya.

Foto: Orange Esports

RELATED NEWS

+