DOTA2: “Bootcamp Razer Ini Bagus Untuk Pemain Belajar Taktik Pasukan Tier 1” – BuLba

Jurulatih pasukan Dota 2 Evil Geniuses, Sam “BuLba” Sosale menyifatkan rantau Asia Tenggara mempunyai talent pool (barisan pemain) yang hebat dan berbakat bagi persiapan ke Sukan SEA 2019 pada Disember nanti di Filipina.

“Saya rasa pemain di rantau ini lebih bekerja keras kerana faktor pemantauan dari ibu bapa dan persaingan yang lebih sengit. 

“Tapi apa yang lebih bagus ialah setiap negara perlu mempunyai pasukan dibarisi oleh pemain dari pelbagai negara,” katanya ketika berucap pada sidang media Razer SEA Bootcamp di Scape, Singapura.

Dalam kem latihan yang dijalankan selama dua hari itu, pemain kebangsaan dari empat negara, Indonesia, Thailand, Filipina dan Singapura yang berlatih antara satu sama lain (scrim) sambil dimentor oleh BuLba yang memberikan tips berkaitan cara permainan dan drafting.

Antara intipati program itu ialah menerapkan teknik-teknik permainan dimainkan oleh pasukan di tier 1 contohnya dari segi laning dan taktik bermain pada 10 minit pertama. BuLba juga menekankan pada isu drafting yang sesuai bagi setiap pasukan.

“Daripada mengajar selama beberapa jam, saya ringkaskan penyampaian kepada 10 hingga 20 minit kepada pasukan dan beri mereka peluang untuk bertanyakan soalan.

“Terima kasih kepada Razer kerana peluang ini,” katanya.

BuLba juga berkata walaupun pasukan Tier 1 mungkin mendominasi namun program sebegini sesuai untuk menunjukkan gambaran sebenar arena kompetitif Dota 2 kepada pasukan-pasukan kebangsaan ini.

Turut hadir, Ahmad Syazwan yang juga ketua jurulatih pasukan kebangsaan (Malaysia), Alvin Juban dari PH South East Asian Games Organizing Committee, Ng Chong Geng dari Persatuan E-Sukan Singapura, Harry Kartono, Penasihat kepada Persatuan E-Sukan Indonesia (IESPA) dan Samart Benjamin Assarasakorn dari Persekutuan E-Sukan Thailand.

Pun begitu, pasukan Malaysia tidak dapat menyertai kem latihan ini kerana berdepan isu pemilihan pemain yang belum lagi muktamad.

Sukan SEA 2019 akan bermula pada November ini dan berakhir pada Disember di Filipina.

Bagi kategori e-sukan, ia akan dipertandingkan bersama sukan bola keranjang 3×3 di Fil Oil Arena, Manila, Filipina. Sebanyak 6 permainan dipertandingkan iaitu Arena of Valor (AOV), Mobile Legends, Hearthstone, Dota 2, Tekken 7 dan Starcraft II.

Peringkat kumpulan (group stage) akan bermula pada 5 Disember dan Grand Final pada 9 dan 10 Disember.

RELATED NEWS

+