Call Of Duty: Warzone – Permainan Battle Royale 150 Pemain, Percuma Di PC & Konsol

Genre battle royale dalam industri permainan video semakin hari semakin tepu. Tidak cukup dengan Call of Duty: Mobile di peranti mudah alih, Activision akan mengeluarkan satu lagi permainan video Call of Duty yang berasaskan mod battle royale.

Call of Duty: Warzone ialah sebuah judul baharu daripada Activision yang dibangunkan untuk PC, PlayStation 4 (PS4), dan Xbox One. Ia akan dilancarkan esok di Malaysia dan boleh dimuat turun secara percuma.

Permainan video ini akan mempunyai dua mod permainan iaitu Battle Royale dan Plunder.

Setiap pusingan Battle Royale akan mengumpulkan 150 pemain dan setiap pemain berada dalam pasukan yang mempunyai 3 ahli pasukan. Pemain akan bermain dalam peta Verdansk yang dipenuhi dengan lima jenis kenderaan termasuk all-terrain vehicles (ATV), trak kargo, dan helikopter.

Seperti kebanyakan permainan battle royale, misi anda dalam mod Battle Royale adalah untuk menjadi pasukan terakhir yang hidup.

Dalam mod Plunder pula, pemain harus mengumpulkan wang terbanyak untuk menjadi pemenang. Wang boleh dicuri daripada pemain-pemain lain, diambil dari peti, dan menyelesaikan Contracts.

Contracts adalah misi-misi yang diselesaikan melalui pelbagai cara seperti membuka peti-peti tertentu dan macam-macam lagi.

Pastikan anda mempunyai ruangan storan yang mencukupi untuk muat turun permainan video ini kerana bagi pemilik Call of Duty: Modern Warfare, anda memerlukan sekitar 18-22GB dan bagi anda yang tidak memiliki Modern Warfare pula, ruangan yang diperlukan adalah sekitar 83-101GB.

Nampaknya Warzone akan menggunakan enjin yang sama seperti Modern Warfare dan kebanyakkan aset daripada Modern Warfare akan digunakan semula dalam Warzone.

Bagi pemilik Modern Warfare di PC atau konsol, Call of Duty: Warzone boleh dimuat turun bermula pada waktu 11 malam ini.

Pengguna lain boleh mula muat turun permainan video tersebut bermula pada waktu 3 pagi esok.

Sumber: Activision

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+