Dua pemain FIFA 22 Malaysia berjaya ke pusingan akhir FIFA Global Series Singapore Open 2v2

FIFA Global Series (FGS) Singapore Open adalah siri terbuka yang membawa pemain beregu terhebat dari serantau untuk merebut tempat di kejohanan terbesar musim ini serta menyertai pasukan-pasukan di FGS Master yang akan bermain di Team Of The Season (TOTS) Cup pada 21 Januari 2022.

Dua pemain tempatan daripada pasukan GBX Esports iaitu Luqman “LuqmanHzq” Haziq dan AkmalJHD berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir di FGS Singapore Open 2v2. 

 
 
 
View this post on Instagram

A post shared by GBX Esports Team (@gbxesports)

Pasukan beregu ini berjaya menentang pasukan-pasukan terbaik di rantau Asia seperti Team Flash, Dewi x Bagoes, Balestier dan lain-lain.

GBX Esports bermula di bracket atas dan berjaya menentang Team Flash dengan skor 4-2, tetapi tewas di tangan Dewi x Bagoes yang menolak mereka ke bracket penyingkiran.

Mereka berjaya bertahan di bracket penyingkiran selepas menentang dan menewaskan pasukan seperti Balestier, WCKD Esports iaitu sebuah lagi pasukan FIFA22 Malaysia dan sekali lagi, Dewi x Bagoes.

Mereka bertemu kembali dengan pasukan Dewi x Bagoes yang menjatuhkan mereka pada awal kejohanan, tetapi kali ini mereka mampu menewaskan Dewi x Bagoes dan menempatkan GBX Esports di pusingan akhir FGS Singapore Open 2v2 di mana mereka akan menentang pasukan M42 Esports dari India.

Menurut Luqman Haziq, mereka tidak sabar untuk menentang pasukan M42 Esports.

“Kami tidak sabar untuk menentang salah satu pasukan terbaik di rantau Asia,” ujar Luqman.

“Ini kali pertama India menyertai kejohanan rantau ini, oleh itu kami tidak mempunyai cukup maklumat tentang gaya permainan mereka, tetapi kami yakin kami akan melakukan yang terbaik untuk menjuarai kejohanan ini dari bracket penyingkiran,” tambah pemain berumur 24 tahun itu.

Luqman dan Akmal sudah bermain bersama sejak FIFA 21 untuk pasukan negara iaitu FAM eRIMAU dan mereka sudah membina hubungan ‘chemistry‘ yang agak kukuh.

Walaupun kedua-dua pemain ini agak sibuk, mereka tetap komited kepada latihan mereka sebelum kejohanan dan hasilnya, mereka hanya tewas sekali sahaja sebelum tiba ke pusingan akhir FGS Singapore Open.

Luqman juga menyeru agar peminat dapat menyokong pasukan GBX Esports di pusingan akhir kejohanan ini.

Anda boleh menonton dan menyokong pemain kita di saluran Twitch dan YouTube rasmi pada jam 8.30PM, 12 Disember  (Ahad) waktu Malaysia.

Selamat maju jaya buat pasukan Malaysia di persada dunia!

RELATED NEWS

+