“Begitulah kehidupan didalam e-sukan, berisiko tinggi, segalanya boleh berubah sekelip mata,” – Sunfrost

Baru-baru ini, pemain-pemain Team Lunatix (dulunya Team Lemah) yang bernaung di bawah LTX Integrated dilepaskan hanya selepas pusingan kelayakan MPL MY S11 berakhir. Ia menimbulkan tanda tanya ramai pihak mengenai keputusan yang agak mengelirukan dari pihak pengurusan.

Penulis mendapatkan pencerahan dari bekas penganalisis Team Lunatix, Syed Fitri Abharshah atau Sunfrost.

1. Apa pandangan Sun mengenai keputusan yang dibuat ini?

Keputusan yang dibuat oleh Lunatix sememangnya tidak masuk akal dan hanya mementingkan diri mereka sendiri. Mereka boleh lakukannya dengan lebih awal, memberi peluang untuk para pemain ini mendaftar kelayakan semula. Namun, keputusan mereka seakan akan tidak mengendahkan apa yang bakal berlaku kepada para pemain.

2. Atas dasar apa penganalisis dan juga 5 pemain Team Lemah dibuang?

Untuk diri saya yang sudah dibuang sejak 18 Oktober lalu (2 hari selepas playoff) diberitahu bahawa saya dibuang atas dasar kewangan. Mereka tidak membenarkan saya untuk mengeluarkan sebarang kenyataan dengan alasan mereka akan memberikan posisi yang baharu pada musim hadapan.

Namun, segala janji manis ini hanyalah penipuan bagi menutup topik itu. Selepas dua bulan, para pemain pula dibuang atas dasar prestasi, kata mereka. Tambahan lagi, mereka menegaskan bahawa ianya adalah keputusan jurulatih. Pada permulaan musim, pihak pengurusan hanya meletakkan tempat ke-8 teratas sebagai sasaran dan dengan usaha para pemain, ianya berjaya dicapai.

Pada saya, ini adalah alasan yang tidak wajar, kerana jika masalah prestasi, tidak mungkin sehingga lima orang pemain sekali gus dibuang. Yang paling saya kecewa adalah tindakan mereka menuding jari kepada jurulatih atas keputusan dibuat.

Mereka melakukan sedemikian dihadapan media kerana sudahpun tertulis didalam kontrak, bahawa hanya jurulatih dan pengurus Team Lemah sahaja yang dibenarkan untuk melakukan sebarang perubahan terhadap barisan pemain.

3. Apa langkah seterusnya yang akan dibuat? Memandangkan apa yang dilakukan oleh LTX Integrated dibolehkan dalam peraturan MPL.

Sebenarnya, sudah pelbagai cara kami cuba untuk lakukan sebelum playoff musim lalu lagi. Perkara ini sudahpun dijangka, maka banyak pertolongan sudahpun kami minta. Namun tiada apa yang mampu dilakukan oleh mana-mana pihak.

4. Ceritakan pengorbanan yang telah dilakukan terhadap pasukan ini dan nasihat kepada pemain baru yang mungkin akan mengalami perkara sama.

Perjuangan mereka daripada pusingan kelayakan sehingga ke pentas playoff penuh dengan pengorbanan. Ada yang meninggalkan keluarga, ada yang menangguh pengajian, mengabaikan kerja, memberikan segala yang termampu didalam perjuangan ini.

Namun begitulah kehidupan didalam e-sukan, berisiko tinggi, segalanya boleh berubah sekelip mata. Nasihat saya buat para pemain baharu, percayalah kepada nilai diri dan pasukan anda. Jangan sewenang-wenangnya memberikan hak kepada mereka yang tidak sepatutnya. Juga nasihat kepada pemain-pemain Lunatix yang akan datang, selamat berkhidmat.

Moga pesanan yang diberikan oleh Sunfrost ini boleh menjadi tauladan dan panduan untuk pemain-pemain profesional di luar sana dan juga yang mahu berkecimpung dalam dunia e-sukan MLBB.

Sementara itu, LTX Integrated turut mengeluarkan kenyataan mereka berhubung perkara ini.

Team Lemah sebelum ini berada di bawah pengurusan mereka sejak 28 Jun lepas.

Team Lunatix menyatakan rasa kesal kerana ramai masih lagi tidak tahu perbezaan pemilikan dan penaja. Menurut Team Lunatix, keputusan ini bukan hanya dibuat oleh pihak pengurusan sahaja.

Sehubungan dengan itu juga, posting demikian menerima pelbagai hujatan daripada netizen. 

RELATED NEWS

+