DOTA2: Pertukaran Pemain Setakat Ini – Kuku Tinggalkan TNC, Fade Bersara Dan Banyak Lagi

The International 2019, satu kejohanan dunia Dota 2 yang membawakan debaran kepada 18 pasukan bertanding untuk merebut hadiah terkumpul kira-kira RM143 juta kini berakhir dan kita menyaksikan skuad Eropah, OG bergelar juara berturut-turut untuk pertama kali dalam sejarah.

Seperti biasa, akan ada pasukan yang membuat rombakan, tidak kurang juga pemain yang bercadang untuk bersara kerana mendapati kembara profesional ini adalah sesuatu yang sukar. Perasaan tewas dan tidak dapat menjulang Aegis of Champions selepas melakukan latihan berjam-jam untuk beberapa minggu pasti meninggalkan kesan terutamanya kepada pasukan China yang sangat ketat peraturan mereka bagi kem latihan sebelum kejohanan dunia itu bermula.

Mari kita lihat pasukan mana yang mengalami pertukaran roster setakat 29 Ogos 2019.

 

Fade bersara, tinggalkan Vici Gaming

Nasib pemain muda ini tidak terlepas dari kekecewaan. Walaupun memenangi DreamLeague dan EPICENTER, Fade bersama Vici Gaming terus mendahagakan piala dunia tapi hasrat mereka tidak kesampaian apabila tewas di upper bracket menentang skuad senegara, PSG.LGD dan tersingkir apabila dibenamkan oleh Team Secret di lower bracket.

Kekangan berada di top 6 bukan saja membuatkan kapten Vici Gaming, Pan “Fade” Yi berada dalam kekecewaan tapi apabila drama berkaitan pasukan senegara, Royal Never Give Up yang ingin merekrut pemain VG ketika TI9 berlangsung dianggap tidak profesional dan menjejaskan mental pemain pasukan itu.

Menulis di Weibo, Fade berkata, “Saya akan bersara dan berharap drama ini tamat. Penat sebab selalu jadi mangsa di tengah-tengah. Untuk beberapa tahun bermain kompetitif, saya banyak buat silap tapi juga ada kenangan indah. Saya rasa saya dah kecewakan banyak pihak berulang kali. Mari tamatkannya di sini. Saya akan jadi orang biasa yang boleh nikmati Dota dengan cara lebih mudah,”

Fade yang masih berusia 23 tahun membuat keputusan sukar ini dan peminat mungkin terkesan dengan tindakannya. Biasanya karier pemain Dota 2 akan berakhir pada 30 tahun di mana mereka akan menjadi jurulatih namun apa yang berlaku pada Fade adalah satu kerugian kepada industri Dota 2 di China.

 

Kuku tinggalkan TNC

Pemain Filipina, Carlo “Kuku” Palad umum di laman Twitter miliknya, yang beliau sedang mencari pasukan baru. Akronim LFT iaitu “Looking For Team” ditulisnya menandakan pemain ini mungkin sudah meninggalkan organisasi TNC Predator selepas skuad itu gagal untuk mencari rentak di kejohanan dunia The International 2019.

TNC Predator adalah satu-satunya skuad dianggotai kesemua pemain Filipina dan mereka tewas di lower bracket berdepan Team Liquid dan berada di kedudukan kesembilan. 

 

Khezu mencari pasukan baru

Nasib skuad Chaos Esports Club akhirnya terjawab apabila Maurice “Khezu” Gutmann yang bermain sebagai offlaner membuat keputusan untuk keluar dari pasukan itu. Sejak keluar daripada Team Secret pada 2016, Khezu banyak melompat pasukan dari tahun ke tahun, lebih 5 pasukan dalam dua tahun.

Prestasi Chaos EC agak merudum apabila tewas di peringkat kumpulan TI9. Skuad itu turut disertai oleh Matumbaman (bekas pemain Team Liquid) dan pemain Malaysia, Cheng “vtFaded” Jia Hao.

 

Ninjaboogie, Nikobaby dan Raging potato keluar dari Mineski

Pemain Mineski juga terkesan dan mereka antara yang pertama umum untuk keluar dari pasukan pasca The International 2019. Menulis status di Facebook, Ninjaboogie berterima kasih kepada Mineski, Mushi, Kenchi dan Zak sepanjang bersama pasukan itu.

Sementara itu, pemain berbakat, Nikobaby dan Raging potato turut keluar.

Nampaknya ramai pemain Mineski ingin bawa haluan masing-masing dan tak mustahil jika pasukan ini akan mengalami rombakan 360 darjah apabila kesemua pemain keluar nanti. 

Mineski menunjukkan prestasi luar biasa apabila layak ke TI9 menerusi pusingan kelayakan rantau Asia Tenggara namun terpaksa akur dengan kekalahan berdepan Team Secret di lower bracket.

 

Dubu sekarang ejen bebas

Perjuangan Fnatic bukanlah mudah. Selepas mereka mengambil DuBu sejurus tamat pertukaran roster ketika TI8, pemain Korea Selatan itu memegang peranan sebagai jurulatih.

Tapi prestasi mereka sepanjang musim Dota Pro Circuit agak tidak cemerlang dan mereka terpaksa menyingkirkan Pyo “MP” No-a dan meletakkan Jabz sebagai posisi carry. Lebih berani, mereka kemudian terpaksa meletakkan DuBu dalam roster aktif kembali untuk TI9. 

Tapi taktik itu tak menjadi apabila Fnatic gagal untuk membahagikan farm dengan baik ketika berdepan Team Liquid dan mereka adalah pasukan kedua tersingkir dalam pusingan kalah mati.

Kemudian, DuBu buat keputusan untuk mencari pasukan baru.

 

CompLexity Gaming melepaskan kesemua pemain Dota 2

Pasukan Amerika Utara, compLexity Gaming antara yang pertama mengumumkan berita mengejut, mereka melepaskan kesemua ahli aktif dalam roster Dota 2 termasuklah Zakari “Zfreek” Freedman yang berada bersama pasukan itu untuk lima tahun.

Mereka bagaimanapun tak mempunyai perancangan baru untuk musim DPC akan datang. Sebelum ini, skuad CompLexity mempunyai sinar harapan di kejohanan StarLadder ImbaTV Minor sebagai satu-satunya pasukan Amerika Utara yang layak namun tewas awal dan tidak berjaya ke playoff.

Terdapat banyak lagi pasukan akan mengalami pertukaran roster dan jangan lupa ikuti kami untuk perkembangan lanjut pasca The International 2019 ini!

Foto dari pelbagai sumber: Google, Mineski, ESL 

Untuk berita lanjut mengenai gaming dan e-sukan, ikuti kami di FacebookTwitter dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+