“Dengan uHigh dan JangS masuk, kami boleh berikan gameplay berlainan,” – QB

Pemain Geek Fam PUBG Mobile, Ahmad Syafiq Imran (QB) optimis dengan sasaran emas di Sukan SEA 2021 dengan adanya kemasukan pemain Malaysia yang kini bermain di Indonesia, Dhiya Ulhaq (uHigh) dan jurulatih, Muhammad Farhan (JangS).

“Bagi saya pesaing terkuat kami adalah Thailand dan Indonesia. Tambahan lagi, kami ambil seorang pemain Malaysia (uHigh) jadi kami boleh berikan gameplay berlainan kali ini.

“Saya sangat yakin dengan pasukan. Walaupun ini kali pertama (bermain di temasya Sukan SEA), tapi ia bukanlah satu tekanan.

“Main macam biasa sebab kami pun dah pernah jumpa pasukan Asia Tenggara lain sebelum ini. Hanya perlu fokus dan berikan persembahan terbaik,” katanya ketika ditemui di sidang media Sukan SEA 2021 di Bangunan MSN, Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.

Menurutnya, uhigh dan JangS sendiri berminat untuk menyertai kontinjen negara kali ini.

“Pastinya ada impak dengan kemasukan mereka. Saya rasa kami lebih kuat dengan uHigh.

“Dhiya ada keyakinan yang tinggi dan strategi tersendiri serta kemahiran menembak (dalam permainan) yang hebat,” katanya.

Difahamkan, pemain acara berkumpulan untuk PUBG Mobile juga akan terpilih untuk kategori solo yang akan dipertandingkan.

“Kami yakin dengan kemahiran yang ada pada pemain terpilih (Geek Fam dan Tabah NSEA) jadi sasaran juga tinggi untuk pingat bagi kategori ini,” kata Pengurus Pasukan Negara, Kelvin Pang.

Turut hadir sama, Moon wakil kategori MLBB, Swak dari SEM9 selaku jurulatih dan wakil FIFA Online 4, Luqman.

Sukan SEA Hanoi 2021 mempertandingkan MLBB, PUBGM (solo), PUBGM (acara berpasukan), Wild Rift (wanita), Wild Rift (lelaki), Free Fire, FIFA Online 4, League of Legends, Arena of Valor dan Crossfire.

Sebelum ini Skuad Malaysia pernah memenangi pingat emas untuk Hearthstone dan pingat gangsa untuk Mobile Legends: Bang Bang.

Ia dijangka berlangsung pada 12 Mei hingga 23 Mei ini.

Foto: Facebook QB

RELATED NEWS

+