Epic Games Beri Dana RM100,000 Untuk Game Buatan Malaysia, Eximius: Seize The Frontline

Studio Malaysia, Ammobox Studio merupakan salah satu penerima Unreal Dev Grants bernilai USD$500,000 (RM2 juta) untuk game gabungan first-person shooter (FPS) dan real-time strategy (RTS) berjudul Eximius: Seize The Frontline yang dianugerahkan oleh Epic Games.

Epic Games bukan sahaja membangunkan game paling popular, Fortnite malahan syarikat ini turut membangunkan sebuah enjin game dipanggil sebagai Unreal Engine yang mana digunakan oleh pembangun kreatif di seluruh dunia untuk membangunkan game, filem dan banyak lagi hasil kreatif tersendiri.

Satu-satunya wakil Malaysia menerima Unreal Dev Grants

Baru-baru ini, Epic Games mengumumkan senarai finalis akhir penerima program Unreal Dev Grants yang memberikan bantuan kewangan sebanyak USD$500,000 (RM2 juta) kepada pembangun yang menggunakan Unreal Engine 4.

Dana ini diberikan kepada beberapa pembangun dan pencipta media interaktif terpilih yang mencakupi pelbagai jenis industri seperti gaming, perfileman, pendidikan, artificial intelligence (AI)/virtual reality (VR)/mixed reality (MR) dan banyak lagi.

Eximius: Seize The Frontline merupakan satu-satunya wakil Malaysia yang menerima dana bernilai RM101,895 (USD$25,000) di samping game indie lain dibangunkan dari seluruh pelusuk dunia seperti Aeon Must Die! oleh Limestone Games berpengkalan di Estonia, Project M oleh EVR Studios dari Korea dan ramai lagi.

Ketua pegawai eksekutif Ammobox Studio, Jeremy Choo merakamkan ucapan terima kasih kepada Epic Games atas penerimaan Unreal Dev Grants. “Kami sangat berbangga untuk menjadi antara projek yang dipilih oleh Epic. Kami mahu mengucapkan terima kasih kepada Epic atas sokongan mereka tidak putus-putus bagi menjayakan game kami,” kata Jeremy ketika dihubungi MyGameOn.

Eximius juga merupakan game Malaysia pertama dibina menggunakan Unreal Engine 4. Jeremy menjelaskan, “Kami adalah pengguna lama enjin Unreal. Semasa Unreal Engine 4 mula dilancarkan, ia merupakan satu perkara besar bagi kami kerana ini memberikan peluang kepada kami untuk menggerakkan pembangunan.”

“Saya sendiri pun ada sedikit pengalaman modding menggunakan Unreal Engine 1 dan 2 sebelum ini manakala pasukan saya pun telah belajar menggunakan Unreal Engine 3. Kini, semua orang boleh bangunkan apa sahaja mereka mahu menggunakan Unreal Engine 4 dan ia amat mudah dikendalikan kerana terdapat banyak sumber yang boleh dipelajari secara online.”

Campuran unik FPS dan RTS

 

Eximius: Seize The Frontline adalah sebuah game multiplayer memfokuskan kepada hibrid permainan FPS/RTS yang mengambil masa pembangunan selama 2 tahun dan dilancarkan dalam Steam Early Access pada September tahun lepas.

Gabungan unik FPS/RTS memberikan pilihan untuk korang saling tukar menukar antara dua cara permainan iaitu komander RTS bertanggungjawab untuk membina kubu pertahanan dan melatih askar dalam perspektif kamera atas bawah seperti Command & Conquer dan Starcraft manakala pegawai FPS akan mengetuai pasukan askar AI bagi membantu pemain untuk mencari sumber, menyerang musuh dan menyarung Battlesuit iaitu sut berkuasa tinggi untuk dorong ke arah kemenangan pasukan.

Pada tahun lepas, Ammobox Studio ditimpa masalah apabila penerbit game, TheGameWall Studios melarikan kesemua duit keuntungan mereka sejak dari pelancaran game kira-kira 6 bulan lalu sehingga mereka terpaksa mengeluarkan saman terhadap game sendiri bagi merombak kembali hak penerbitan jatuh kembali ke tangan Ammobox.

Untuk meringankan beban, Ammobox melancarkan bantuan orang ramai melalui GoFundMe bagi menampung perbelanjaan guaman untuk pembicaraan kes Eximius supaya gejala individu dan organisasi yang tidak bertanggungjawab menipu ramai pembangun game lain dapat dibendung.

Menurut Jeremy, suntikan dana RM2 juta semestinya membantu Ammobox dalam pembiayaan pembangunan Eximius. “Ya, dana ini tentu membantu kami tetapi yang lebih utama adalah untuk tampung kos perbelanjaan yang telah dibawa lari oleh penerbit kami sebelum ini. Ini sedikit sebanyak membantu untuk melancarkan proses pembangunan,” jelas beliau. 

Bagi mereka yang suka pertarungan sengit Call of Duty dan mengatur strategi seperti Starcraft, Eximius: Seize The Frontline kini telah dilancarkan dalam Early Access yang bermakna masih lagi dalam tempoh penambaikan. Korang boleh dapatkan game ini melalui platform PC (Steam).

 

RELATED NEWS

+