China mula halang Tencent kemaskini dan lancar aplikasi baru

Kementerian Industri dan Informasi Teknologi China baru-baru ini mengenakan sekatan kepada Tencent untuk melancarkan sebarang kemaskini buat aplikasi mereka yang sedia ada atau melancarkan aplikasi baharu.

Sekatan ini berikutan perlaksaan undang-undang baharu yang diluluskan oleh kerajaan China iaitu Undang-undang Perlindungan Maklumat Peribadi melalui kementerian itu, yang mana akan melibatkan sektor teknologi di China, termasuk Tencent. 

Undang-undang ini mula berkuatkuasa pada 1 November lalu, di mana ia akan memperketatkan lagi undang-undang berkaitan keselamatan data persendirian sedia ada yang boleh menyekat permindahan data rentas sempadan dan akan memberi kesan bagaimana syarikat-syarikat di China berkaitan pengurusan dan penggunaan data pengguna.

Oleh hal yang demikian, Tencent kini dihalang untuk melancarkan sebarang kemaskini atau melancarkan aplikasi baru sehingga tempoh yang akan diumumkan kelak. 

“Kami akan terus bekerja untuk mempertingkatkan ciri pelindungan pengguna di dalam aplikasi kami dan akan memberi kerjasama dengan agensi kerajaan yang berkaitan untuk memastikan undang-undang itu dipatuhi. Aplikasi kami masih berfungsi dan boleh untuk dimuat turun,” tulis kenyataan rasmi Tencent.

Sehingga kini, Tencent sudah mempunyai lebih 70 aplikasi dan 100 permainan oleh Tencent Mobile Games yang dilancarkan mereka dan akan terkesan akibat sekatan oleh kerajaan China ini. 

Sumber: AFK Gaming

RELATED NEWS

+