Best Ke COD Mobile? Ini Jawapan Pemain Kompetitif Dari Permainan Asal

Permainan mudah alih Call of Duty atau dikenali sebagai Call of Duty: Mobile mencipta fenomena tersendiri di media sosial sejak dilancarkan dua hari lepas.

Bukan saja ia menjadi ikutan malah ramai memuji mekanisme, ciri yang dipinjam dari platform konsol dan juga kawalan yang mesra pengguna. 

Ikuti temu bual penulis bersama pemain kompetitif Call of Duty bagi perkongsian pengalaman mereka bermain permainan kegemaran ini di peranti pintar.

 

Abdul Hakiem Tajudin – RanGer (RamPaGe Gaming)

Bagi pemain kompetitif Call of Duty, Abdul Hakiem Tajudin atau RanGeR berpendapat permainan mudah alih ini lebih seronok berbanding PUBG Mobile.

“Dari aspek grafik dan ciri First Person Shooter (FPS), saya rasakan ia mendahului permainan PUBG Mobile.

“Namun, dari segi gameplay Battle Royale lebih kurang sama,” katanya.

Hakiem juga memuji mod PVP, mengatakan ia sesuatu yang baru.

“Saya bagi lapan bintang untuk apa yang mereka buat (membawakan ciri-ciri permainan asal ke peranti mudah alih),” katanya.

Sebagai pemain profesional, Hakiem juga mengatakan mod asal seperti Domination yang dimasukkan adalah sangat wajar.

“Ramai pemain suka grind (main dan ulang) mod itu.

“Dari segi senjata, saya rasa mereka tak mungkin mampu laksanakan ciri recoil sebenar seperti permainan asal kerana isu butang kawalan dalam versi peranti pintar.

“Dari sudut Battle Pass pula, saya rasakan ia bagus kerana kesemua kosmetik untuk COD Mobile memang awesome dan bukannya ‘entah apa-apa’,” jelasnya.

Bagi pemain baru, Hakiem berasakan mereka tiada masalah untuk membiasakan diri jika pernah bermain mobile FPS seperti Fortnite dan PUBGM atau FreeFire.

 

Izzul Amin – Izzul (RamPaGe Gaming)

Bagi pemain Singapura, Izzul Amin, dia merasakan ia tampak seronok dengan peta yang bermacam-macam diambil dari judul permainan COD yang berbeza.

“Saya tak rasakan ia mempunyai pengalaman konsol atau PC tapi saya gemarkan ciri Rank kerana ia menampakkan permainan ini sudah pun sedia dimainkan dalam mod kompetitif.

“Walaupun tak berapa main permainan mudah alih tapi ciri yang diterapkan dalam permainan ini boleh dikatakan sesuai untuk semua pemain.

“Dari sudut e-sukan, saya rasa ia akan ‘meletup’ kerana semua orang ada peranti pintar jadi lebih ramai dapat bertanding. Pada pendapat saya, wujudkan pertandingan dalam talian secara mingguan dan pasukan dengan mata tertinggi boleh ada peluang bertanding dalam kejohanan LAN/offline,” katanya.

Izzul juga berpendapat pembelian dalam permainan (IAP) dan Battle Pass adalah ciri tambahan menarik bagi permainan mudah alih percuma dan ramai yang suka untuk mengubah senjata dan karakter mereka.

 

Nazmi Nahar – Nazmi (bekas Pengurus RamPaGe Gaming)

Nazmi Nahar yang dulunya pemain kompetitif dalam arena Call of Duty merasakan permainan ini mempunyai persamaan dengan versi konsol.

“Tapi kekurangannya adalah TTK (masa untuk bunuh) yang terlalu cepat dan perubahan butang yang tak sesuai untuk mereka yang bermain dari konsol ke peranti pintar.

“Dari segi grafik, ia sangat cantik. Walaupun tak boleh membandingkan antara kedua platform tapi COD Mobile sudah cukup untuk menunjukkan look and feel COD di dalamnya,” katanya.

Nazmi menambah, butang kawalan yang sama seperti PUBG Mobile perlu diubah.

“Saya tak pasti kenapa mereka kekalkan seperti PUBGM tapi ia perlu diubah untuk jadi lebih mudah dan straightforward kepada pemain.

“Dari segi perkembangan permainan mudah alih ini, dengan adanya komuniti dan penganjur yang memberi sokongan dan kurangnya unsur toksik, ia boleh berada lama dalam pasaran untuk menyaingi permainan kompetitif lain.

“Dari segi IAP, ia agak mahal tapi saya faham pembangun perlu membuat keuntungan di sebalik ini,” katanya.

COD Mobile  dibangunkan oleh Activision dan diterbitkan oleh Garena. Permainan ini menampilkan mod seperti Search & Destroy, Battle Royale, Frontline, Team Deathmatch dan Rank serta banyak lagi! Buat masa sekarang, gamers sedang menguji permainan ini dalam sesi beta tertutup yang hanya diberikan kepada mereka yang membuat pra-pendaftaran tak lama dulu.

Setiap pemain dibekalkan beberapa slot di loadout yang mana anda boleh customize senjata dan kelengkapan mengikut citarasa sendiri. Yang menariknya, ia juga menyertakan Scorestreaks, satu ciri membolehkan pemain menggunakan serangan istimewa seperti airdrop, Hunter Killer Drone dan banyak lagi.

Juga terdapat ciri menarik seperti Battle Pass untuk pengguna mendapatkan senjata yang diubah, kad exp dan banyak lagi.

Download: AndroidiOS

Untuk berita lanjut mengenai gaming dan e-sukan, ikuti kami di FacebookTwitter dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+