Crysis Remastered Diumumkan Secara Rasmi

Crysis merupakan salah satu permainan video first-person shooter yang paling popular di PC. Ia asalnya dilancarkan pada tahun 2007 dan sering digunakan sebagai penguji perkakasan PC kerana keperluan spesifikasinya yang tinggi.

Crytek telah mengumumkan Crysis Remastered secara rasmi dan ia akan dilancarkan untuk PC, PlayStation 4 (PS4), Xbox One, dan Nintendo Switch. Mereka tidak mendedahkan tarikh pelancaran dan hanya menyatakan bahawa ia akan tiba tidak lama lagi.

Judul tersebut dibangunkan secara bersama oleh Crytek dan Saber Interactive. Kemungkinan besar Saber Interactive bertanggungjawab membangunkan versi Nintendo Switch kerana mereka berpengalaman membangunkan judul-judul hebat untuk konsol tersebut seperti The Witcher 3: Complete Edition dan Vampyr.

Versi remastered ini akan mempunyai pelbagai penambahbaikkan kualiti grafik seperti software-based ray tracing, tekstur HD berkualiti tinggi, dan banyak lagi. 

Dalam Crysis yang asal, anda bermain sebagai seorang askar yang memakai Nanosuit. Nanosuit ini mempunyai empat tetapan yang boleh dipilih iaitu kekuatan, kelajuan, perisai, dan halimunan. Anda boleh menukar antara tetapan berlainan pada bila-bila masa sahaja tetapi semuanya menggunakan tenaga yang sama.

Misi anda ialah untuk menyelamatkan manusia di sebuah pulau yang ditakluki tentera Korea Utara. Keistimewaan Crysis ialah anda diberikan kebebasan untuk menyelesaikan misi dalam pelbagai cara dengan menggunakan kuasa-kuasa Nanosuit anda.

Sumber: Crytek

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+