Dari PUBG Mobile Ke COD Mobile, Jejaka Ini Menang RM11,000 Bersama Skuad M8HEXA

Mungkin bagi sukan fizikal, agak sukar untuk melihat pemain atau atlet beralih angin, misalnya dari badminton ke bola sepak. Namun, bagi permainan menggunakan minda seperti e-sukan, kekangan ini boleh diruntuhkan.

Buktinya, baru-baru ini, bekas pemain PlayerUnknown’s Battlegrounds mudah alih (PUBG Mobile), Ibnu Lutfi menjadi juara bagi kejohanan berpestij dipersembahkan oleh Garena iaitu Call of Duty Mobile Clan Invasion Malaysia Grand Finals bersama ahli-ahli pasukannya, M8HEXA yang membawa pulang wang tunai RM11,000.

Lutfi yang juga dikenali sebagai zSpeed berkata, perubahan itu bukanlah mudah kerana ada halangan tersendiri.

“Pada mulanya, saya terpaksa mencari kesesuaian dengan CODM. Belajar dengan pasukan yang hebat, ambil pengalaman dari pemain dari China adalah satu perkara yang susah tapi membuahkan hasil akhirnya.

“Bagi saya, pergerakan dan timing dalam permainan adalah ciri yang paling sukar untuk saya belajar.

“Sesi permainan CODM juga lebih pantas dan perlukan refleksi tinggi sama seperti Counter Strike: Global Offensive,” katanya.

Sebelum ini, dia pernah menyertai skuad Stadium Fighter dan mengambil bahagian dalam kejohanan-kejohanan tempatan.

Selain Lutfi, M8HEXA diwakili oleh kapten, James “Wenn” Tan, Muhammad “RangerZ” Zuhaily, Muhammad “Zero2” Afif dan Adi “Hatim” Hatim.

Di peringkat kumpulan menang (upper bracket), mereka mendominasi selepas menewaskan Pendekar namun berdepan kesukaran apabila menentang FaMe apeX dengan skor 1-2.

Namun, ia bukanlah pengakhiran buat mereka apabila berjaya menemui rentak kembali di peringkat akhir kumpulan kalah menentang VIP dengan skor 2-0. Mereka kemudiannya kembali bertemu apeX sekali gus menunjukkan comeback paling penting dalam kejohanan ini dengan skor 3-1. Tahniah diucapkan!

FaMe apeX membawa pulang RM6,000, diikuti oleh VipSquadMY-Alpha (RM4,500) dan Pendekar (RM3,500).

Selain 4 pasukan yang berentap, Clan Invasion: Malaysia Grand Finals turut menampilkan persembahan istimewa perlawanan antara pasukan Luqman Podolski dan Elizabeth Tan.

Mereka diwakili oleh penghibur penstriman langsung seperti Chiko, MelRomeo, D Entertainment dan FancFreakz yang seterusnya menyaksikan #TeamDol memenangi perlawanan tersebut 3-1.

Kejohanan Garena Clan Invasion: Malaysia Grand Finals dianjurkan di Battle Arena, Petaling Jaya, Selangor mengumpulkan RM25,000 yang menyaksikan empat pasukan CODM bertanding selepas menang kelayakan pada 7 Disember lalu.

(Foto: M8HEXA)

RELATED NEWS

+